KUALA LUMPUR, 31 Jan - PAS menolak tanggapan dan spekulasi tentang
kemungkinan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan turut
dipecat, sebagaimana nasib Hasan Ali, berikutan keengganan beliau
campur tangan dalam isu penggantungan lima mahasiswa Kolej Universiti
Insaniah (KUIN) dibawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menegaskan PAS bukanlah
satu parti yang akan memecat ahli sewenang-wenangnya, lagipun isu
melibatkan Azizan dan Hasan jauh berbeza.
"PAS bukan satu parti yang mengamalkan budaya suka memecat
ahli dan pemimpinnya. Itu mainan politik media arus perdana kerajaan,
yang hanya melihat siri pemecatan dari PAS. Jadi, tidak mengamalkan
budaya pecat orang, bukan menjadi amalan dan budaya suka pecat orang
atau mengambil tindakan disiplin ke atas seseorang.
"Ia hanya dibuat pada waktu-waktu dan ketika yang cukup
kritikal. Jadi saya rasa ini hanya mainan media untuk menggambarkan
perkara-perkara negatif mengenai PAS," katanya dipetik Sinar Online.Tambah Ahli Parlimen Kubang Kerian ini lagi, isu Azizan
hanyalah menyentuh berkenaan teknikal, berkenaan pelaksanaan AUKU di
KUIN, manakala Hasan Ali melibatkan penentangan dasar parti secara
terbuka.
"Isu Hasan Ali melibatkan penentangan beliau terhadap
parti dan dasar parti, dan menggunakan media musuh untuk menyerang
parti. Jadi, saya rasa ia harus dibezakan."Datuk Azizan isu teknikal sahaja. Kita harus melihat dari perspektif yang berbeza daripada isu Datuk Hasan Ali," katanya lagi.
Laporan The Malaysian Insider semalam menyebut, Umno Kedah
mempertahankan tindakan Azizan yang enggan tunduk terhadap desakan PR
yang mendesak supaya Menteri Besar itu campur tangan dalam isu "KUIN
lima."




