KUALA LUMPUR 13 September: Seorang pegawai kanan polis akhirnya mengaku bersalah terhadap tindakan ganas pasukan itu ke atas orang awam dan wartawan yang bertugas pada perhimpunan Bersih.
Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa memohon maaf dan beralasan kononnya polis manusia biasa yang tidak terlepas melakukan kesilapan.
“Dalam taklimat kepada pegawai polis, saya sudah memberitahu mengenai kebebasan wartawan. Kalau nak ambil tindakan terhadap wartawan, perlu pastikan mereka ada pas media atau sebaliknya.
“Saya pesan kepada mereka (polis), apa juga kejadian yang melibatkan wartawan akan memberi imej buruk kepada polis.
“Tapi malangnya perkara ini tetap berlaku. Sebab kita ini manusia…Saya minta maaf, mungkin saya terlalu emosional, tapi sampai ke hari ini, saya tertanya-tanya kenapa perkara ini boleh berlaku.
“Selepas fikir-fikir balik, barulah saya sedar yang anggota polis itu juga manusia biasa,” katanya di hadapan panel Pendengaran Awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.
Panel itu diketuai Naib Pengerusi Suhakam, Dr Khaw Lake Thee dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.
Polis perlu hormati kebebasan media
Khairi juga tidak bersetuju dengan pandangan pegawai polis lain untuk memberikan taklimat kepada wartawan ketika membuat liputan mana-mana perhimpunan kerana peranan media sudah wujud sebelum negara merdeka.
“Kita perlu faham hak kebebasan membuat liputan. Kita tidak perlu takut dengan laporan negatif media. Media kadang-kadang mempunyai pandangan berbeza terhadap sesuatu keadaan. Jadi kita perlu hormati hak kebebasan media,” tegasnya.
Menurut Khairi lagi, bukan sahaja wartawan, kebebasan orang ramai untuk berhimpun juga perlu dihormati kerana ia sudah termaktub dalam Artikel 10, Perlembagaan Negara.
Katanya, polis hanya berhak untuk mengawal keadaan supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.