
Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata keretakan antara beliau dan Ahli Parlimen Bayan Baru itu berpunca apabila Zahrain gagal mendapatkan kelulusan tender bernilai RM40 juta untuk mengurus projek Bukit Jambul Golf Resort.
Katanya, beliau tidak meluluskan tender tersebut kerana syarikat yang disokong kuat oleh Zahrain baru sahaja ditubuhkan dua bulan sebelum tender projek dikeluarkan iaitu pada akhir September 2008.
“Saya rasa punca utama beliau letak jawatan ialah gagal dapat projek itu.
“Adakah saya diktator jika saya tidak beri kelulusan tender berjuta-juta itu kepada syarikat ‘dua ringgit’ itu?,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
“Saya rasa Zahrain masih lagi geram kerana saya tidak luluskan tender tersebut pada syarikat dua ringgit itu dan punca beliau keluar parti dengan mengatakan saya seorang diktator,” katanya.
Selain itu, Lim juga mempersoalkan tindakan Zahrain meletak kesemua jawatannya dalam parti, tetapi tidak sebagai Pengerusi dan anggota lembaga pengarah Island Golf Properties Sdn Bhd sedangkan jawatan itu dilantik oleh kepimpinan parti dalam pakatan pembangkang.
Semalam, Zahrain mengumumkan keluar daripada PKR kerana kecewa dengan perjuangan parti itu dan hilang kepercayaan terhadap penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu, beliau yang mengisytiharkan dirinya sebagai Ahli Parlimen Bebas, berkata keputusan itu dibuat kerana tidak yakin dengan kerajaan pakatan pembangkang Pulau Pinang pimpinan Lim yang dianggapnya diktator dan berfikiran ala komunis. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan