MOHAMED ditanam dalam lubang di Afgoye, pada Ahad lalu
[sumber :halaqah.net/v10]
MOGADISHU - Sekumpulan militan Islam memaksa penduduk melihat mereka merejam seorang lelaki sehingga mati kerana berzina di Somalia, lapor sebuah akhbar semalam.
Kumpulan itu turut membunuh seorang lelaki kerana didakwa sebagai pembunuh.
Menurut beberapa saksi, hukuman itu mencetuskan pertempuran senjata antara kumpulan tersebut dengan kumpulan lain dengan mengakibatkan tiga militan terbunuh.
Kejadian berlaku di Afgoye, 32 kilometer dari sini pada Ahad lalu.
"Tiga anggota pejuang kumpulan Hizbul Islam terbunuh dan lima lagi cedera apabila mereka saling bergaduh antara satu sama lain," kata seorang pekedai, Halima Osman.
"Sebahagian anggota kumpulan itu mahu menangguhkan hukuman manakala yang lain menentangnya.
"Anggota-anggota itu kemudian berbalas tembakan.
"Kumpulan yang menentang hukuman itu tewas dan kemudian melarikan diri," tambahnya.
SEORANG lelaki menimbus tanah di dada Mohamed.
Sebelum dijatuhkan hukuman mengikut undang-undang syariah, Hakim Osman Siidow Hasan memberitahu penduduk, dua lelaki itu mengaku melakukan kesalahan selepas siasatan dilakukan.
Seorang wanita yang mengaku melakukan hubungan seks di luar nikah turut dihukum 100 kali sebatan.
"Ini merupakan hari penghakiman," kata Osman kepada orang ramai.
"Kami telah melakukan siasatan dan mereka sudah mengaku," tambahnya.
Hukuman itu dibuat selepas pertempuran antara kumpulan yang menentang dan kumpulan yang mahu hukuman itu dilaksanakan dengan segera berakhir.
Seorang anggota keluarga mangsa yang dibunuh kemudian menembak mati penembaknya yang telah ditangkap.
BEBERAPA orang merejam Mohamed sehingga dia mati.
Pesalah zina tersebut, Mohamed Abukar Ibrahim ditanam di dalam lubang sehingga ke dada dan direjam sehingga dia mati.
"Saya tidak sanggup untuk melihatnya," kata seorang lelaki, Ali Gabow.
Menurutnya, seorang wanita yang mengaku berzina itu dihukum 100 kali sebatan kerana dia menyatakan dirinya masih belum berkahwin. - Agensi
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi kenyataannya bahawa beliau tidak tahu-menahu bahawa tindakannya melantik menantu sendiri menerajui Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) melanggar peruntukan undang-undang.
"Waktu saya lantik menantu saya, saya tidak tahu barang tidak boleh. (Saya) lantik dalam mesyuarat penuh. Ada penasihat undang-undang negeri (LA)," kata menteri besar Kelantan kepada Malaysiakini.
"Saya sebut dalam kertas, menantu saya (dilantik). LA senyap. Saya kata, sahlah."
Ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, Nik Abdul Aziz diminta mengulas kontroversi panjang yang melanda syarikat berkaitan kerajaan itu susulan tindakannya melantik Abdul Ariffahmi Ab Razak sebagai ketua pengarah eksekutif PMBK.
Pelantikan menantunya itu didakwa amalan nepotisme sehingga pemimpin tertinggi PAS, termasuk Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pada 23 November lalu meminta Nik Aziz menasihatkan Abdul Ariffahmi meletakkan jawatan.
Abdul Ariffahmi, yang juga exco Pemuda PAS Kelantan, akan berundur secara rasmi pada Mac tahun depan apabila merancang menyerahkan notis berbuat demikian pada 24 Disember ini.
Ketika diwawancara Khamis lalu, Nik Abdul Aziz ditanya pendiriannya sama ada pelantikan Abdul Ariffahmi merupakan satu kesalahan.
Nik Abdul Aziz berkata, walaupun perkara itu dikatakan" salah tetapi "beliau tidak boleh dipersalahkan" kerana tiada orang memaklumkan perkara itu kepadanya.
"LA pun tidak sebut apa. Nak salah saya macam mana? Jadi bila timbul macam ini, saya kata (Abdul Ariffahmi, foto kiri) letak jawatanlah," katanya.
Tambahnya, pelantikan menantunya dilantik dibuat dengan mempertimbangkan kelebihan jurutera muda itu, antaranya yang aktif dan mudah berkomunikasi dengan beliau.
Ketika Malaysiakini ingin terus mengajukan soalan-soalan berhubung perkara itu, mursyidul am PAS yang berusia 78 tahun bagaimanapun menghentikan wawancara kira-kira 35 minit itu dengan alasan sudah keletihan.
Berikut petikan wawancara berhubung isu PMBK:
Tentang Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) ini, apa yang sudah terjadi?
