Sahabat Ambo

Pengunjung Yang Di Hargai,Untuk Membantu Mohon "KLIK" Iklan Di Atas.Terima Kasih

Dedikasi Buat Tuan Guru Presiden Pas

Penghinaan Mahathir Terhadap Hudud


LAGI VIDEO TINTA HIJAU-DKB KLIK DI SINI

Translate

Sabtu, 11 Jun 2011

Dalang Video Seks Dapat "Perlindungan Khas" ?

SEPANG 11 JUN : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi melahirkan keyakinan bahawa dalang penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan dirinya mendapat "perlindungan khas" daripada pihak tertentu.

Hal ini katanya bertambah jelas apabila sehingga kini pihak berkuasa masih gagal untuk membuat sebarang tangkapan.

“Siapa tauke besar di Malaysia boleh edarkan VCD lucah ini? Sudah tentu dia tauke besar... siapa yang buat ini sudah tentu diberikan perlindungan dan jaminan.

“Apa jaminannya? Untuk jatuhkan Anwar Ibrahim, selepas kes liwat tidak berjaya sekarang video seks pula,” katanya pada pada ceramah perdana Agenda Negeri Selangor di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi di sini, malam tadi.

Selepas tayangan secara terbuka yang dilakukan oleh trio 'Datuk T' yang terdiri daripada bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim, penyebaran video seks yang mengandungi imej mirip ketua pembangkang itu tersebar melalui internet dan juga dalam bentuk VCD ke serata Selangor.

Sasarannya bukan hanya Ketua Kampung, malah pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat juga.

Difahamkan selain diedarkan dalam ceramah yang dianjurkan Pakatan Rakyat, VCD lucah itu juga diposkan ke rumah pemimpin parti perikatan itu.

Terbaru Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin telah menerima VCD lucah itu yang diposkan ke rumahnya di Ampang.

Dalam pada itu, Anwar pada ceramah sama turut mengingatkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul khalid untuk melakukan pelbagai perubahan di negeri ini tanpa mengenepikan kepentingan rakyat.

“Selangor mesti terus melakukan pembangunan, tarik lebih banyak pelabur tapi jangan lupa matlamat... iaitu pembangunan insan bukan buka gedung, buka kilang tapi pendapatan rendah, bukan naikkan harga minyak yang akhirnya rakyat merana dan ini bertentangan dengan prinsip Islam.

“Kita mesti melakukan ihsan, berikan keadilan dan jaga kebajikan rakyat, jadi kita perlu perbanyakkan program yang memberi matfaat kepada masyarakat,” katanya.

Malah tegas beliau, setiap janji yang dilafaz haruslah dikotakan.

“Jangan kita sambil melakukan pembangunan (pada masa sama) kita robohkan pula.

“Jadi pemimpin bukan hanya pandai bercakap tapi mesti menunjukkan keilkhlasan jiwa kepada rakyat,” katanya.TVS

Cabaran getir menanti pasukan TG Nik Aziz-TG Abdul Hadi

Oleh Mohd Rashidi Hassan

TIDAK sampai dua minggu lagi kita akan menyambung ulang tahun ke sembilan pemergian Almarhum Dato' Fadzil Mohd Noor, mantan Presiden PAS yang kembali kerahmatullah pada 23 Jun 2002.
Pemergian Almarhum, yang jasadnya dikebumikan di Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah, harus diperingati, bukan untuk meratapinya dengan kesedihan semata-mata. Yang paling penting nilai perjuangan yang beliau sumbangkan terlalu besar ertinya kepada PAS.
Selepas Ustaz Fadzil Noor mengambil alih jawatan Presiden (ketika itu Yang Dipertua PAS Pusat) daripada Almarhum Ustaz Yusof Rawa pada tahun 1989, kepimpinan dan ahli PAS yang menjalani tarbiyah serta pemulihan (di zaman Ustaz Yusof 1983-1989), semakin diperkukuhkan.
Untuk rekod Ustaz Yusof meninggal dunia pada 28 April 2000 setelah uzur selama beberapa tahun. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di kediamannya di Gelugor, Pulau Pinang, pada kira-kira pukul 7.00 pagi, pada usia 78 tahun.
Ketika itu Almarhum Ustaz Yusof dilantik menjadi Mursyidul 'Am, Ustaz Fadzil selaku Yang Dipertua, Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Dato' Seri) menjadi Timbalan Yang Dipertua, manakala Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Dato') sebagai Ketua Dewan Ulama PAS Pusat.
Akibat keuzuran sekian lama Ustaz Yusof melepaskan jawatan Mursyidul Am dan Ustaz Nik Aziz dilantik mengisi kekosongan tersebut.
Gandingan Ustaz Fadzil, Ustaz Hadi dan Ustaz Nik Aziz menerajui PAS. Lebih satu dekad mereka bertiga menjadi pemimpin utama PAS. Wibawa mereka, kehebatan mereka bertiga diakui dan diiktiraf oleh kawan dan lawan.
Ketokohan ketiga-tiga Tuan Guru ini dalam PAS begitu terserlah sehingga karisme dan bakat kepimpinan yang mereka warisi, dilihat jauh meninggalkan pemimpin-pemimpin bawahan.
Dalam PAS ketika itu masih ramai pemimpin-pemimpin yang hebat serta berpengalaman, namun ketokohan mereka tidak mampu menyamai Ustaz Fadzil, Ustaz Hadi dan Ustaz Nik Aziz.

