Laporan Daily Mail online yang merupakan portal
berita nombor satu dunia turut menyiarkan mengenai kehilangan pesawat
milik MAS pada Sabtu
KUALA LUMPUR: Kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370
yang sedang dalam perjalanan dari sini ke Beijing awal pagi Sabtu telah
mendapat liputan meluas pelbagai agensi berita antarabangsa dan dunia.
Ini termasuklah portal berita nombor satu dunia, The Mail Online
(www.dailymail.co.uk) yang memaparkan kisah kehilangan pesawat MAS yang
membawa 239 penumpang dan anak kapal itu sebagai berita utama mereka.
Dengan judul 'Fears 239 may have died in air crash as Boeing 777
mysteriously vanishes over Vietnam two hours after taking off from
Malaysia', portal itu membuat laporan dari pelbagai sudut termasuk
mendapatkan pandangan beberapa pakar penerbangan dan pesawat.
Menurut The Mail Online, jika benarlah pesawat itu hilang, ia mungkin disebabkan oleh beberapa faktor.
Ini termasuklah malapetaka kegagalan enjin, juruterbang cuba mengelak
pesawat berkenaan daripada bertembung dengan pesawat lain atau pun
mungkin juga disebabkan oleh letupan.
Menurut portal berita itu lagi, pesawat MAS MH370 itu tidak
mengeluarkan isyarat kecemasan sejurus sebelum ia dilaporkan hilang dari
radar.
Jika ini benar, ia memberi indikasi yang pesawat itu ditimpa malapetaka tanpa sempat memberi amaran atau isyarat kecemasan.
Untuk jarak penerbangan dari Kuala Lumpur-Beijing, kata portal berita
itu lagi, pesawat berkenaan mempunyai bahan api yang memadai untuk
bertahan tujuh jam di udara tanpa mengisi semula.






