Sahabat Ambo

Pengunjung Yang Di Hargai,Untuk Membantu Mohon "KLIK" Iklan Di Atas.Terima Kasih

Dedikasi Buat Tuan Guru Presiden Pas

Penghinaan Mahathir Terhadap Hudud


LAGI VIDEO TINTA HIJAU-DKB KLIK DI SINI

Translate

Ahad, 16 September 2012

Tiada komplot jatuh MB Kedah - Phahrolrazi

ALOR SETAR - Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi menafikan beliau individu yang didakwa membuat kenyataan kepada sebuah portal berita, berhubung kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak perlu diganti sejak setahun lalu, ekoran masalah kesihatan.

Katanya, krisis yang mengaitkan dirinya bersama seorang lagi Exco, Dr Ismail Salleh dianggap selesai sejurus mereka akur keputusan Pas Pusat untuk kembali dalam barisan Exco, 5 Mac lalu.

“Saya andaikan ada pihak mahu memporak-perandakan semula Pas Kedah setelah krisis Exco selesai Mac lalu. Laporan portal berkenaan mungkin sengaja dibuat untuk cetuskan kekacauan dalam Pas Kedah,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka di rumahnya, di Taman Gunung Bayu, semalam.

Phahrolrazi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kundor berkata, pihaknya kesal kerana namanya masih dikaitkan dengan komplot mahu menjatuhkan Azizan, meskipun krisis itu sudah lama berakhir.

“Isu ini sudah selesai apabila saya dan Dr Ismail terima semula jawatan Exco dan menyertai kerajaan untuk terajui Kedah. Ini bermakna kami memberi sokongan penuh terhadap Kerajaan Negeri dan kepimpinan Azizan. Jika tidak, macam mana nak duduk dalam barisan Exco, ini disiplin yang perlu ada pada setiap Exco,” katanya.

Phahrolrazi berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal berita yang memetik kenyataan seorang pemimpin Pas Kedah, bahawa Azizan sepatutnya digantikan sebagai Menteri Besar sejak tahun lalu ekoran masalah kesihatan serius.

Kenyataan itu juga menyebut, beberapa pemimpin Pas Pusat, terutama Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali kuat mempertahankan kedudukan Azizan, atas alasan mereka berkawan rapat.

“Mereka yang membuat syor supaya Azizan diganti akan dianggap sebagai pengkhianat. Tetapi politik sebegini tidak menguntungkan rakyat Kedah,” kata pemimpin itu lagi, dalam portal berkenaan.

Februari lalu, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah pernah menafikan ada menubuhkan gerakan untuk menentang Azizan dan dakwaan enggan dilantik semula sebagai Exco Kerajaan Negeri.

Selain beliau turut dikaitkan Dr Ismail yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah dipercayai berbuat demikian kerana kecewa dengan sikap serta kepemimpinan Azizan, yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah, berhubung pelbagai isu yang melanda pentadbirannya sejak kebelakangan ini.

Mengulas perkara itu lagi, Phahrolrazi berkata, walaupun masih ada ‘mulut-mulut jahat’ yang melemparkan tohmahan terhadapnya konon mahu menjatuhkan Azizan, ekoran krisis Exco lalu, namun hakikatnya, beliau masih berpegang pada prinsip parti.

“Kita tidak layan tohmahan seperti itu, konon Pas Kedah berpuak-puak dan berlaku perpecahan serius. Kita ada prinsip iaitu berpegang pada Islam dan ajaran yang tidak melampaui batas. Walau berbeza pendapat tetapi tidak sehingga ke peringkat merugikan parti atau sampai mahu jatuhkan ketua. Itu bertentangan dengan Islam,” katanya.

Menurutnya, selagi khidmatnya diperlukan dalam Kerajaan Negeri, selagi itu beliau akan berpegang pada prinsip mempertahan kerajaan Pas Kedah, termasuk keputusan yang dibuat oleh negeri.

Mengulas sama ada Azizan masih layak mengekalkan jawatannya sebagai Pesuruhjaya Pas Kedah atau Menteri Besar, Phahrolrazi berkata, perkara itu bawah bidang kuasa Pas Pusat.

“Kedudukan Azizan sebagai Menteri Besar atau Pesuruhjaya Pas Negeri ditentukan Pas Pusat. Pas Kedah tidak boleh campur tangan,” katanya.
Bagaimana pun, Phahrolrazi berkata, sekiranya ada pemimpin Pas Kedah yang mahu Azizan digantikan, mereka perlu membuat cadangan terus kepada Pas Pusat untuk dibincangkan, bukannya Pas negeri.SH

Tiada ulasan:

Hudud : Kenyataan Najib VS Kenyataan Tok Guru Nik Aziz

Bermula 31/7/2009

Pengunjung Ambo dari....