
Oleh : Ahmad Tajdid
RAMAI penganalisis politik menyifatkan keputusan pilihan raya kecil (PRK) Dun Tenang mempunyai signifikan tertentu dalam episod terkini politik tanah air. Ia menjadi penanda aras bagi BN mengukur kestabilan pengaruh di kawasan kebal yang dikuasainya khususnya negeri Johor. Di masa yang sama, Dun Tenang juga menguji kemampuan Pakatan Rakyat untuk menembusi kubu Umno dan BN yang telah berakar sejak lebih 50 tahun lalu.
Satu lagi aspek penting yang patut dilihat adalah perubahan ' rupa dan pendekatan' parti-parti dominan Cina dalam meraih sokongan masyarakat Tionghua dalam suasana real politik yang ada.
Aspek paling ketara dilihat sepanjang PRK Dun Tenang adalah perubahan pada rupa, wajah dan pendekatan MCA dalam memperdagangkan isu ketika berkempen. Di masa yang sama, komitmen tinggi yang ditunjukkan para pemimpin DAP dalam membantu calon PAS juga berjalan seiring dengan wajah dan pendekatan parti itu yang begitu kontradik dengan persepsi dan tanggapan majoriti masyarakat Melayu negara ini; khususnya yang mempunyai kecenderungan politik terhadap Umno dan BN.
MCA yang dikenali sebagai parti kerabat BN yang moderat, moden dan toleran dengan realiti masyarakat majmuk di negara ini tiba-tiba muncul sebagai sebuah parti 'ekstremis sekular' yang tidak langsung mahu menghormati adab, tatasusila dan ajaran agama (dalam konteks ini Islam sebagai agama rasmi negara). Ini dapat dilihat daripada isu bersalam calon PAS dengan pengundi lelaki, usaha menakut-nakutkan kaum Tionghua dengan konsep negara Islam dan momokan terhadap hukum syariah khususnya hudud pada kelompok pengundi yang sama.
Malah anak Presiden MCA yang mewarisi kerusi parlimen Labis daripada ayahnya, pergi lebih jauh dengan berbohong kononnya calon PAS, Normala Sudirman mempersoalkan tindakan seorang peniaga Cina yang menjual arak di kedai kopi yang diusahakannya. Chua Tee Yong @ Chua Jr bagaimanapun gagal memberikan sebarang bukti terhadap dakwaannya itu apabila dicabar PAS. Malah berdolak-dalih kepada media apabila diminta mendedahkan perkara sebenar.










