Zaiton barisan depan dua dari kanan
Gambar yang disifatkan sebagai bukti kononnya orang Melayu dibawa ke gereja untuk dimurtadkan adalah gambar palsu, menurut salah seorang yang dilihat dalam gambar yang tersebar di media sosial, Zaiton Ismail.
Menurut aktivis pertubuhan Islam itu, gambar tersebut menunjukkan dewan
besar Institut Pemikiran Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam
(Istac) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.
Zaiton, yang giat dalam Pertubuhan Ikram Malaysia, berkata beliau telah difitnah oleh gambar tersebut.Beliau melahirkan rasa terkejut dan amat sedih kerana dikaitkan dengan tuduhan murtad.
Zaiton dilihat dalam gambar tersebut bersama beberapa orang lain, termasuk yang bertudung, duduk di bangku kayu.
Menurut Zaiton, mereka menghadiri sebuah majlis anjuran Lembaga
Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) pada 29 Februari, 2012.
Ekoran itu, Ikram mengecam sekeras-kerasnya perbuatan menyebarkan berita palsu mengenai gambar tersebut.
"Apapun niat blogger tersebut, ternyata perbuatannnya itu telah
mewujudkan kesan negatif kepada individu terbabit dan masyarakat secara
umumnya," kata Ketua Wanita Ikram Malaysia, Maznah Daud.
Beliau berkata kelakuan seperti itu menggugat persefahman dan keharmonian antara rakyat yang lama terjalin di negara ini.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan dan
mengambil tindakan kerana ia bukan saja menimbulkan fitnah peribadi,
tetapi membabitkan hasutan yang boleh memberi kesan kepada hubungan
antara agama di negara ini.









