Sahabat Ambo

Pengunjung Yang Di Hargai,Untuk Membantu Mohon "KLIK" Iklan Di Atas.Terima Kasih

Dedikasi Buat Tuan Guru Presiden Pas

Penghinaan Mahathir Terhadap Hudud


LAGI VIDEO TINTA HIJAU-DKB KLIK DI SINI

Translate

Ahad, 16 Mac 2014

PRK Kajang : Bila Dua Datin Bertentang Mata

  Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datin Paduka Chew Mei Fun

*SAMA cantik sama padan, tetapi bukan pinang dibelah dua! Seperti yang diketahui pilihan raya kecil Dun Kajang 23 Mac ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan Datin Paduka Chew Mei Fun.

Mei Fun si calon BN telah diumumkan awal dari tarikh penamaan calon. Dr Wan Azizah, sebagai calon PR, diketahui lewat sedikit dan ramai menganggap beliau sebagai bidan terjun.

Kalau ikut rupa, keduanya boleh tahan. Walaupun sudah berusia, masih tetap anggun. Dari segi kedudukan dalam parti pun keduanya sama hebat; yang satu ialah Presiden PKR, yang satu lagi Naib Presiden MCA.

Kalau ikut apa yang disiarkan media, keduanya yakin menang (mana ada calon kata dia kalah!). Masing-masing akan membuat kejutan. Apa pun kejutan sebenarnya bukan ditentukan oleh dua Datin berkenaan, sebaliknya oleh pengundi.Apa yang menarik perhatian ialah ada 39,278 pemilih berdaftar, 50 peratus darinya adalah wanita.

*SEJAK awal kerusi berkenaan dikosongkan, sudah ada sosek-sosek dan kontroversi. Ramai melihat Lee Chin Cheh dipaksa melepaskan gelaran YB untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ramai, termasuk sesetengah dalam kalangan rakan-rakan PR sendiri, tidak bersetuju PRK diadakan. Malah ada yang mempersoal apa perlunya Anwar bertanding dan berazam untuk menjadi MB?

Tetapi Anwar tidak peduli apa orang kata. Beliau mengadakan ceramah setiap hari, tanpa jemu-jemu mendekati rakyat kawasan berkenaan. Setiap ceramahnya mendapat sambutan hangat, hadirin bertepuk dan bersorak penuh semangat.

Keadaan itu meyakinkan pemimpin PKR itu untuk memenangi Dun Kajang, dan seterusnya mengambil alih kerusi MB yang disandang sejak sekian lama oleh Tan Sri Khalid Ibrahim.

Apa pun keadaan berubah sekelip mata. Hanya beberapa hari sebelum penamaan calon, Anwar hilang kelayakan bertanding apabila Mahkamah Rayuan mendapati beliau bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

*DENGAN Anwar tidak jadi bertanding dan tempatnya digantikan oleh isteri beliau, ada yang menganggap calon PR itu bukan sahaja sebagai bidan terjun. Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata Dr Wan Azizah adalah boneka dalam permainan politik partinya.

Tidak kira apa orang menggelarnya, pencalonan Dr Wan Azizah membuat sesetengah orang bertanya, apakah sekiranya menang nanti beliau akan menjadi Menteri Besar Selangor.

Sekiranya itu terjadi Selangor merupakan negeri pertama mempunyai menteri besar wanita, dan tentu sekali Dr Wan Azizah pun mencatat sejarah sebagai wanita pertama menjadi menteri besar.

Tetapi, pertanyaan yang lebih menarik ialah apa akan terjadi sekiranya setelah menang di Kajang, Abdul Khalid tidak mahu melepaskan jawatan menteri besar?

Pertanyaan seperti itu menjadikan suasana Kajang @ bandar sate semakin hangat. Sementelahan pulalah sehari dua ini suasana persekitaran memang panas tanpa hujan, juga berjerebu dengan indeks pencemaran udara (IPU) di beberapa kawasan berada pada tahap tidak sihat.

*AKHIR kalam, walaupun kering dan panas tanpa hujan, juga kehangatan PRK di Kajang, semuanya tidak begitu menarik perhatian sekarang. Sebelum ini apa sahaja yang dikempenkan oleh Anwar akan menjadi tajuk berita. Sekarang tidak lagi.

Ada satu lagi insiden yang bukan sahaja panas tetapi amat menyentuh perasaan, iaitu perihal Pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia (MAS).

Genap seminggu pesawat dengan 239 penumpang termasuk anak kapal itu hilang awal pagi Sabtu lalu ketika dalam penerbangan dari KL ke Beijing.

Keluarga terdekat mencengkam perasaan, seluruh negara sedih bersimpati, dan seluruh dunia memberi tumpuan. Setelah usaha mencari dan menyelamatkan dilancarkan setiap saat, semuanya masih kabur. Banyak soalan tanpa jawapan. Banyak teori tanpa kesan.

Maka peristiwa MH370 menjadi bahan utama media setiap hari, menenggelamkan isu jerebu dan PRK Kajang. Berdoalah agar semua kekusutan MH370 terungkai.

 TOK PERAK

Tiada ulasan:

Hudud : Kenyataan Najib VS Kenyataan Tok Guru Nik Aziz

Terdapat ralat dalam alat ini
Bermula 31/7/2009

Pengunjung Ambo dari....