Jurang kepimpinan

Tanpa disedari, tanpa PAS kehendaki dan harus diakui wujud jurang yang lebar antara ketiga-tiga pemimpin ini dengan pemimpin bawahan.
Bukannya PAS tidak mempunyai pemimpin pelapis, tetapi masih belum kelihatan pemimpin yang dapat mewarisi bakal kepimpinan ketiga-tiga mereka.
Maka selepas pemergian Ustaz Fadzil, PAS berada dalam keadaan yang tersentak seketika. Ustaz Fadzil adalah pemimpin agung yang kehilangannya sukar untuk digalang-ganti. Secara jujurnya diakui ketika itu (2002), PAS tidak sanggup kehilangan Ustaz Fadzil. Namun kehendak Allah Yang Maha Kuasa mengatasi segala kehendak hamba-hamba-Nya.
Maka selepas Ustaz Fadzil, Ustaz Hadi menerajui PAS. Ustaz Nik Aziz sebagai Mursyidul Am.
Akibat daripada kelompongan yang besar ini wujud satu jurang yang sehingga kini masih gagal diisi oleh pemimpin yang lain.
Jurang ini sebenarnya bukan persepsi. Jurang ini juga bukan menafikan ketokohan pemimpin PAS yang lain. Tetapi ianya adalah pengiktirafan ahli, penyokong dan rakyat terhadap status seseorang pemimpin.
Sehingga hari ini dalam PAS pun diperakui, masih belum lagi dilihat ketokohan pemimpin yang boleh menyamai gandingan Ustaz Fadzil-Ustaz Hadi-Ustaz Nik Aziz.
Oleh sebab itu selepas Ustaz Hadi menjadi Presiden PAS. Jawatan Timbalan Presiden sudah diisi dua orang, iaitu Almarhum Ustaz Hassan Shukri dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa. Mohamad Sabu adalah Timbalan Presiden yang ketiga di bawah Ustaz Hadi.

Jumaat, 10 Jun 2011

Video : Persepsi - Hard Talk Bersama Mohamad Sabu




KUALA LUMPUR, 10 Jun: Para pemimpin Umno tidak perlu menonjolkan mereka menyanjungi ulama dengan membuat kenyataan demi kenyataan dalam akhbar milik umno, Utusan Malaysia kerana sikap mereka sudah diketahui dengan jelas hanyalah lakonan semata-mata.

Mereka juga tidak perlu menuduh para pemimpin dan ahli-ahli PAS kini menolak ulama kerana tujuan sebenar mereka sudah diketahui dengan nyata hanyalah untuk melaga-lagakan antara sesama pemimpin PAS.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) berkata, sekiranya para pemimpin Umno terus memainkan isu ciptaan mereka itu, mereka tetap kecewa kerana para pemimpin dan ahli-ahli PAS sendiri sudah amat faham perkara itu.

Menurut beliau, ahli-ahli PAS sendiri sudah sekian lama memahami sikap sebenar para pemimpin dan ahli-ahlli Umno selama ini yang tidak pernah menyanjungi ulama, malah sentiasa memperlekehkan golongan ulama.

