KUALA LUMPU

R, 8 Dis – Badrul Hisham Shahrin yang tewas dalam pemilihan ketua sayap Pemuda PKR baru-baru ini berkata, beliau tidak mengiktiraf keputusan pertandingan yang diumumkan 26 November lalu.
Ketua PKR Rembau ini juga berkata, beliau tidak akan menerima apa jua jawatan selagi segala aduan mengenai kecacatan dan kepincangan pemilihan dijawab dengan rasmi oleh jawatankuasa pemilihan.
“Saya dengan ini menyatakan akur apa yang berlaku tetapi sama sekali tidak mengiktiraf keputusan pemilihan PKR 2010.
“Saya masih juga menantikan penjelasan bertulis dalam perkara yang saya bangkitkan,” kata beliau yang turut dikenali sebagai “Chegubard”.
“Kita telah berjaya membuktikan tanpa politik naungan dan kewangan yang melimpah kita mampu menang jika semua dijalankan secara telus.
“Saya telah menghantar bantahan bertulis. Bantahan yang telah menyenaraikan perbagai kepincangan ini tidak mendapat respons bertulis setakat ini,” katanya.
Dalam kenyataan pertama selepas Kongres Nasional PKR Ketujuh baru-baru ini, Badrul Hisham berkata, beliau tidak kecewa kerana tewas pemilihan yang julung kali menggunakan sistem secara langsung.
“Kalau kecewa pun adalah kerana saya tidak dapat melaksanakan pembaharuan dalam (Angkatan Muda Keadilan) AMK yang saya dan teman-teman amat yakin mampu menyerlahkan politik reformasi yang kita laungkan selama ini yang telah digariskan dengan jelas dalam Manifestasi Anak Muda Malaysia,” katanya.
Badrul Hisham tewas dalam persaingan satu lawan satu di tangan Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mempertahankan jawatannya dengan majoriti lebih 1,000 undi.
Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider baru-baru ini Shamsul Iskandar berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Badrul Hisham tentang peranan dan jawatan sesuai yang boleh diberikan kepadanya.