RANTAU PANJANG, 29 Nov: Umno mempertahankan tradisi lama, menggunakan umpan wang dan hiburan bagi menarik sokongan rakyat.
Wang menjadi pengantaraan bagi memaksa ibu bapa hadir pada majlis penyampaian apa-apa sahaja bantuan di bawah kerajaan pusat.
Dan sekarang kesempatan digunakan sepenuhnya dengan memaksa ibu bapa
datang ke sekolah bagi menerima wang sebanyak RM100 bagi pihak anak
mereka. Sebelum wang disampaikan mereka dipaksa mendengar ceramah
politik Umno.
Begitu juga hiburan dan artis menjadi ‘sajian’ tetap Umno apabila
mahu menghimpunkan orang ramai. Program Bekwoh anak Kelantan anjuran
Umno di Stadium Bukit Jalil baru-baru ini juga mengundangkan artis.
Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, wang digunakan Umno sejak tahun 1960-an lagi bagi membeli wakil rakyat PAS.
“Orang lama tentunya masih ingat lagi peristiwa turn about - about turn, di mana lima Adun PAS diculik dan dikurung di Kuala Lumpur,” katanya pada ceramah di Markas PAS Rantau Panjang malam semalam.
Hadir sama Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud, bekas Menteri
Besar Pakatan Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Yang Dipertua PAS
Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun dan Adun Gual Periuk, Ustaz Mohamad
Awang.
Peristiwa yang tercatat dalam sejarah itu berlaku pada 1968 selepas
Umno (Perikatan) gagal dalam misi merampas Kelantan sejak pilihan raya
umum 1959.
Lima Adun PAS yang diculik dalam misi tersebut termasuk Adun Kota
Bharu Timur, Saufi Idris; Adun Tok Uban, Abdullah Yusof; Adun Pasir
Puteh Tenggara, Abdul Rahman Mohd Salleh; Adun Tanah Merah Barat, Yusof
Abdul Latiff dan Adun Tanah Merah Timur, Che Omar Mohamad.
Menurut Che Omar mereka ditempatkan di sebuah rumah di Jalan
Pekeliling, Kuala Lumpur selama sebulan dengan kawalan ketat pegawai
polis.