Katanya, sikap buruk mereka itu antara lain boleh dirujuk dengan kenyataan-kenyatan mereka selama ini yang sentiasa memperlekehkan ulama-ulama dalam PAS termasuk terhadap Tuan Guru Datuk Nik Abdu Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

"Tiba-tiba sekarang mereka kata para pemimpin dan ahli-ahli PAS menolak ulama. Tapi sejak bila Umno menyanjungi ulama? Mereka sendiri sebenarnya yang menolak ulama bukannya kita," katanya kepada Harakahdaily, di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, menurut beliau, para pemimpin Uimno perlu menilai diri mereka sendiri terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan seperti itu terhadap PAS.

Katanya, dalam PAS setiap ahlinya sendiri cukup faham dengan struktur organisasi PAS yang tidak sekali-kali menolak ulama, malah meletakkan golongan ulama ditempat yang paling tinggi dan utama.

"Dalam PAS terdapat Syura Ulama yang menjaga dasar PAS. Majlis Syura Ulama adalah badan tertinggi dalam PAS. Syura Ulama tidak boleh dianggotai sembarangan orang, tetapi setiap ahlinya mestilah mereka yang berpendidikan tinggi dalam Islam dan mempunyai akhlak yang baik.

"Ahli-ahli Syura Ulama berbeza dengan para pemimpin PAS yang lain termasuk Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden atau yang paling atas hingga AJK atau yang paling rendah dalam AJK PAS Pusat.

"Majlis Syura' adalah badan penting yang bertanggungjawab menggariskan dasar PAS dan memastikan PAS tidak terkeluar dari perjuangannya untuk menegakkan Islam," katanya.

Dengan itu, tegasnya, dalam PAS tidak akan timbul soal menolak ulama. Tambahan pula dalam PAS juga turut terdapat Dewan Ulama yang walaupun berbeza dengan Majls Syura Ulama, tetapi turut berperanan membantu PAS agar tidak tergelincir dari asas perjuangannya dengan konsep kepimpinan ulama.

Katanya, hanya Umno BN yang tidak tahu tentang perkara itu sehingga menyebabkan mereka sanggup membuat tuduhan seperti itu terhadap ahli-ahli PAS.

PAS, tegasnya, dari awal penubuhannya lagi terhasil dari gabungan golongan profesional dan ulama. Disebabkan realiti itu, sesiapa sahaja yang dipilih menjadi pemimpin PAS akan diterima oleh ahli-ahlinya, kecuali ahli-ahli Majlis Syura yang hanya terhad kepada kalangan tertentu sahaja.

"Itulah rahsia kekuatan PAS sejak dulu yang kini semakin diperkuatkan pula oleh barisan kepimpinan baru dan seluruh ahli-ahli. Barisan kepimpinan baru PAS juga turut diterima baik oleh DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

"Ini menjadikan PAS dan Pakatan Rakyat kini semakin kuat, manakala Umno BN pula sekarang semakin lemah kerana tongkatnya, MCA dan MIC sudah patah, apabila MCA dan MIC juga sudah semakin lemah.

"Disebabkan keadaan itu, orang-orang Melayu juga sudah tidak lagi boleh bergantung kepada Umno sekarang. Disebabkan PAS pula yang semakin kuat, orang-orang Melayu perlu menyokong PAS dan Pakatan Rakyat bersama kaum-kaum lain bagi membela nasib mereka dan melakukan perubahan di negara kita," ujarnya.

Sejajar dengan itu, katanya, soal berkerjasama antara PAS dan Umno langsung sudah timbul lagi sekarang. Umno tidak perlu merayu kepada PAS mengenainya kerana tidak akan dilayan oleh PAS.

