RPK, yang dikatakan dalam persembunyian, kini muncul secara terbuka di kota London. — gambar fail
LONDON, 10 Julai — Mengikuti program-program muzik, menikmati makan malam bersama kawan-kawan dari Malaysia sehingga 11 malam dan berucap pada majlis-mjalis awam.
Ini antara akitiviti harian blogger Raja Petra Raja Kamarudin, blogger berkontroversi di sini, yang menurut Polis Diraja Malaysia menjadi buruan mereka sejak setahun lalu.
Pun begitu beliau tidak kelihatan seakan seorang yang melarikan diri kerana mahu mengelak buruan pihak berkuasa.
Ataupun, sebagaimana diperkatakan oleh kebanyakan media — beliau seorang pelarian jenayah.
Kata Raja Petra, penahanan tanpa dibicarakan adalah satu-satunya sebab yang menghalang beliau untuk kembali ke tanah air.
“Mengapa saya dipanggil pelarian jenayah atau cabut lari atau lebih teruk lagi melarikan diri? Seolah-olah menggelapkan wang dan meninggalkan negara,” kata Raja Petra dalam temu bual bersama The Malaysian Insider di sini.
Penulis ruangan “No Holds Barred” dalam portal Malaysia Today ini menegaskan, disebabkan tidak disabitkan kesalahan berhubung apa jua tuduhan jenayah atau adanya sebarang tuduhan ataupun waran tangkap, beliau tidak harus diklasifikasikan sebagai pelarian.
Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai “RPK” mendakwa tindakannya meninggalkan negara bukan kerana mahu mengelak tuduhan hasutan dan fitnah jenayah, tetapi sumber-sumbernya memaklumkan perintah tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sedang disediakan ketika itu.