KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)
membidas kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),
Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang mengulas bahawa sebanyak RM30 juta wang
pembayar cukai perlu dibelanjakan sekiranya Selangor tidak mengadakan
pilihan raya umum serentak dengan kerajaan pusat.
Beliau juga menasihatkan agar semua kerajaan negeri jangan bermain
politik dengan wang pembayar cukai yang akan menyebabkan bajet tambahan,
latihan serta persediaan yang lebih diperlukan.
“Bagi DPPM, Datuk Wan Ahmad Wan Omar tidak sepatutnya mengulas soal
pilihanraya berasingan di negeri Selangor atau pun tidak kerana itu
bukan bidang tugas beliau dan SPR,” kata Ketua Penerangan DPPM, Riduan
Mohd Nor (gambar).
Katanya, kenyataan seperti itu perlu dilontarkan oleh pemimpin parti politik seperti Pakatan Rakyat dan juga Barisan Nasional.
Tambahnya, tugas SPR dan individu seperti Wan Ahmad adalah menjayakan
pilihan raya mengikut tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau.
“Kenyataan ini menyerlahkan lagi belang beliau yang sebenarnya dan
membayangkan seolah-olah beliau adalah Menteri Kewangan atau Perdana
Menteri yang boleh memberikan pandangan politik terhadap mana-mana parti
politik,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Beliau berkata, DPPM hairan, mengapa kerajaan mengekalkan individu seperti beliau sebagai peneraju SPR.
Katanya lagi, kenyataan Wan Ahmad menambah curiga rakyat bahawa SPR
adalah badan yang tidak bebas, serta masih terkongkong dengan pengaruh
parti pemerintah.
Riduan menambah, ia mengesahkan lagi bahawa SPR sedang bekerja untuk memastikan kemenangan BN dalam PRU13 dengan pelbagai cara.