KOTA KINABALU: PKR sedia memberi beberapa kerusinya kepada Parti
Maju Sabah (SAPP) dan parti pembangkang lain pada PRU-13, kata Datuk
Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Umum PKR berpendapat pembangkang akan mempunyai peluang lebih
cerah pada PRU-13 jika wujud perlawanan satu lawan satu dengan BN.
“Kita (PKR) bersetuju untuk melepaskan beberapa kerusi yang
ditandingi pada pilihan raya umum lepas untuk memberi laluan kepada
parti pembangkang di Sabah, khususnya SAPP.
“Kita juga sedang dalam perundingan dengan beberapa tokoh politik di
Sabah untuk tujuan yang sama dalam kita mewujudkan perlawanan satu
lawan satu dengan BN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri
sebuah forum ekonomi di Tanjung Aru dekat sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menamakan tokoh-tokoh yang dimaksudkan kerana masih dalam proses perundingan.
Anwar, yang juga Ketua Pembangkang, berharap parti-parti lain dalam
pakatan pembangkang juga menunjukkan keterbukaan dan tidak sesekali
membuat kenyataan yang dilihat “agak sombong” mengenai parti pembangkang
lain di Sabah kerana tujuan parti-parti pembangkang berkenaan adalah
sama.