"Kalau kita bekerjasama dengan Umno, jangan ingat Umno tak khianati PAS kerana pengalaman PAS yang lalu sudah mencukupi bagi PAS. Umno hanya perlu menerima pengajaran dari pengkhianatannya sendiri selama ini dengan akan berkubur tidak lama lagi," tegas beliau.Hrkh

Khir Toyo Ubahsuai rumah RM6.5 juta, gaji MB lapan tahun pun belum mampu

KUALA LUMPUR: Belanja RM6.5 juta yang digunakan mantan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo untuk mengubahsuai kediaman mewahnya, tidak akan mampu ditanggung meskipun beliau menjawat jawatan itu lapan tahun berturut-turut.
Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, pendedahan itu menunjukkan kekayaan dan jumlah aset melampau yang dimiliki Khir, sekaligus mengambarkan pentadbiran Umno yang korup.
“Kalau ikutkan gaji yang diterima oleh Menteri Besar lebih kurang RM35, 000 sebulan, walaupun beliau memegang jawatan itu tujuh hingga lapan tahun, namun dengan jumlah sebanyak RM6.5 juta yang dikeluarkan secara tunai meragukan kita.
“Ini gambaran bahawa pentadbiran Umno selama ini berlaku kebobrokan,” ujarnya yang juga Adun Seri Muda.
Dalam pada itu, Shuhaimi berkata, beliau percaya Khir Toyo menjadi mangsa kambing hitam pimpinan Umno Selangor sendiri, iaitu Datuk Noh Omar yang kini menjadi Timbalan Pengerusi Umno Selangor.
“Ini semua satu perangkap yang dipasang Noh serta rakan pimpinan Umno Selangor dan mangsa yang dikambing hitam ialah Khir,” kata Shuhaimi ketika dihubungi Keadilandaily.com.

Coretan Sekitar Muktamar Pas Ke 57

Oleh : Khalid Samad

Dari kedai kopi hingga ke Pak Menteri dan tidak ketinggalan juga yang masih merasakan dirinya Perdana Menteri; telah banyak yang diperkatakan oleh segenap lapisan masyarakat semenjak berakhirnya Muktamar PAS yang ke 57 pada hujung minggu yang lalu.

PROSES PEMILIHAN

Saya telah hadir ke Muktamar di Taman Melewar yang bermula pada Jumaat 3 Jun hingga Ahad 5 Jun pada sekitar jam 4 petang. Ucapan dasar yang disampaikan membentangkan konsep ‘Negara Berkebajikan’ dan ini didakwa sebagai bukti PAS telah menyimpang dari dasarnya. Yang mendakwa sedemikian adalah UMNO yang dari awal tidak memahami apa yang PAS perjuangkan! Ini akan saya ulas secara lanjut di bawah.

Pada sebelah petang, pengundian dijalankan sambil minit mesyuarat, laporan tahunan dan laporan kewangan dibentang untuk dibahas. Hakikatnya, ini merupakan saat yang ditunggu-tunggu oleh ramai dan setelah selesai, ramai yang tidak sabar-sabar untuk tibanya esok hari kerana ingin mengetahui keputusan.

Amalan baru, ‘bidaah hasanah’, yang dilakukan pada tahun ini, setiap calon jawatan TP dan 3 NP telah melantik wakilnya untuk melihat proses perkiraan undi. Sambil itu, 5 orang lagi diambil secara rambang dari perwakilan untuk melihat proses tersebut bagi pihak calon AJK PAS Pusat. Bukan soal tidak percaya, tetapi untuk menentukan tiada fitnah yang dapat ditimbulkan lebih-lebih lagi oleh pihak lawan yang begitu kemaruk ingin memburuk-burukkan PAS dan mengadu-domba di kalangan ahli PAS.

Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik dan pada keesokan harinya, semua bergegas ke dewan muktamar dengan ada kedengaran bermacam-macam khabar angin. Saya juga turut ingin mendengar keputusan, lebih-lebih lagi untuk jawatan-jawatan tertinggi parti. Malangnya, jam 8.33 pagi saya menerima panggilan dari anak sahabat saya, Abdul Rahman Mayan, memberitahu bapanya baru sahaja meninggal dunia!

AL-MARHUM SAUDARA A. RAHMAN MAYAN

Semua yang bergiat dengan PAS Shah Alam mengenali A. Rahman Mayan. Beliau bergiat sebelum saya tiba di Shah Alam dan merupakan di antara penggerak utama PAS Shah Alam. Dewan restorannya di Temasya Food Court, semasa ianya disewa oleh Al-Marhum, sering digunakan untuk diadakan Mesyuarat Agung, Seminar dan Konvensyen. Beliau merupakan seorang periang, sangat-sangat murah hati dan penggerak yang komited. Beliau di antara pengasas Kelab Penyokong PAS yang sekarang ini telah dinaik taraf menjadi Dewan Himpunan Penyokong PAS. Keikhlasan orang seperti Al-Marhum sebenarnya adalah dorongan bagi diri saya sendiri. Hakikatnya, perjuangan ini panjang dan sukar, tidak mungkin ditanggung seorang diri. Dengan adanya orang-orang seperti Al-Marhum, yang berkorban walaupun bukan dia yang menjadi calon, memberi suntikan semangat untuk kami terus berjuang.

