Sahabat Ambo

Pengunjung Yang Di Hargai,Untuk Membantu Mohon "KLIK" Iklan Di Atas.Terima Kasih

Dedikasi Buat Tuan Guru Presiden Pas

Penghinaan Mahathir Terhadap Hudud


LAGI VIDEO TINTA HIJAU-DKB KLIK DI SINI

Translate

Selasa, 9 November 2010

Analisis : Antara Cita Cita Tinggi Zaid Ibrahim Dan Pemilihan Langsung PKR

Dalam satu pertemuan awal bulan lalu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkongsi pandangan - Umno menganggap komponen Pakatan Rakyat ini bercita-cita tinggi untuk melaksanakan pemilihan secara langsung dalam waktu yang begitu singkat.
Kata Saifuddin, menurut seorang anggota Majlis Tertinggi Umno tidak bersedia untuk mengadakan pemilihan langsung antara lain disebabkan oleh soal logistik.
Menjawab soalan kekecohan yang disaksikan di peringkat pemilihan bahagian, banyak pihak menganggap bahawa PKR sedang menuju kehancuran dan hilang kredibiliti. Ia akan menghadapi padah akibatnya pada pilihan raya umum ke-13.
Saifuddin menyangkal tanggapan sedemikian. Begitu juga pandangan Penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Parti berusia 11 tahun ini meminda perlembagaan tahun lalu membolehkan setiap ahli mengundi memilih pucuk kepimpinan pusat.
Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian mendakwa kemenangan Naib Presiden Azmin Ali yang bertanding jawatan timbalan presiden tidak akan memberi legitimasi sahih apatah lagi beliau akan dianggap menang dengan cara tidak demokratik.
“Kepuakan dalam parti secara berterusan akan menjejaskan kredibiliti beliau dan Anwar sendiri yang dilihat bersungguh-sungguh mahu Azmin menang,” katanya.
Kata beliau, kesan peletakan jawatan oleh Datuk Zaid Ibrahim boleh menjejaskan keyakinan ke atas PKR terutama mereka yang percaya parti itu boleh menjadi “pilihan parti politik baru di Malaysia terutama di kalangan bukan Melayu.”
“Beliau juga mengetuai jawankuasa untuk membina dasar bersama untuk Pakatan dan ini boleh menjejaskan perkembangan dasar tersebut... salahlaku dalam pemilihan parti sehingga Zaid melepaskan kesemua jawatan akan turut mempengaruhi pengundi atas pagar yang mengharapkan parti yang stabil untuk memberi cabaran kepad BN,” katanya.
Pakatan Rakyat akan mengadakan konvensyen keduanya di Pulau Pinang bulan depan.
Sivamurugan menganggap Zaid akan dilihat sebagai seorang “dari hero menjadi ‘zero’.”
“Beliau akan kelihatan ‘villain’ bagi sesetengah orang. Bagi yang lain, beliau akan dilihat penggerak reformis, manakala yang lain akan menganggapnya sebagai oportunis (dalam PKR).
“Apapun keadaannya, beliau meletakkan satu bentuk perjuangan baru dalam menyediakan alternatif kepada politik Malaysia,” kat pensyarah dari Pulau Pinang ini.

