Sahabat Ambo

Pengunjung Yang Di Hargai,Untuk Membantu Mohon "KLIK" Iklan Di Atas.Terima Kasih

Dedikasi Buat Tuan Guru Presiden Pas

Penghinaan Mahathir Terhadap Hudud


LAGI VIDEO TINTA HIJAU-DKB KLIK DI SINI

Translate

Khamis, 23 Februari 2012

Menanti debat Anwar-Najib

 Oleh : Ahmad Lutfi Othman
 
Saya langsung tidak berminat dengan polemik siapa pemenang dalam debat di antara Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dengan Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek, jam 5 petang, 18 Februari, di Hotel Berjaya, Kuala Lumpur, yang disiarkan secara langsung oleh Astro.

Akhbar harian, termasuk The Star  (pedulikan paparan Utusan Malaysia dan Berita Harian yang dikontrol Umno), tidak dapat menyembunyikan keghairahannya untuk mempolitikkan event yang bersejarah itu bagi kepentingan pemiliknya, MCA. The Star turut mengada-adakan kenyataan yang tidak dilafazkan Lim.

Lim ternyata tidak mendapat liputan adil, termasuk oleh akhbar Cina terlaris, Sin Chew Daily, apabila Chua disifatkan lebih terserlah, walaupun hakikatnya Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak mahu terperangkap dengan permainan Presiden MCA yang gemar melakukan serangan peribadi.

Bagi Lim, debat seharusnya merupakan satu pertandingan yang berlandaskan idea, cita-cita dan prinsip. Bagaimanapun, kepada saya, sikap penonton yang agak emosional, terutama ketika mengemukakan soalan kepada Lim dan Chua, adalah lumrah dan dipercayai akan menjadi lebih matang jika amalan perbahasan seumpama ini dapat dilazimkan dalam budaya politik Malaysia.

Sebenarnya perdebatan sejam, yang berjalan dalam bahasa Cina, tetapi dialih bahasa secara langsung ke bahasa Melayu oleh Astro Awani, bertajuk "Kaum Cina di persimpangan: Apakah sistem dua-parti menjadi sistem dua-bangsa?" itu sendiri sudah merupakan satu kejayaan dan perlu diteruskan.

Di kala kebebasan bersuara di televisyen dikuasai mutlak Umno-BN, tradisi debat wajar diperluaskan khususnya menjelang kempen Pilihan Raya Umum Ke-13, bagi membuka ruang awam yang lebih kondusif agar rakyat dapat membuat penilaian dan pilihan dengan lebih tepat.

Apatah dalam situasi Pakatan Rakyat sentiasa dinafikan hak untuk akses kepada media; mereka hanya berpeluang menemui rakyat melalui saluran yang sememangnya sukar disekat oleh elit penguasa, iaitu media baru. (Saya teringat  tuntutan asas Bersih, iaitu akses media yang bebas dan adil, juga masa kempen minimum 21 hari).

Malang sekali apabila medium tradisi yang dimanfaatkan Pakatan, khususnya program ceramah, turut disekat, bukan sahaja oleh kesukaran mendapat permit polis dan kepayahan mencari lokasi sesuai, malah Umno kembali mempromosi budaya samseng, dengan tindakan ganas untuk menakutkan masyarakat Melayu.

Insiden terkini melibatkan majlis ceramah Anwar Ibrahim di kawasan Parlimen Sembrong, Johor, yang diwakili Menteri Dalam Negeri, pada 19 Februari lalu. Kereta yang dinaiki Ketua Pembangkang itu diserang  kira-kira 200 "samseng berbayar" mengakibatkan remuk cermin depan dan kemek pintu belakang di sebelah kanan.

Penulis Sayuti Omar yang menyaksikan adegan itu melaporkan, selain aktiviti  ganas, "samseng upahan" Umno itu juga melemparkan maki-hamun dan kata-kata lucah terhadap Anwar dan penyokong Pakatan. Cukup memalukan. Di kawasan menteri yang menjaga polis, hal keselamatan diperjudikan.

Berbicara soal debat awam ini -- tanpa mempedulikan siapa yang dilihat kalah atau menang -- saya lebih tertarik dengan ungkapan awal  Lim dalam ucapannya, selepas menegaskan bahawa debat televisyen mencipta satu bab yang baru dalam politik demokrasi di Malaysia: "Saya berpendapat bahawa, apa yang warga Malaysia benar-benar ingin saksikan, adalah debat antara Perdana Menteri Najib dengan Anwar, untuk melihat siapa yang sebenarnya lebih layak menjadi Perdana Menteri.  Siapa tidak berani berdebat, jangan harap nak jadi Perdana Menteri!"

Tentunya masih segar dalam ingatan kita debat terbuka mengenai kenaikan harga minyak pada 15 Julai 2008, di antara Anwar dan Menteri Penerangan, Ahmad Shabery Cheek, yang juga disiarkan secara langsung.

Shabery wajar dipuji di atas keberaniannya,  meskipun ramai beranggapan beliau kalah dalam perdebatan itu. Namun, keterbukaan Perdana Menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi lebih patut disanjung, lebih-lebih memandangkan prestasi BN begitu buruk dalam PRU12, beberapa bulan sahaja sebelum itu. (Saya lebih mengingati Abdullah kerana membenarkan Harakah kembali diterbitkan dua kali seminggu selepas dipancung kekerapannya pada Mac tahun 2000).

