Sahabat Ambo

Pengunjung Yang Di Hargai,Untuk Membantu Mohon "KLIK" Iklan Di Atas.Terima Kasih

Dedikasi Buat Tuan Guru Presiden Pas

Penghinaan Mahathir Terhadap Hudud


LAGI VIDEO TINTA HIJAU-DKB KLIK DI SINI

Translate

Sabtu, 25 Ogos 2012

Hudud : Respon Tok Guru Nik Aziz Terhadap Kenyataan Dr Asri


Di wad HUSM, saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang tersiar di dalam akhbar Sinar Harian hari ini 6 Syawwal 1433H bersamaan 24 Ogos 2012M berhubung isu hudud yang sedang dijadikan 'modal politik' oleh UMNO dan Barisan Nasional hari ini.

Di dalam kenyataan tersebut, Dr Mohd Asri dipetik sebagai berkata bahawa Pas telah memberikan gambaran yang salah mengenai hukum hudud sehingga ia ditentang keras pemimpin tertinggi DAP dan mengelirukan orang bukan Islam.

Barangkali kenyataan beliau dipetik separuh atau sebahagian kecil, wallahualam. Bagaimanapun saya berterima kasih kepada Dr Mohd Asri yang saya yakin berniat ikhlas di dalam membuat teguran.

Pada saya, para ilmuan seperti beliau berhak untuk membahaskan isu dengan secara ilmiah dan bukannya membiarkan orang-orang jahil melontarkan pandangan dengan tujuan bukan untuk menimbulkan kefahaman bahkan menambahkan kekeliruan.

Apapun, saya ingin memberikan respon terhadap kenyataan beliau yang disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian tersebut.

Apabila Dr Mohd Asri menyatakan bahawa Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) yang telah diluluskan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, menimbulkan salah faham hingga kini,.

Ingin saya nyatakan enakmen tersebut digubal pada masa itu mengambil kira pandangan pakar-pakar perlembagaan dan undang-undang seperti Al-Marhum Tan Sri Prof. Ahmad Ibrahim dan Almarhum Dato Paduka Seri Setia Prof. Dr. Mahmud Saedon Awang Othman.

Kedua-dua ini pada masa itu dianggap sebagai rujukan utama di dalam undang-undang syariah. Antara nama lain yang terlibat pula ialah Tun Salleh Abbas, Dr Abdullah Abu Bakar, Alamrhum Dato' Hasbullah Mohd Hassan, Haji Wan Mutalib Embong, Dato' Harun Taib dan Ketua Hakim Syarie Kelantan, Dato' Daud Muhamad.

Jawatankuasa berkenaan dipengerusikan Timbalan Menteri Besar pada masa itu, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman.

Saya tidak bermaksud untuk menyatakan bahawa enakmen tersebut telah sempurna tanpa sebarang kecacatan, namun untuk menyatakan bahawa ia digubal sambil lewa amatlah tidak benar sama sekali.
Kerajaan Kelantan telah mengambil inisiatif sebaik mungkin untuk mengumpul pandangan pakar-pakar bagi menjadikan enakmen ini satu kenyataan.

Saya sentiasa terbuka untuk menerima sebarang pandangan dan kritikan sekiranya ia mempunyai kelemahan. Datangkanlah alrtenatif dan buatlah pembetulan terhadap kelemahan.

Jika ingin dibincang sekalipun, silakan. Para penggubal ada lagi yang masih hidup alhamdulillah, pintu perbincangan masih terbuka. Namun menghantar surat menghalang pelaksanaan hudud bukan merupakan cara seorang muslim! Ia lebih mirip kepada gerak langkah politik jahat yang tidak berminat kepada hukum Allah SWT.

Sesuai sangatlah apabila individu ini menulis, "better the devil you know than the angel you don’t..." (lebih baik syaitan yang anda kenal daripada malaikat yang anda tidak kenal).

Sudah 19 tahun ia dibentangkan, tempoh yang cukup panjang ini jika dinisbahkan kepada seorang manusia yang belajar, umur ini sudah menjejakkan kaki di universiti. Namun UMNO khususnya bekas presidennya yang sudah bersara tidak pernah mengambil langkah positif membentangkan hudud versi UMNO yang dikatakan adil itu!

Tempoh 19 tahun, satu huruf pun hudud ala UMNO masih belum wujud, jika manusia belajar selama 19 tahun, tetapi sedikitpun tidak mengerti, apa gelaran yang akan diberi? Mengaku sahaja UMNO tidak berminat untuk melaksanakan hudud, apa yang dibisingkan hari ini hanya sekadar nyanyian politik semata-mata. Tangan menuding kepada orang lain, diri sendiri berkudis seribu.

Justeru, saya menyokong kenyataan Dr Mohd Asri yang menyebut bahawa ada golongan yang mengkritik hudud sudah rosak akidahnya.

Rosak akidah inilah penyakit merbahaya dalam masyarakat. Ia lebih merbahaya dari sebarang virus di dunia. Walau apapun bangsa di dunia ; Arab, Melayu, Cina atau India sekalipun, kerosakan akidah ini padahnya ialah azab Allah SWT.

Semoga Allah SWT memberikan kejayaan kepada perjuangan menegakkan agamaNya di dunia ini Insya-Allah.

Sekian....

Salam dari saya,

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
6 Syawwal 1433H / 24 Ogos 2012M

Tiada ulasan:

Hudud : Kenyataan Najib VS Kenyataan Tok Guru Nik Aziz

Bermula 31/7/2009

Pengunjung Ambo dari....