PMBK ini perbadanan menteri besar. Waktu kami ambil alih, tidak ada fail apa pun dalam PMBK. Menteri besar dulu (BN) buat bagaimana, (kita) tidak tahu. Jadi, waktu ambil alih dulu, kami lantik seorang perempuan berpengalaman dari Kuala Lumpur. Dia buatlah ala kadar, kemudian dia letak jawatan.
Waktu saya lantik menantu saya, saya tidak tahu barang (ini) tidak boleh. (Saya) lantik dalam mesyuarat penuh, ada penasihat undang-undang negeri (LA). Saya sebut dalam kertas, menantu saya (dilantik). LA senyap. Saya kata, sahlah.
Tahu-tahu bising pula. Tetapi saya rasa kedudukan saya benar. Jadi benar kerana LA tidak bersungut apa (membantah). Maka itulah kedudukannya.
Dan pada saya, bukan sahaja masalah menantu sahaja. Selain (sebagai) menantu, dia ini pula ada ilmu. Dan rumah dia dekat dengan rumah saya. Dia pergi sembahyang di masjid, insya Allah dia naik ke rumah. Makan, bercakap, berunding, pergi sembahyang Subuh.
Sebab mudah hendak jumpa?
Ini dekat rumah. Kalau menantu saya duduk jauh seperti orang lain, saya pun tidak tertarik pada dia (untuk melantiknya). Dan dia ini orang muda.
Dia aktif. Jadi saya sayang pada dia kerana dia ini aktif, orang muda dan rumahnya dekat dengan rumah saya. Dia duduk bersama (saya) bertahun-tahun. Selama tiga atau empat tahun.
Sebenarnya salah atau tidak melantik dia?
Mengikut katanya salahlah. Tetapi saya pun tidak tahu. Orang pun tidak beritahu saya. LA pun tidak sebut apa. Nak salah saya macam mana? Jadi bila timbul macam ini, saya kata letak jawatanlah.
Tok Guru tidak terfikir waktu hendak lantik dulu, akibatnya boleh timbul fitnah?
Fitnah ini, tidak lantik dia pun, orang fitnah juga. Saya ini orang PAS, orang Islam. Orang Melayu sendiri benci pada saya. Cina tidak benci saya. Melayu yang benci pada saya. (Gejala) ini pelik.
Ada kemungkinan LA takut, segan hendak tegur Tok Guru sebab Tok Guru menteri besar?
Itu wallahu 'alam (hanya Allah yang mengetahui). Itu tanya dialah.Malaysiakini
SHAH ALAM, Dis 16 — Ahli Parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan dikenakan denda RM1,000 atau tujuh minggu penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menunjukkan kekerasan jenayah untuk menakutkan pegawai polis dalam satu perhimpunan haram anjuran Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) di hadapan sebuah kuil di Batu Caves, Gombak, dua tahun lepas.
Hakim Hasbi Hasan menjatuhkan hukuman itu selepas Gobalakrishnan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengaku bersalah terhadap kesalahan itu. Dia membayar denda.
Gobalakrishnan didakwa sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang telah menunjukkan kekerasan jenayah untuk menakutkan pegawai polis yang menjalankan tugas di Jalan Besar Batu Caves, di hadapan Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves, kira-kira pukul 3 pagi pada 25 Nov 2007.
Dia didakwa mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Fakta kes menyebut, pada hari kejadian, polis mendapati terdapat kira-kira 2,000 orang sedang berhimpun di hadapan pintu besar Kuil Sri Subramaniar dan ketika diminta bersurai, mereka yang berhimpun di hadapan kuil itu tidak mengendahkan arahan itu sambil meluru masuk ke kawasan kuil menggunakan pintu kuil yang telah dipecahkan.
Gobalakrishnan didapati berada di tempat kejadian dan merupakan sebahagian daripada kira-kira 2,000 orang yang menyertai perhimpunan itu. Dia juga telah menunjukkan kekerasan jenayah iaitu dengan mara ke hadapan dan bersorak-sorak sambil mengangkat tangan dalam jumlah yang ramai sehingga menimbulkan ketakutan di kalangan pegawai-pegawai polis yang menjalankan tugas yang sah di sisi undang-undang.
Pihak polis telah mengarahkan mereka yang menyertai perhimpunan haram itu untuk bersurai tetapi Gobalakrishnan masih berada dalam perhimpunan haram itu walaupun mengetahui arahan bersurai telahpun diberikan.
Terdahulu, peguam G.K.Ganesan yang mewakilinya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan semasa kejadian Gobalakrishnan bukan seorang anggota Parlimen dan dia hanya dilantik sebagai anggota Parlimen pada 8 Mac tahun lepas.
Di mahkamah yang sama, turut dikenakan denda RM1,000 ialah seorang mekanik, B Varatharaju, 34, yang mengaku bersalah melakukan kesalahan yang sama.
Gobalakrishnan dan Varatharaju merupakan antara 66 individu yang sebelum ini didakwa terlibat dalam perhimpunan haram anjuran Hindraf itu.