Satu ketika dahulu, forum di universiti kerap menjadi medan perdebatan di antara tokoh-tokoh besar negara, menemukan pemimpin-pemimpin utama kerajaan dan pembangkang, membincangkan isu-isu kritikal negara, misalnya Debat Agung Ekonomi Universiti Malaya. Masyarakat luar kampus juga dibenarkan hadir dan Dewan Tun Canselor sesak dengan penonton.

Kini, menara gading mati. Kebebasan akademik sudah lama ditalkinkan. Ramai tokoh yang tidak disenangi pencacai Umno (yang menjadi pentadbir kampus) dilarang menghadiri program anjuran mahasiswa. Di pihak Umno, tidak ramai pemimpinnya yang bersedia bersemuka dengan pemimpin pembangkang. Kalaupun tidak menolak undangan, mereka lebih banyak menghantar wakil.

Dalam situasi sebegini, inisiatif Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan menganjurkan siri wacana, yang menemukan tokoh BN dan Pakatan, merupakan langkah proaktif melebarkan partisipasi rakyat dalam sistem demokrasi.

Wacana siri ke-9 baru-baru ini mengupas isu ketelusan proses pilihan raya, membariskan penalis Exco Kerajaan Negeri, Husam Musa yang juga Naib Presiden PAS, dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Abdul Aziz dan mantan Pengerusi SPR, Abdul Rashid Abdul Rahman.

Bagi saya, Nazri juga perlu diberikan penghormatan kerana jarang menghampakan jemputan penganjur dan bersedia berdebat dengan pemimpin Pakatan, walaupun hujahnya seringkali tersasar. Pedulikan itu, yang penting kesediaan untuk saling mengemukakan hujah secara berdepan.

Bagaimanapun, perhatian kini lebih tertumpu sama ada Najib bersedia untuk menyambut cabaran  debat yang paling ditunggu-tunggu itu. Sesungguhnya, lambat atau cepat, proses pendemokrasian yang lebih matang bakal mencorakkan landskap politik tanahair, dan di antara elemen pentingnya ialah  perbincangan terbuka isu-isu dan dasar-dasar negara.

Mengulas gesaan Lim agar PM berdebat dengan Ketua Pembangkang, Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar dilaporkan berkata: "Najib perlu bersedia untuk berdebat secara terbuka, bukannya berceramah ke seluruh negara tanpa berhadapan dengan Anwar. Jangan hantar wakil. Rakyat mahukan debat antara Najib dan Anwar, bukannya wakil mereka seperti sebelum ini apabila Ahmad Shabery Cheek dihantar untuk berdebat dengan Anwar.”

Ketua Penerangan KeADILan, Dr Muhammad Nur Manuty menyifatkan pemimpin yang enggan bersemuka dan bertentang mata memberikan persepsi ketidakikhlasan dan ketidakjujuran. "Ia mempamerkan bahawa ada rahsia yang mahu disorokkan. Apakah sebenarnya mahu disembunyikan dari rakyat itu? Umno-BN wajib menjelaskannya," tambahnya.

Sekiranya Najib masih merujuk restu mentornya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tentulah debat yang diimpikan itu tidak menjadi. Dr Mahathirlah yang meminda Auku pada 1975 sehingga mahasiswa dibonsaikan menjadi pelajar sekolah menengah. Dia juga yang mengetatkan lagi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, selain Akta Polis, pada 1988, yang membataskan kebebasan bersuara dengan teruk sekali.

Semasa mengulas cadangan debat Najib-Anwar, Dr Mahathir berkata, "Tidak ada apa untuk berdebat dengan Anwar." Tambahnya, "debat boleh, seronok orang tengok tapi kesan tak ada."

Sementara itu, saya cukup tertarik dengan tanggapan Chua terhadap PAS dan DAP dalam debat Sabtu lalu. Beliau menyifatkan PAS sebagai parti paling beruntung sekiranya Pakatan menguasai Putrajaya, bukannya DAP mahupun KeADILan.

Sebelum ini, banyak kali juga Presiden MCA itu memuji PAS dari segi keadilan dan organisasinya yang lebih mantap. Motifnya tidak sukar ditelah. Chua hanya mahu menakutkan masyarakat Tionghua, menggertak pengundi Cina agar menjauhi Parti Islam. Agaknya Chua masih dalam mimpi apabila beranggapan orang Cina mudah diperdaya sedangkan mereka kian dekat dan rapat dengan PAS.

Ya... MCA mendakwa DAP menjadi perkakas PAS, sebaliknya pemimpin Umno pula menohmahkan PAS adalah kuda tunggangan DAP. Nampak sangat Umno dan MCA masih bermain dengan politik kuno yang sudah usang dan lapuk ditelan zaman.
 
Lebih menarik apabila pemimpin Umno "mengeluh" bahawa PAS sudah lari daripada perjuangan Islam, sambil mengatakan Parti Islam itu sudah tidak seperti dahulu lagi.

Tahu apa yang dikatakan Chua kepada DAP semasa debat terbuka itu? Chua mendakwa, DAP sekarang sudah tidak sama dengan DAP yang lalu!
 
Walhal, daripada "dahulu, kini dan selamanya", Umno dan MCA konsisten melemparkan tohmahan tidak berasas dan fitnah kepada PAS dan DAP.Hrkh

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

setuju sangat. tapi nak cadangkan lagi satu. sebelum berdebat, mesti bersumpah dengan nama Allah akan berkata benar semasa berdebat.
amacam... rasanya DSAI berani tak?

Hudud : Kenyataan Najib VS Kenyataan Tok Guru Nik Aziz

Terdapat ralat dalam alat ini
Bermula 31/7/2009

Pengunjung Ambo dari....