KUALA LUMPUR, 7 Mac: PAS Johor mensasarkan
sekurang-kurangnya 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk dimenangi
pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Mazlan Aliman berkata, sasaran itu ditetapkan berdasarkan perubahan positif rakyat
negeri itu yang kini menyambut baik Pakatan Rakyat khususnya PAS yang
disifatkan 'tidak pernah berlaku sebelum ini'.
Menurutnya,
melihat mood positif rakyat, beliau bukan sahaja yakin PAS boleh menang
di kerusi sasaran itu, malah Pakatan Rakyat secara keseluruhan juga
tidak mustahil akan menerajui negeri itu."Kita (PAS) kini sedang fokus kepada 17 Dun sasar.
"Mungkin
orang kata saya bermimpi, atau angan-angan, tapi dengan sambutan kepada
kita pada waktu ini, saya yakin kejutan akan berlaku, Johor mungkin
jatuh kepada Pakatan Rakyat," katanya kepada Harakahdaily.
Pada PRU ke-12 lalu, PAS bertanding 39 daripada keseluruhan 56 kerusi, manakala PKR dan DAP masing-masing 9 dan 12 kerusi.Dari jumlah ditandingi itu itu PAS hanya menang di dua kerusi iaitu di Dun Maharani dan Sungai Abong.
Menurut
Mazlan lagi, perbezaan ketara sokongan rakyat Johor terhadap Pakatan
rakyat berbanding 2008 boleh dilihat dengan sambutan terhadap
program-program mereka di negeri itu sejak kebelakangan ini.
Sambutan luar biasa itu katanya, telah menyebabkan ada pihak 'tak
senang duduk' sehingga mengupah kumpulan tertentu mengganggu dan membuat
kecoh khususnya di ceramah-ceramah anjuran mereka.
Manifesto 15 perkara dasar
Menurut
Mazlan lagi, PAS Johor juga telah selesai berbincang berhubung
manifesto pilihan raya peringkat negeri yang akan ditawarkan.