KUALA LUMPUR, 17 Okt — Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin muncul pada forum anjuran Umno malam tadi sambil berkata, PAS seolah-olah memperlihatkan ia banyak berubah berbanding dengan parti dominan Barisan Nasional (BN) itu sepanjang dua dekad yang lalu.
Kata beliau (gambar) perubahan mengikut peredaran masa itu dapat dilihat dengan ketara khususnya sejak selepas pilihan raya umum ke-12.
Sehubungan itu menurut beliau, Umno yang ada sekarang dilihat tidak lagi menjaga dan mengangkat hal-hal berkaitan agama Islam.
Malah kata beliau, Umno tidak boleh jadi parti yang membawa sentimen perkauman, sebaliknya perlu menjadi lebih matang dalam membuat keputusan.
“Umno tidak boleh jadi (parti membawa sentimen) perkauman, sebaliknya Umno perlu lebih matang dalam membuat keputusan. Jangan membuat perkara yang boleh membahayakan diri sendiri,” katanya.
“Kalau dulu Umno boleh dikatakan mendahului dalam banyak perkara termasuk dalam hal-hal agama.
“Tetapi sejak kebelakangan ini selepas pilihan raya umum ke-12, saya lihat isu yang dibawa Umno gagal mengangkat Umno di peringkat global.
“Isu yang dibawa Umno hanya setempat, saya tidak tahu macam mana Umno menyusun ulama-ulama mereka,” katanya.
Sebagai contoh kata beliau, dalam isu bukan Islam masuk masjid, doa untuk bukan Islam dalam khutbah dan juga isu wang ihsan, ia tidak menunjukkan identiti Umno yang sebenarnya.
“Saya dukacita dengan apa yang berlaku dalam isu-isu tersebut, apabila pemimpin-pemimpin Umno (kata) tidak boleh sedangkan banyak bukti mengatakan sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada forum Kursus Kepimpinan Kelab Umno Luar Negara di bawah tajuk “Menjana Modal Insan Ulul-Albab di Peringkat Global” di sini malam malam tadi.
Beberapa jam sebelum pandangan Asri itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengusulkan kemungkinan diwujudkan Model Politik Baru bagi memastikan kelangsungan Umno sebagai parti yang menerajui pemerintahan negara.