Sahabat Ambo

Pengunjung Yang Di Hargai,Untuk Membantu Mohon "KLIK" Iklan Di Atas.Terima Kasih

Dedikasi Buat Tuan Guru Presiden Pas

Penghinaan Mahathir Terhadap Hudud


LAGI VIDEO TINTA HIJAU-DKB KLIK DI SINI

Translate

Selasa, 22 Disember 2009

Konvensyen PR:Apa Kata Akhbar Cina

Konvensyen Pakatan Rakyat pertama yang diadakan pada 19 Disember, dilihat sebagai langkah penting ke arah Sistem Dua Parti oleh media cetak bahasa Cina. Walaupun Dasar Pakatan Rakyat dianggap mengelak dari sesetengah isu pokok dan kurang sempurna, namun rata-rata menyambut baik usaha PR untuk bermuafakat dalam perbezaan.

Gambar ketiga-tiga pemimpin tertinggi parti komponen PR, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng (atau Lim Kit Siang) dan Abdul Hadi Awang berpegang tangan dipaparkan di kesemua akhbar Cina. Malah, China Press pada 20 Disember menonjolkan gambar Mursyidul Am PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat berpelukan dengan Presiden PAS Hadi Awang, yang dianggapnya sebagai tumpuan media.

China Press memetik kata-kata Nik Aziz, "Sangat jijik bila hampiri UMNO", untuk ditonjolkan sebagai tajuk besar pada muka surat A12. Interaksi antara Pengerusi DAP, Karpal Singh dengan pemimpin PAS juga dilaporkan, dengan tajuk "Berselisih dengan pemimpin PAS? Karpal: Tiada masalah hubungan."

Sin Chew: Titik tolak baru PR

Lidah pengarang Sin Chew Daily pada 21 Disember menulis, "suasana konvensyen adalah harmoni dan dilihat bersepadu. Apa yang kurang adalah, PR jelas mengelak dari isu-isu dalaman yang mustahak, sekadar menuding jari ke arah Barisan Nasional, memberi persepsi bahawa ianya superficial, dan menyapu masalah ke dalam carpet."

"Dalam reformasi politik pula, PR dianggap kurang terbuka dan berani, misalnya pilihan raya kerajaan tempatan tidak diterap ke dalam dasar." Lidah pengarang ini menyaran agar Dasar PR memasukkan penyelesaian yang lebih pragmatik, yang dapat memperlihatkan kemampuan memerintah dan berubah, termasuklah pengurusan ekonomi, reformasi sistem pendidikan, pemindaan akta yang tidak relevan dan sebagainya, untuk menyempurnakan dasar PR.

Malah, Sin Chew menganggap PR menunjukkan fenomena merosot sementara BN di bawah pimpinan PM Najib Razak kini semakin terkeluar dari bayang PRU ke-12. Media ini bertanggapan bahawa gagasan "1Malaysia", malah Indeks Prestasi Utama (KPI) enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diperkenalkan oleh Najib untuk Program Transformasi Kerajaan semakin disenangi,dan Najib mula mengembalikan sokongan rakyat.

Justeru itu, Sin Chew menganggap PR perlu mengatasi program tranformasi BN melalui dasar dan tindakan, menunaikan janji untuk mengekalkan sokongan.

Empat penetapan

Sin Chew Daily, turut menyiarkan tiga artikel kolum yang mengulas Konvensyen PR. Antaranya, Lim Mun Fah menganggap konvensyen ini memberi makna besar kerana menetapkan empat perkara, iaitu:

Pertama, untuk menewaskan UMNO, PR mesti mengelakkan diri dari politik perkauman sempit;

Kedua, PAS tetap setia dengan PR, dan memperlihatkan tekad untuk mengambil alih kerajaan persekutuan bersama DAP dan PKR;

Ketiga, mengiktiraf kedudukan Anwar sebagai pemimpin tertinggi PR;

Keempat, mengetepikan perbezaan antara ketiga-tiga parti, mengambil pendekatan "bersepakat dalam perbezaaan".

Lim Mun Fah menyebut kelemahan yang ada pada ketiga-tiga parti PR, dan menganggap "perbezaan idealisme" adalah cabaran terbesar buat PR pada masa depan.

Di samping itu, Lim Sue Goan pula mempertikaikan PR yang masih kabur dengan dasarnya, dalam artikel kolumnya yang disiarkan Sin Chew Daily pada hari ini. "Mengapa hanya menyebut meminda Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), tetapi tidak janji untuk memansuhkan akta zalim ini atau perkara yang tidak wajar dalam akta ini?" tanya Lim Sue Goan.

Lim Sue Goan terus mempersoalkan, "Mengapa hanya menyebut 'meluaskan skop Lembaga Pentauliahan Kebangsaan untuk memantau dan mencadangkan pengiktirafan sijil, diploma dan ijazah dari dalam dan luar negara yang memenuhi piawaian akademik yang boleh diterima', tetapi tidak menyatakan terus pengiktirafan terhadap sijil Sekolah Menengah Persendirian Cina?"

"Kita tahu ekonomi negara kini terjerumus dalam kemelut. Mengapa PR tidak mengemukakan strategi yang berwawasan, agar dilihat berbeza dengan UMNO?" pertikai Lim.

Nanyang: Langkah besar ke arah Sistem Dua Parti

Nanyang Siang pula, menganggap konvensyen PR ini sebagai langkah besar ke arah Sistem Dua Parti. Dalam satu artikel di ruang kolum, penulisnya menilai model kerjasama dan operasi PR, lebih "progresif" daripada BN yang terdiri daripada 14 buah parti, dan ditubuhkan puluhan tahun yang lalu.

Malah, perhubungan antara parti komponen lebih mudah berbanding dengan BN yang menyanjung "dasar pecah dan perintah" (misalnya memasukkan dua parti yang bertunjangkan masyarakat Cina). Dengan itu, kadar berlakunya pergelutan dalaman di PR akan berkurang secara semulajadinya.

Konvensyen berlangsung dengan lancar, malah mengelak daripada isu "negara Islam", menunjukkan bahawa ketiga-tiga parti telah mencapai muafakat untuk "bersepakat dalam perbezaan", terutamanya antara DAP dan PAS yang jauh berbeza ideologi politiknya.

Dengan kata lain, kolumnis ini menganggap PR masih mampu duduk bersama, berganding bahu menuju ke arah matlamat memerintah di kerajaan pusat, walaupun banyak perselisihan yang berlaku selepas PRU pada 8 Mac 2008.


*Kaleidoskop adalah "digest" kandungan akhbar bahasa Cina. Akhbar yang dirujuk bertarikh 20 dan 21 Disember 2009, berkisar pada Konvensyen Pakatan Rakyat pertama di Auditorium MBSA, Shah Alam, Selangor.Merdeka Review

Tiada ulasan:

Hudud : Kenyataan Najib VS Kenyataan Tok Guru Nik Aziz

Bermula 31/7/2009

Pengunjung Ambo dari....