Pub begitu, Prof A. Aziz Bari pula menganggap Zaid sebagai seorang yang tidak berdisiplin dan gagal memainkan peranan sebagai salah seorang pemain dalam satu pasukan bagi mencapai cita-cita PKR dan Pakatan Rakyat.
“Politik dalam permainan berpasukan, bukannya bulu tangkis... anda kena bergerak secara berpasukan bukannya secara seorang diri,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Ahli akademi Universiti Islam Antarabangsa ini menambah, Zaid telah gagal dalam menerima atau mengikuti rentak permainan PKR selepas menyertainya pertengahan tahun lalu.
“Kita sudah dengar lama. Beliau sebenarnya seorang yang gagal, dalam Umno beliau dan dalam PKR pun dia gagal.
“Kita tidak boleh menafikan yang Datuk Zaid tidak memberi sumbangan kepada PKR, tetapi nampaknya Datuk Zaid ada kelemahan dalam menerima persekitaran politik dalam PKR,” kata beliau yang turut merasakan bahawa yang akan rugi ialah Zaid sendiri.
“Saya rasa yang untung adalah PKR kerana telah berjaya mengeluarkan duri dari parti... saya melihatkan perkembangan sekarang ini sebagai tindakan mengeluarkan seorang itu secara konstruktif, tanpa ada tindakan disiplin... Datuk Zaid sendiri menekan butang mengeluarkan diri dia (daripada arus permainan politik dalaman PKR),” kata Aziz yang berpendapat, kemungkinan itu yang diharapkan oleh sesetengah pihak dalam PKR sendiri.
Beliau berpendapat sesetengah pihak menunggu saat itu apabila beberapa tindakan Zaid, bekas anggota Kabinet persekutuan ini, dilihat melanggar dasar dan keputusan parti. Ini termasuklah dasar tidak boleh memberi pandangan kepada media yang tidak direstui parti dan mengkritik Anwar seolah-olah tidak sanggup menerima tanggungjawab tetapi mahukan kuasa kepimpinan parti.
Mengenai masa depan kerjaya politik, Aziz berpendapat Zaid sendiri yang kena memutuskan.
“Sama ada DAP dan PAS akan menerima beliau, masih menjadi tanda soal... beliau sendiri yang kena memutuskan selepas beliau sendiri memutuskan untuk bertanding dan beliau sendiri yang memutuskan menarik diri daripada saingan,” kata beliau.
Pandangan Aziz seiring dengan komen Timbalan Presiden PKR Senator Dr Syed Husin Ali kepada Bernama. Syed Husin yang tidak mempertahankan jawatan timbalan presiden berkata, keputusan Zaid itu adalah haknya dan parti tidak mempunyai kuasa untuk menghalang.
Katanya, beliau tidak terkejut dengan pengumuman Zaid itu kerana tindakan melepaskan jawatan itu telah pun dijangka.
“Menerusi tindak tanduknya, kenyataan-kenyataan yang dibuat, semuanya saya nampak menjurus ke arah ini (lepas jawatan),” kata Syed Husin lagi.
Beliau tidak menolak kemungkinan kekecewaan terhadap keputusan pemilihan yang kurang memihak kepada Zaid menjadi punca beliau melepaskan semua jawatan.
Dalam satu kenyataan menerusi laman blognya semalam, Zaid yang juga Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan mendakwa dirinya telah tersilap apabila
menawarkan siri untuk bertanding kerana menganggap PKR sebagai sebuah parti yang membawa politik yang progresif, mengembangkan demokrasi dan meningkatkan ketelusan.
Beliau mendakwa sepanjang pemilihan PKR, kepimpinan parti itu secara aktif membiarkan salah laku dan penipuan berleluasa dengan tujuan mencapai objektif tertentu.
Sejak selepas Mac 2008, hampir setiap bulan PKR berhadapan dengan masalah dan isu. Yang terbaru ialah tindakan Zaid memutuskan untuk tidak meneruskan saingan jawatan timbalan presiden. Selain itu beliau juga melepaskan semua jawatan dalam parti.
Ada yang menganggap tindakan Zaid melepaskan kesemua jawatan itu sebagai petanda awal beliau akan meninggalkan parti.
Pukul 11 pagi ini beliau dijadual mengadakan sidang media dan dijangka menjawab teka-teki itu.
Mengambil kira Zaid sebagai salah seorang pemimpin kanan ini bukan kali pertama mengejutkan ramai dengan tindakan seperti ini. Genap setahun lalu, Zaid membuat pengumuman mengejut untuk bercuti selama enam bulan daripada PKR di tengah-tengah ura-ura beliau menghadapi masalah dengan seorang pemimpin kanan parti.
“Ini bermakna saya tidak akan menghadiri mesyuarat biro politik parti,” kata Zaid pada Oktober tahun lalu. Pergeseran ketika itu juga berkaitan dengan Azmin — watak yang sama dalam krisis semasa yang melanda PKR.
