KUALA LUMPUR, 6 Sept — Timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu turut
dikehendaki oleh polis bagi membantu siasatan perhimpunan “Janji
Demokrasi” yang dianjurkan oleh Gabungan Janji pada malam 30 Ogos lalu
sempena ulangtahun Kemerdekaan ke 55.
Menurut Tajuddin Jawwad, setiausaha politik kepada timbalan presiden
PAS itu, polis datang kerumah Mohamad yang mesra dengan panggilan Mat
Sabu (gambar) pada pukul 4.00 petang semalam.
“Sewaktu polis datang, Mat Sabu tiada dirumah, mereka hanya dapat menemui isterinya.“Notis diserahkan oleh polis kepada isteri Mat Sabu yang meminta
beliau untuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi,” kata beliau
ketika dihubungi oleh The Malaysian Insider sebentar tadi.
Gabungan Janji disertai oleh 47 NGO yang menganjurkan perhimpunan
Janji Demokrasi di Dataran Merdeka minggu lepas bagi menuntut kerajaan
Malaysia bagi menunaikan segala janji-janji untuk mereformasikan pilihan
raya.
Semalam, polis telah memanggil saterawan negara, Datuk A Samad Said
yang membacakan sajak Janji Demokrasi yang ditulis khas sempena
perhimpunan ambang Merdeka tersebut.
Dalam perkembangan yang sama, pengarah eksekutif Pusat Kesedaran
Komuniti Selangor (Empower), Maria Chin Abdullah turut menerima notis
sama meminta beliau hadir ke IPD Dang Wangi berkenaan dengan perhimpunan
Janji Demokrasi.
Menurut Empower dari sebuah email yang dikirimkan sebentar tadi,
Maria akan bersama-sama dengan Pak Samad untuk melaporkan diri di IPD
Dang Wangi pada pukul 3.00 petang hari ini dengan ditemani oleh peguam.
Timbalan presiden PAS pula akan ke IPD Dang Wangi pada 9 September ini pada sebelah petang.“Selepas gagal berjumpa Mat Sabu, inspektor dari Dang Wangi meminta nombor telefon beliau dari isterinya.
“Mereka dapat bercakap dan Mat Sabu minta untuk ke Dang Wangi pada 9 September ini,” kata Tajuddin lagi.