Pada seminarnya di Universiti Monash, Sunway hari ini, Wong yang juga ahli jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 berkata peralihan sokongan itu adalah kerana reaksi rakyat terhadap tindakan kerajaan BN yang mengubah sentimen mereka di sejumlah 55 kerusi marginal yang dimenangi kedua-dua pihak.
"BERSIH telah meningkatkan peluang Pakatan di 20 kerusi yang dimenang tipis oleh BN dan memperkuatkan kedudukan Pakatan di 33 kerusi (marginal) milikinya sebelum ini,” katanya.
Wong berkata jumlah berkenaan adalah hasil rumusannya berdasarkan demografik pengundi dan corak pengundian pada pilihan raya umum 2008 dan juga beberapa pilihan raya kecil yang lalu.
Selain
itu, Wong juga menjangkakan PSM akan mengekalkan kerusinya di Sungai
Siput, yang dimenangi dengan majoriti kecil berikutan penahanan ahli
parlimennya Dr D Jeyakumar yang ditangkap mengikut Ordinan Darurat. "Secara demografik ia adalah kerusi yang bahaya (untuk Jeyakumar) tetapi penahanan itu telah memberi manfaat kepada Jeyakumar, terutamanya undi simpati. Beliau akan terus mendapat undi masyarakat India dan menang dengan lebih selesa,” katanya kepada Malaysiakini selepas seminar itu.


