Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menggesa bekas pemimpin parti itu, Datuk Dr Hasan Ali untuk membersihkan dirinya daripada dakwaan bercita-cita untuk menjadi menteri besar Selangor.
Hasan yang juga bekas pesuruhjaya PAS Selangor dan bekas exco kerajaan negeri itu, dipecat daripada parti itu baru-baru ini kerana menimbulkan masalah kepada parti.
Husam (kiri) berkata Hasan harus telus mengenai peranannya dan sebab-sebab beliau bertemu dengan pemimpin Umno sejurus selepas pilihan raya umum 2008, dan bukan sebaliknya mencaci PAS dalam program jelajahnya.
Beliau mendedahkan bahawa Hasan telah menemui pemimpin Umno di Selangor pada 10 Mac - dua hari selepas Pakatan Rakyat memenangi lima negeri dalam pilihan raya umum tersebut, dalam percubaan untuk membentuk kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno.

"Tetapi pemimpin PAS telah menolak terus idea tersebut, maka beliau tidak berjaya dalam percubaannya untuk menjalin hubungan antara parti kita dan Umno," kata Husam ketika ditemui di Pulau Pinang.
Husam, yang juga ADUN Salor berkata, beliau berada di Kedah pada 9 Mac 2008 untuk membantu Kedah Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menubuhkan kerajaan negeri yang baru.
Pada 10 Mac beliau berada di Perak, untuk membantu menubuhkan "kerajaan rakyat" sebelum negeri itu dirampas oleh BN pada bulan April, selepas tiga ADUN meninggalkan Pakatan.