Sehingga kini, daripada 66 individu terbabit 57 daripada mereka telah menukar pengakuan kepada bersalah dan dikenakan denda antara RM750 dan RM850 manakala yang selebihnya masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan sedang dibicarakan. — Bernama
KUALA LUMPUR, 16 Dis: Naib Canselor Universiti Malaya Prof. Datuk Dr. Gauth Jasmon pagi tadi didakwa mengamalkan kronisme dalam pengambilan staff universiti itu.
Menurut Ahli Parlimen Padang Terap Mohd Nasir Zakaria, perlantikan Dr. David Ngo Check Leng dan Dr. David Asirvatham tidak melalui temuduga rasmi Universiti. "Dr. Gauth perlu jelaskan asas-asas perlantikan dua staff terbabit...suatu perlantikan pelik," jelasnya.
"Perlantikan itu ganjil (kerana) tiada temuduga, seolah-olah (seperti) tender tertutup."
(Gambar: Nasir, Muhamad Husein dan beberapa pihak lain dalam sidang media hari ini)
Beliau yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat turut melahirkan rasa ragu terhadap Dr. Gauth kerana kedua-dua staff terbabit merupakan rakan sekerja Naib Canselor itu di Universiti Multi Media (MMU) dahulu.
"Adakah kedua-dua (staff) ini adalah rakan sekerja lama Dr. Gauth di MMU dulu, maka mereka boleh dilantik sewenang-wenangnya di UM," soalnya.
Dalam kenyataan bertulis, Nasir turut memertikai kelayakan minima David Ngo Chek Leng dianugerahkan Profesor serta dilantik sebagai Dekan di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM).
"Beliau tidak memenuhi syarat minima (seperti) mendapat kredit bahasa Melayu dalam SPM, tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu yang diperlukan oleh seorang penjawat awam," jelasnya.
Beliau turut memperikai Dr. David Asirvatham yang menjawat jawatan Pengarah Pusat Teknologi Maklumat (PTM) dengan tawaran gaji begitu misteri, RM18,000 sebulan.
Dakwanya lagi, disiplin pengajian Dr. David Asirvatham dalam bidang e-Learning, sedang disiplin pengajian yang menjadi syarat kelayakan minima bagi Pengarah PTM adalah dalam bidang Sains Komputer.
Nasir turut mendesak Dr. Gauth dan dua staff terbabit digantung dari jawatan mereka masing-masin sebagaimana amalan biasa perjawatan awam demi memudahkan siasatan oleh pihak berwajib.
Beliau juga bercadang untuk memanjangkan dakwaan tersebut kepada Menteri Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Seri Khaled Noor dalam masa terdekat.
Turut menyertai Nasir, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Muhammad Hussein dan dua exco Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM).Hrkh
Berdasarkan hirarki parti dan pentadbiran kerajaan Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dianggap pelapis nombor satu kepemimpinannya, kata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Ahmad-lah. (Beliau) itu pelapis nombor satu. Orang boleh terima atau tidak (kepemimpinan) dia, wallahu a'lam. Tetapi saya sekarang ini letak dia sebagai timbalan nombor satu," kata menteri besar Kelantan kepada Malaysiakini.
"Dan tugas saya sekarang ini, saya serah pada dia. Tugas pentadbiran negeri banyak saya serah padanya."
Nik Abdul Aziz mengulas isu penggantinya setelah muncul pelbagai spekulasi berhubung perkara itu susulan cadangan exco kerajaan negeri Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah supaya “pelan peralihan kuasa” diumumkan.
Selain Ahmad, Nik Mohd Amar sendiri turut disebut-sebut mengisi jawatan itu apabila beliau dibawa bertanding di peringkat DUN dalam pilihan raya umum 2004.
Seorang lagi calon yang dispekulasikan, exco kanan kerajaan Datuk Husam Musa, bekas setiausaha menteri besar itu yang dianggap anak didik Nik Abdul Aziz.
Ketiga-tiga Husam, Nik Mohd Amar dan Ahmad timbalan pesuruhjaya PAS negeri.
Ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, Nik Aziz berkata, berdasarkan hirarki tersebut, beliau tidak memerlukan satu pelan peralihan kuasa yang khusus kerana penggantinya akan dipilih secara automatik berdasarkan kekananan jawatan.
"(Secara) automatiklah. Automatik cara parti. Betul ke begitu, wallahu a'lam. Tetapi persiapan payung itu ada. Bila hujan, kita ada payung.
"Hendak pakai payung atau pergi begitu sahaja, terpulanglah," jelasnya, Khamis lalu.Malaysiakini
KUALA LUMPUR, Dis 16 — Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Syed Husin Ali hari ini mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara untuk tempoh tiga tahun.
Beliau mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Wong Foon Meng di Bangunan Parlimen di sini.
Syed Husin , 63, yang dilantik oleh Dewan Undangan Negeri Selangor, berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah daripada London School of Economics dan berkecimpung dalam bidang politik sejak 50 tahun lepas.
Ketika ditemui Bernama selepas majlis angkat sumpah itu, beliau melahirkan perasaan gembira dan berharap menyumbang idea yang dapat dimanfaatkan oleh semua pihak. — Bernama