Adakah kemunculan semula Ummi Hafilda Ali dan Tan Sri Rahim Thamby Chik dalam kancah politik untuk mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim berlaku secara kebetulan atau sebahagian daripada perancangan licik untuk menjatuhkan Ketua Pembangkang itu ? Selepas menyisihkan diri dari arus politik tanah air untuk lebih 10 tahun Ummi Hafilda muncul semula dalam “road show” tajaan Umno untuk mengitar sekali lagi pelbagai tuduhan terhadap Anwar.
Setelah dipaksa meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka pada tahun 1994 dan gagal kembali ke persada utama Umno, kerana tuduhan merogol gadis bawah umur dan dibelit dengan dakwaan rasuah, Rahim ‘mengaum” semula dengan mengibarkan video seks lucah Anwar.
Kedua- duanya memberi amaran bahawa kononnya mereka mempunyai banyak pendedahan seks lain, seks yang akan terus mengaibkan Anwar. Malah, Rahim berkata Anwar tidak harus terkejut jika secara tiba- tiba lebih ramai lagi “Eskay” muncul membuat pendedahan.
Ummi pun tidak mahu ketinggalan. Beliau mendakwa ada 18 video seks membabitkan Anwar.
Ugutan mereka mirip kepada Senator Ezam Mohd Noor dan Datuk S.Nalakaruppan yang juga mendakwa menyimpan pelbagai bukti mengenai salah laku Anwar ketika beliau Timbalan Perdana Menteri.
Apakah semua perkembangan ini hanya secara kebetulan, bahawa individu bernama Ummi Hafilda dan Rahim Thamby Chik tidak mengenali satu sama lain, malah Umno langsung tidak terlibat dalam segala fitnah dan ugutan yang dibawa oleh mereka berdua ?
Bolehkah rakyat menerima bahawa Ummi dan Rahim melakukan serang hendap terhadap Anwar semata- mata sebagaimana yang didakwa mereka – untuk agama, bangsa dan negara dan bukan didorong kebencian untuk Ketua Pembangkang itu ? Dan, atau adakah imbuhan yang menanti jika misi mereka berjaya terlalu lumayan untuk ditolak?
Kebetulan atau sebahagian dari perancangan?
Jika kebetulan, maka adakah satu “kebetulan’ juga Ummi Hafilda dan Tan Sri Rahim Thamby Chik berjumpa dengan Pengerusi Malaysia Airports Berhad Tan Sri Basir Ismail pada tahun 1998 untuk Ummi mendapatkan sebuah kontrak pengiklanan pada awal tahun 1998 ?
Berikut adalah keterangan yang diberikan oleh Ummi Hafilda kepada Mahkamah Tinggi pada 23 Disember 1998 apabila beliau disoal oleh peguam Anwar ketika itu, Christopher Fernando.
Fernando: Berhubung projek KLIA, adakah kamu ada berjumpa Tan Sri Basir? (Pengerusi MAB).
Ummi Hafilda: Berkenaan kontrak pengiklanan itu, saya ada bertemu dengan Tan Sri Basir di pejabatnya.
Fernando: Pertemuan itu diaturkan oleh Tun Daim Zainuddin dan kamu ditemani Tan Sri Rahim Thamby Chik ?
Ummi Hafilda: Saya tidak bersetuju bahawa pertemuan itu diaturkan oleh Tun Daim.
Fernando: Adakah kamu ditemani Tan Sri Rahim Thamby Chik?
Ummi Hafilda: Saya tidak ditemani Tan Sri Rahim Thamby Chik tetapi saya telah berjumpa dengannya di pejabat Tan Sri Basir.
Fernando: Apa maksud berjumpa Tan Sri Rahim di sana?
Ummi Hafilda: Saya tidak pergi bersamanya, tetapi saya berjumpa dengannya di sana.
Ketika ditanya apakah peranan Rahim dalam pertemuan di KLIA itu, Ummi Hafilda berkata Rahim tidak memainkan apa-apa peranan, selain bercerita hal-hal politik dengan Basir. -Berita Harian