Pengumuman cuti Zaid tahun lalu itu dibuat sewaktu muncul khabar bahawa beliau berkemungkinan meninggalkan PKR. Zaid dipercayai berdepan masalah besar menjalankan tugasnya untuk menyatukan pembangkang susulan pergeserannya dengan Azmin. Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak, dilaporkan tidak senang dengan peranan Zaid yang akan dihantar ke Sabah — berselinding di sebalik perjumpaan sambutan Aidifitri — untuk menyelesaikan penolakan ketua-ketua bahagian terhadapnya, yang dilantik sebagai pengerusi Majlis Pimpinan Negeri.
Mengulas perkembangan semasa ini, Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian berpendapat perkembangan terbaru ini menunjukkan rakyat beranggapan bahawa pemimpin-pemimpin PKR lemah dalam memperlihatkan “kesatuan dan perpaduan dalam parti.”
“Kita boleh membuat tafsiran begitu,” kata ketua firma kajian pendapat umum ini.
“Ini juga menunjukkan dalam PKR masih terdapat masalah kepimpinan, pemimpin-pemimpin tidak sehaluan... perkembangan ini sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada populariti PKR dan Anwar sendiri, seolah-olah Anwar tidak berupaya untuk menyelesaikan masalah dan isu yang wujud,” kata Ibrahim lagi.
Ibrahim juga menganggap dalam perkembangan terbaru ini, kedua-dua PKR dan Zaid berhadapan dengan kerugian.
“Saya rasa kedua-dua rugi. Dari kaca mata rakyat, rakyat menganggap parti ini tidak diuruskan dengan baik, parti terus bermasalah. Zaid pun ada kesukaran untuk bekerja dalam satu organisasi,” katanya lagi.
“Zaid ada kesukaran untuk memainkan peranan dalam PKR, beliau ada pengikut sendiri dalam PKR.
“Tetapi apabila beliau memutuskan untuk bertanding, timbul rasa kurang senang di kalangan sesetengah pihak dan timbul tanda tanya (was-was),” kata Ibrahim.
Asas pengaruh dan pengikut ini juga diakui oleh seorang pemimpin cabang yang bertanding jawatan pusat. Beliau yang tidak mahu namanya dipetik menimbulkan persoalan sama ada Zaid mengambil keputusan seorang diri ataupun ada mengadakan perbincangan dengan rakan-rakannya. Dia tetap menganggap jika Zaid mengambil keputusan itu seorang diri, ia adalah keputusan silap kerana alasan yang diketengahkannya bukan beliau seorang sahaja merasakan.
Seorang lagi pemimpin kanan PKR juga beranggapan bahawa ini risiko yang parti terpaksa hadapi dengan mengadakan pemilihan secara langsung.
“Niat mengadakan pemilihan langsung ini baik tetapi pelaksanaan membawa risiko ketika parti tidak cukup bersedia dan ada kekurangan di sana sini.
“Itu sebab saya berpendapat bahawa walaupun kita perlu mengamalkan pemilihan atas nama demokrasi, kita juga perlu ada gagasan muafakat bagi mengelakkan saingan macam ini... mungkin kita harus memikirkan kemungkinan memperkenalkan langkah tidak membolehkan ahli baru masuk parti tidak bertanding selama tiga tahun pertama,” katanya lagi.
Bagaimanapun kata pemimpin PKR tidak akan hancur hanya kerana keputusan Zaid, tetapi ia akan memberikan kesan ke atas imej dan kredibiliti parti itu.
Pandangan itu diakui oleh seorang penganalisis dari UKM, Dr Ahmad Nizamuddin Sulaiman yang berpendapat keputusan Zaid tidak mengakibatkan kredibiliti jatuh merudum.
“Saya tidak melihat kredibiliti PKR sudah jatuh teruk,” kata beliau yang berpendapat bahawa Zaid sudah merasakan beliau sudah tidak ada tempat dalam PKR selepas ini.
“Kemungkinan Zaid sudah merasakan kedudukan beliau dalam parti sudah menjadi tanda tanya. Parti politik di Malaysia bukan macam di Amerika di mana Obama sanggup menerima pesaingnya Hillary Clinton dan dilantik sebagai Setiausaha Negara selepas menang dalam pemilihan.
“Kita di Malaysia, kebanyakan pemimpin politik tidak ada semangat ‘gentleman’ untuk menerima mereka yang kalah dalam saingan... bermakna Zaid melontarkan kekecewaan menerusi pengumuman mahu menarik diri daripada bertanding,” katanya.
PKR juga hilang seorang yang dianggap sebagai pengganti Anwar satu ketika dahulu, kata Sivamurugan lagi.
“Saya melihat ini sebagai titik permulaan keretakan dalam PKR yang jika disusuli dengan peletakan jawatan oleh penyokong Zaid, maka krisis keyakinan dan kepercayaan yang tinggi sedang dilalui oleh PKR,” katanya.
“(Presiden PKR, Datuk Seri Dr) Wan Azizah dalam dilema, sama ada perlu menyokong Zaid atau proksi Anwar, Azmin?” kata beliau lagi.
Ibrahim tidak melihat akan ada tindakan keluar beramai-ramai buat masa sekarang.
“Ia bergantung kepada tindakan kepimpinan selepas pemilihan sama ada mereka bersedia mengambil pendekatan menyatupadukan ahli selepas pemilihan dan menggunakan masa yang ada sebelum pilihan raya umum ke-13,” kata Ibrahim lagi.TMI

Tiada ulasan:

Hudud : Kenyataan Najib VS Kenyataan Tok Guru Nik Aziz

Bermula 31/7/2009

Pengunjung Ambo dari....