Anwar bersama Khalid dan Azmin bercakap pada pemberita di Sikamat Kajang
Walaupun dikritik hebat oleh kumpulan Melayu berhaluan kanan, Datuk
Seri Anwar Ibrahim malam ini mempertahankan kehadirannya ke gereja pada
pertengahan Februari lalu kerana berjaya menjernihkan salah faham yang
berlaku di antara kepercayaan dua agama.
Ketua pembangkang itu berkata, kehadirannya ke gereja bukanlah sesuatu
yang baru tetapi sejak beliau berkecimpung dalam badan bukan kerajaan
(NGO) Angkatan Belia Islam Malaysia lagi.
"Saya orang Islam. Jesus bermaksud Isa. Saya tak kata Isa sahaja, saya
kata Isa alaihissalam (sejahtera ke atasnya). Ada yang bertanya saya
doakan untuk Jesus, saya kata ya, untuk Nabi Isa," katanya dalam kuliah
Maghrib di Surau Al-Muqaddis, Kajang, malam ini.
"Gereja ada saliblah. Bukan saya pergi gereja tetapi dewannya. Masa
saya Abim, saya pergi. Soalnya masa saya pergi, saya kata bahawa Islam
menghormati perbezaan kaum dan warna kulit."
Anwar, semasa berucap di Gereja Holy Family
di Kajang pada bulan lalu, berkata pihak tertentu sedang mengeruhkan
lagi hubungan antara agama dan kaum berikutan beberapa insiden, tetapi
penyebab masalah dilepaskan begitu sahaja sementara yang tidak bersalah
ditangkap seperti penjenayah.
Katanya, Putrajaya membenarkan suara kebencian, keganasan dan kemusnahan menenggelamkan mesej cinta keamanan dan keharmonian.
"Mereka melempar bom ke dalam perkarangan gereja, tidak ada yang
ditangkap. Mereka menawarkan ganjaran kepada orang ramai untuk menampar
orang lain, namun, tiada tindakan diambil oleh pihak polis.







