NIBONG TEBAl – Seluruh ahli Pas di kawasan Nibong Tebal melahirkan perasaan kecewa dan kesal apabila bendera milik parti politik itu dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Dalam kejadian yang berlaku selama dua hari berturut-turut itu, sembilan daripada 20 bendera Pas yang dipasang pada 24 Mac lalu telah dibakar dengan masing-masing empat pada 29 Mac, manakala lima lagi pada 30 Mac lalu.
Difahamkan, 20 bendera berkenaan dipasang di sebuah rumah ahli Pas di Tanjung Berembang bertujuan menjadikan rumah terbabit sebagai Bilik Gerakan Unit Peti Undi Pas Tanjung Berembang, di sini.
Yang Dipertua Pas kawasan Nibong Tebal, Abdul Rahman Ramjan, berkata, kejadian terbabit disedari oleh salah seorang ahli Pas pada awal pagi 29 Mac lalu.
“Kita amat kecewa dan kesal dengan apa yang berlaku. Kami percaya pada hari itu (29 Mac) ia dilakukan sekitar jam 3 pagi sehingga jam 5 pagi kerana sebelum waktu itu kami melihat keadaan bendera masih elok.
“Kami sangka kejadian itu akan berakhir pada malam berkenaan sahaja, namun jangkaan kami meleset kerana ahli Pas kawasan ini sekali lagi dikejutkan dengan kejadian sama pada 30 Mac.
Kali ini, bendera Pas dibakar lebih awal iaitu sekitar jam 8 malam dan seorang ahli Pas menyaksikan sendiri kejadian terbabit,” katanya.
“Perbuatan berkenaan dipercayai dilakukan oleh beberapa remaja lelaki, bagaimanapun mereka sempat melarikan diri selepas seorang ahli Pas menjerit sejurus melihat tindakan itu,” katanya.
Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak mahu menuduh sesiapa yang menjadi dalang di sebalik perbuatan itu, tetapi hanya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikannya.