Sahabat Ambo

Pengunjung Yang Di Hargai,Untuk Membantu Mohon "KLIK" Iklan Di Atas.Terima Kasih

Dedikasi Buat Tuan Guru Presiden Pas

Penghinaan Mahathir Terhadap Hudud


LAGI VIDEO TINTA HIJAU-DKB KLIK DI SINI

Translate

Khamis, 26 November 2009

Isu PMBK Menyatukan Hati Pemimpin PAS


Oleh Suhaizan Kayat

Mari kita perhalusi kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) semalam dalam Utusan Malaysia :

"Ini yang dipanggil berpakat, tegur menegur, itu asas Islam. Saya tekan Pusat, Pusat tekan saya. Masa saya cadangkan EGM (mesyuarat agung luar biasa) baru-baru ini, ada orang setuju, sebab itu saya tekan dia (Pusat)."


Ini bermakna semasa isu UG dan EGM, TGNA menegur pimpinan PAS Pusat. Dalam isu PMBK Tuan Guru Hj Hadi Awang(TGHD) tegur TGNA. Itulah tegur menegur amalan yang baik dalam PAS. Sebuah Jemaah Islam yang sedang diperhatikan oleh rakyat Malaysia. Budaya ini tidak boleh dilaksanakan dengan jayanya oleh kedua-dua Tok Guru jika mereka mementingkan diri masing-masing.

Saya cukup berbangga dengan keputusan yang di buat oleh TGNA meminta menantunya Sdr Ariffahmi Abd Rahman yang juga rakan karib saya di universiti melepaskan jawatan sebagai CEO PMBK. Sekalung tahniah juga saya ucapkan kepada TGHD yang telah datang ke Kota Baharu menegur TGNA. Tak lupa juga kepada Ariffahmi yang sanggup melepaskan jawatan yang besar ini. Itulah yang saya sebut "SELESAIKAN MASALAH, TINGKATKAN UKHWAH & HENTIKAN PERBALAHAN" dalam Seminar Memperkasakan Parti lepas. Walaupun sebahagian pemimpin PAS tak setuju dengan kenyataan saya bahawa pemimpin PAS sebelum ini berbalah tetapi itulah persepsi kebanyakkan rakyat Malaysia.

Alhamdulillah segalanya telah selesai.

Tindakan kedua-dua Tok Guru ini dapat menghilangkan kesedihan hati rakyat Malaysia dan ahli-ahli PAS di bawah sana. Harapan mereka tidak tinggi hanya mahu melihat kedua-dua Tok Guru berganding bahu menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional dalam pilihanraya akan datang.

Tahniah TGNA !
Tahniah TGHD !
Tahniah Ariffahmi !
Tahniah Rakyat Kelantan !
Tahniah pimpinan PAS Pusat !
Tahniah rakyat Malaysia !
Tahniah untuk semua.


Suhaizan Kayat
Ketua Penerangan DPPP

http://kentong-suhaizan.blogspot.com/

Khalid peneraju, Selangor terus unggul

Neo Chee Hua

Menteri Besar Incorporated (MBI) yang diterajui oleh Khalid Ibrahim telah menjadi teras ekonomi Selangor, sejak beliau memegang tampuk pimpinan negeri itu. Pengaruh MBI kelihatan di mana-mana, dari dasar pembangunan ekonomi, pengagihan sumber ekonomi hinggalah reformasi syarikat GLC. Malah, MBI menjadi tumpuan media baru-baru ini berikutan pembelian kembali aset hutang RM392 juta.

Khalid Ibrahim sememangnya calon terbaik untuk menerajui pembangunan ekonomi Selangor, jikalau mengambil kira latar belakang pendidikan dan pengalamannya dalam bidang korporat. Namun, seandainya penekanan diberikan secara berketerlaluan terhadap seseorang pemimpin, malah pentadbirannya tidak dipantau oleh orang awam, maka timbul persoalan "kuasa MB yang semakin berkembang" yang mungkin diakhiri dengan masalah Moral Hazard.

Selangor penting dalam ekonomi

Menurut Menteri Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Nor Mohamed Yakcop, Selangor merupakan negeri ekonomi yang terbesar di Malaysia, dengan sumbangan RM100.9 bilion dalam GDP, iaitu kira-kira 21.2% dalam ekonomi negara. Selangor juga penyumbang terbesar dalam bidang pembuatan (27%) dan pembinaan (35.5%).

Menurut maklumat Malaysian Industrial Development Authority (MIDA), bilangan projek pembuatan yang diluluskan Selangor adalah tertinggi dalam negara, iaitu 1,517 antara tahun 2001-2005, bersamaan 31.5% daripada jumlah projek seluruh negara. Malah, dalam tempoh yang sama, Selangor mencatat Capital Investment sejumlah RM29.2453 bilion.

Selain itu, menurut Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sepanjang tempoh RMK-8 (tahun 2001-2005), Selangor mencatat purata kadar pertumbuhan setinggi 5.2%, menjuarai 14 negeri (termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur). Menurut anggaran, Selangor akan mencatat purata kadar pertumbuhan 6.2% dalam tempoh RMK-9, iaitu tahun 2006-2010, mendahului negeri-negeri yang lain.

Dari segi pendapatan perkapita, Selangor mencatat RM3,702 antara tahun 2001-2005, satu langkah di belakang Kuala Lumpur yang mencatat RM4,105. Menurut anggaran, pendapatan perkapita Selangor mungkin mampu mengatasi Kuala Lumpur dalam tempoh tahun 2006-2010 dengan RM5,175 (purata kadar pertumbuhan 6.9% setiap tahun), menjadi negeri dengan pendapatan perkapita yang tertinggi di Malaysia.

Pada masa yang sama, Selangor menduduki ranking ke-4 dalam indeks komposisi sosio ekonomi daripada 14 buah negeri (termasuk KL). Antaranya, Selangor menduduki tempat ketiga dalam Economic Index, hanya ketinggalan di belakang Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Selain itu, kadar kemiskinan Selangor hanya mencecah 1% pada tahun 2004, merupakan kadar kemiskinan yang kedua terendah di seluruh negara, selepas Pulau Pinang yang mencatat 0.3%.

Oleh itu, setelah Pakatan Rakyat membentuk kerajaan di Selangor selepas 8 Mac 2008, kelebihan Selangor dalam bidang ekonomi telah menjadi tumpuan PR. Perlantikan Khalid Ibrahim sebagai MB oleh PR memperlihatkan strateginya untuk menjadikan kelebihan Selangor ini sebagai modal politik PR.

Latar belakang Khalid Ibrahim

Khalid Ibrahim (gambar kiri) memperoleh Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Ekonomi dari Universiti Malaya dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Queensland, Australia pada 1975. Sebelum Khalid berkecimpung dalam bidang politik, beliau pernah menjadi CEO di Syarikat Permodalan Nasional Berhad (tahun 1979-1994) dan Kumpulan Guthrie Berhad (tahun 1995-2003). Malah, beliau pernah dianugerahkan oleh Business Times-American Express sebagai CEO Malaysia terbaik pada tahun 1998.

Pada masa yang sama, Khalid Ibrahim pernah menganggotai Lembaga Pengarah dalam SIRIM, MIER, ISIS, NPC, dan sebagai anggota Financial Engineering Forum dan APEC.

Khalid Ibrahim paling terkenal dengan "Serangan Waktu Subuh" ke atas Bursa Saham London pada 8 September 1981, merampas Guthrie Corporation dari tangan orang Inggeris dalam masa tidak lebih daripada dua jam.

Prestasi dalam ekonomi

Jelas, latar belakang dan pengalaman Khalid Ibrahim menunjukkan bahawa ekonomi adalah kepakarannya. Misalnya, setelah Khalid Ibrahim menyandang jawatan MB, projek pelaburan baru sejumlah RM7 bilion telah diluluskan dari Mac 2008 hingga Julai 2009. Antaranya, RM2.667 bilion adalah pelaburan tempatan, malah RM4.336 bilion adalah pelaburan asing.

Projek baru yang diluluskan oleh MIDA dan MITI ini telah berjaya menawarkan 18,166 peluang pekerjaan untuk rakyat Selangor.

Selain itu, Khalid Ibrahim juga berjaya menyusun semula apa yang ditinggalkan bekas kerajaan Selangor. Menurut Laporan Ketua Audit, walaupun pelaburan saham kerajaan negeri Selangor telah menambah dari RM323.55 juta pada tahun 2004 kepada RM390.60 juta pada 2008, iaitu penambahan 20.7%, tetapi hanya mendapat pulangan dividen 0.02% secara purata dalam tempoh lima tahun yang lepas.【Baca: Untung, tapi tak bayar dividen】

Khalid Ibrahim telah mengambil langkah-langkah untuk memperbaikinya, termasuk penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri Selangor pada Mei 2008. Pengurusan tunai yang berkesan ini telah mendapat pulangan yang baik, mengekalkan status tunai dan pelaburan jangka pendek kerajaan negeri Selangor tahun 2008 pada paras yang baik.

Antaranya, pendapatan daripada pelaburan jangka pendek kerajaan negeri pada tahun 2008 telah meningkat sebanyak RM7.22juta atau 60.6%, sehingga RM19.14 juta, lantaran daripada pengurusan tunai yang berkesan ini.

Malah, Khalid Ibrahim telah merangka dasar pembangunan ekonomi yang jelas untuk negeri Selangor. Di samping itu, beliau telah mengemukakan pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM50 bilion untuk menangani krisis eknomi global baru-baru ini.

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

Rabu, 25 November 2009

Husam Tidak Mahu Jawatan MB Kelantan,Beri Tempoh Seminggu Untuk NSTP/Utusan Malaysia Mohon Maaf


KOTA BAHARU: Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Husam Musa berkata beliau akan menolak tawaran jika dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan, untuk menggantikan Datuk Nik Abdul Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata Datuk Ahmad Yaakob lebih layak menjadi Menteri Besar Kelantan kerana senioriti serta hiraki di dalam kerajaan dan parti iaitu sebagai Timbalan Menteri Besar dan Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kelantan.

"Semua calon layak, Timbalan Menteri Besar lebih layak lagi sebab dia paling senior.

"(Cuma) jangan calonkan nama saya cukup, kerana saya tidak mahu dicalonkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada ibu tunggal yang terpaksa menanggung anak yang menghidap down sindrom di Kampung Becah Keranji, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Bernama semalam bahawa Nik Abdul Aziz tidak menolak wujud kumpulan pelapis dalam PAS Kelantan yang bakal mengambil alih tempatnya sebagai Menteri Besar sekiranya beliau melepaskan jawatan itu.

Bagaimanapun, beliau enggan membayangkan siapa nama yang disebut-sebut bakal menggantikannya, tetapi memberi gambaran ia tertakluk kepada hiraki dalam parti di peringkat negeri di mana wujudnya Pesuruhjaya, Timbalan Pesuruhjaya Satu hingga Tiga.

Pesuruhjaya PAS III Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dalam laman web Malaysian Insider dipetik sebagai berkata Nik Aziz perlu mengumumkan calon penggantinya bagi mengelak perebutan dan konflik dalam PAS Kelantan apabila beliau tiada.

Sehingga kini Ahmad yang disebutsebut di kalangan pemimpin dan penyokong PAS Kelantan kerana ketokohan ulama dan dirinya yang dilihat tidak pernah dicemari dengan pelbagai isu kontraversi.

Selain Ahmad, Husam dan Mohd Amar turut disebutsebut sebagai bakal menggantikan Nik Abdul Aziz.

Husam, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Negeri berkata, berkata isu itu tidak perlu dihebohkan, kerana siapa yang dipilih memegang jawatan itu beliau akan menyokong.

Husam berkata beliau akan mengkaji dengan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap laporan akhbar New Straits Times Press (NSTP) dan Utusan Malaysia yang menyiarkan berita berbau fitnah terhadapnya.

Katanya, beliau memberi tempoh seminggu ke atas keduadua akhbar itu untuk menyiarkan kenyataan permohonan maaf terhadapnya sebelum beliau mengemukakan saman di mahkamah.

Husam sebelum ini "diserang" oleh media tempatan dengan dakwaan beliau telah meletak jawatan dalam kerajaan dan politik berikutan konon beliau memberikan kata dua kepada Nik Abdul Aziz berhubung pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang di dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengenai kenyataan Nik Aziz yang memuji beliau sebagai pemimpin muda PAS yang berkaliber, Husam berkata beliau berterima kasih di atas penghargaan itu.

"Saya ucap terima kasih kerana saya dua tahun menderita kerana (dikatakan) menentang kerajaan perpaduan dan saya difitnah kiri kanan, blog yang tidak ada nama hentam saya, macam-macam program diatur untuk menanyakan saya, tetapi saya tidak boleh balas balik kerana nak jaga perpaduan dalam parti dan imej parti," kata Husam. BERNAMA

Mogok Lapar Penyokong Hindraf Di KLCC




Berpuluh penyokong Hindraf berhimpun di KLCC pagi ini untuk menyertai mogok lapar bagi mengingati ulangtahun kedua perhimpunan raksasa 25 November.

Dengan diketuai oleh aktivis Hindraf S Jayathas, mereka tiba di pintu masuk KLCC pada kira-kira jam 9.10 pagi. Enam belas orang daripada mereka memakai baju-T Hindraf berwarna oren. Kebanyakan mereka turut memakai lencana anti-ISA.

Mereka merancang untuk mengadakan mogok lapar selama 18 jam sehingga 4 petang selaras dengan tuntutan 18 perkara kepada kerajaan bagi menangani masalah masyarakat India di negara ini.

“Tuntutan 18 perkara itu bertujuan untuk menangani masalah kemiskinan tegar di kalangan masyarakat India di Malaysia.

“Tidak ada panduan dan peluang bagi masyarakat India, maka ramai yang terbabit dalam jenayah. Kerajaan tahu mengenai masalah itu tetapi tidak mengambil sebarang tindakan,” kata Jayathas.

Kira-kira 24 orang anggota polis kelihatan memantau keadan

Manakala pihak pengurusan KLCC telah meminta kumpulan tersebut supaya tidak duduk kaki lima kerana ia menganggu perniagaan di situ.

Anwar menang saman, NSTP diarah bayar RM100 ribu




Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan News Straits Time Berhad (NSTP) membayar ganti rugi berjumlah RM100 ribu kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mahkamah turut mengarahkan NSTP membayar RM20 ribu sebagai kos mahkamah.

Keputusan itu diumumkan Hakim Harminder Singh Dhaliwall di Mahkamah Tinggi Jalan Duta petang tadi.

Pada 2003, Anwar memfailkan saman terhadap NSTP dan bekas ketua pengarang kumpulan Tan Sri Abdullah Ahmad, di atas artikel yang bertajuk 'Anwar’s Link To US Lobbyist' yang disiarkan pada 2002.

Anwar menuntut RM100 juta bagi ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Artikel itu menyentuh dakwaan hubungan Anwar dengan pelobi Washington DC, hubungan kewa- ngan beliau dan organisasi dikenali Asia Pacific Policy Centre (APPC) dan tuduhan dalam akuan bersumpah oleh bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Murad Khalid. Hrkh

Bukit Antarabangsa:MB Selangor Arah MPAJ Tulis Surat Kepada Kementerian Kerja Raya




SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan mengarahkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menghantar surat kepada Kementerian Kerja Raya untuk mendedahkan kandungan laporan siasatan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang kepada umum.

Menurut Khalid, surat berkenaan merupakan surat ketiga yang dihantar kerajaan negeri dalam usaha mendapatkan kebenaran untuk mendedahkan laporan berkenaan kepada penduduk Bukit Antarabangsa khasnya.

“Setakat ini saya sudah menghantar dua pucuk surat. Selepas surat pertama, saya diminta menulis satu lagi surat supaya perkara berkenaan dibincangkan di peringkat kabinet sebelum diputuskan.

“Jadi petang ini, saya akan minta MPAJ hantar surat permohonan (ketiga) kepada kementerian tersebut seperti yang dinyatakan oleh menteri terbabit," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor bahawa MPAJ perlu memohon kepada Kementerian Kerja Raya untuk mendedahkan kandungan laporan siasatan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, kepada umum.

Semalam, Shaziman berkata MPAJ perlu memohon kepada kementeriannya untuk mendedahkan kandungan laporan siasatan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa kepada umum.

Menteri itu berkata, selagi MPAJ tidak mengemukakan permohonan, status laporan itu kekal sebagai 'rahsia' dan kerajaan Selangor tidak boleh mendedahkannya kepada umum.

Abdul Khalid sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan negeri tidak dapat mengedarkan salinan laporan kejadian itu kepada umum kerana belum mendapat kebenaran dari Kementerian Kerja Raya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk mendedahkan laporan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa kepada umum, namun ia hanya boleh dilakukan sekiranya tidak mendapat halangan daripada kerajaan persekutuan.

“Banyak permintaan dari penduduk di Bukit Antarabangsa untuk meneliti laporan lengkap berhubung kejadian tanah runtuh itu supaya mereka boleh memahami dan mengetahui situasi sebenar kejadian,” katanya.

Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Hulu Klang pada 6 Disember tahun lalu telah mengorbankan lima nyawa.

Mengenai tindakan undang-undang di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang mungkin dikenakan terhadapnya berhubung pendedahan kandungan laporan tanah runtuh itu, Khalid berkata: “Kita tidak pernah ‘declassify’ laporan itu. Empat muka surat yang saya dedahkan sebelum ini hanyalah kenyataan umum berkaitan dengan peta dan ia bukannya sebahagian daripada kandungan laporan tanah runtuh itu. Itu yang kita difahamkan oleh MPAJ.”

Isnin lepas, Abdul Khalid yang mengubah status klasifikasi dokumen itu dengan menggunakan haknya sebagai Menteri Besar mengikut Seksyen 2C, OSA, berkata, orang ramai boleh mendapatkan kadnungan laporan berkenaan daripada MPAJ.

Bagaimanapun, beliau menangguhkan keputusan mengedarkan salinan laporan siasatan itu disebabkan belum mendapat kebenaran daripada Kementerian Kerja Raya.Mstar

Hudud : Kenyataan Najib VS Kenyataan Tok Guru Nik Aziz

Bermula 31/7/2009

Pengunjung Ambo dari....