ALOR SETAR - Seorang pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) ditahan polis semalam kerana menulis kenyataan berunsur lucah dan berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi laman sosial Facebook.Ia kejadian kedua membabitkan penuntut IPT dalam tempoh seminggu ini.

Laporan Bernama menyebut, penuntut wanita berusia 20 tahun dari sebuah IPTS di Kuala Muda itu ditahan pada pukul 9 pagi selepas polis menerima laporan mengenai kenyataan yang dipercayai ditulis wanita tersebut pada akaun Facebook miliknya.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira 10 malam semalam mengenai perkara itu, dan menahan penuntut terbabit selepas mengenal pasti pemilik akaun Facebook tersebut.

"Kita telah ke universitinya dan melalui pihak universiti, kita telah memanggil pelajar itu untuk diambil kenyataan berhubung berkara itu," katanya kepada pemberita malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit dan sebuah komputer riba milik pelajar tahun dua IPTS tersebut untuk siasatan."Kita juga turut memanggil ibu bapa pelajar itu bagi membantu siasatan," kata Ahmad.