Saya bergegas keluar dari dewan walaupun keputusan belum lagi diperolehi dan terus menuju ke rumah Al-Marhum. Ramai yang telah mula berkumpul. Saya sempat bertahlil ringkas dan membaca Yaa Siin dan sejurus selepas itu, jenazahnya dibawa ke Masjid An-Nahdah Seksyen 18. Saya diberi penghormatan mengimamkan salat jenazahnya dan selepas itu, dengan perasaan yang serba sebak, sempat juga menyampaikan kata-kata ringkas akan kebaikan Allahyarham.

Seterusnya kami mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan di Sek 21 dan sejurus itu berita melalui SMS diterima yang menyatakan keputusan pemilihan, termasuk bahawa saya juga telah dipilih, tidak mampu menyerikan suasana sedih yang menyelubungi kami ketika itu.

Ramai yang berkumpul di tanah perkuburan sehingga 3 khemah yang disediakan tidak mampu menampung jumlah orang yang hadir. Al-Marhum dikenali dan disenangi ramai. Saya yakin tiada hutang yang ditinggalkan tetapi sebaliknya yang berhutang dengannya mungkin ada.

Jam 2 tengah hari, selepas makan tengahari, saya bersama sahabat kembali ke muktamar di Taman Melewar. Keputusan menunjukkan suatu line-up diperingkat tertinggi yang diluar dugaan. Ini kerana, ramai yang menganggap jawatan-jawatan tertinggi akan dimenangi oleh golongan berlatar belakang pendidikan agama secara rasmi. Akhirnya, jelas tidak begitu.

Mohamad Sabu Mengulas Isu Perpaduan Melayu

KUALA LUMPUR, 9 Jun — Mohamad Sabu menegaskan kepimpinan PAS termasuk barisan pemimpin pusat yang baru tidak menolak idea perpaduan Melayu, sebaliknya Umno sengaja menggunakan soal itu sebagai bahan kempen menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Jelas timbalan presiden PAS itu, “Umno silap” jika mendakwa keputusan PAS menolak untuk bekerjasama dengan parti teras Barisan Nasional (BN) itu bermakna ia akan memecahbelahkan orang Melayu.
“Umno mula pertikaikan perpaduan Melayu apabila kepimpinan sudah jatuh tetapi sebaliknya jika mula kuat, mereka jadi takbur,” ujar Mohamad (gambar) lagi.
“Umno sebenarnya sudah lemas, sebab itu membangkitkan isu perpaduan Melayu. Kami (kepimpinan baru PAS) tetap perjuangkan perpaduan Melayu tetapi berlandaskan keadilan untuk kepentingan semua masyarakat,” kata timbalan presiden PAS ini ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Kelmarin, timbakan pengerusi Umno Kedah Datuk Mukhriz Mahathir melahirkan rasa tidak gembira kerana PAS tidak mahu perpaduan Melayu apabila PAS terus menolak kerjasama dengan Umno.
Pandangan yang serupa juga dilahirkan oleh timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam ucapan dasarnya Jumaat lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian partinya akan terus bersama Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 meskipun dihujani siri pelawaan dan jemputan daripada kepimpinan Umno sepanjang tiga tahun lalu.
Beliau menegaskan, PAS tiada masalah untuk mewujudkan hubungan peribadi tetapi tidak dalam hubungan politik.
Katanya, PAS tetap bersama Pakatan Rakyat untuk membina politik baru tanpa sebarang acuan Umno.
Sementara itu, salah seorang naib presidennya Salahudin Ayub berkata, kepimpinan PAS tidak pernah menolak idea perpaduan Melayu kerana perpaduan itu sudah lama wujud sejak negara merdeka.
“Perpaduan itu telah lama wujud. Bukan sahaja perpaduan dengan orang Melayu, bahkan juga perpaduan dengan masyarakat lain berlainan agama.
“Perpaduan Melayu itu tetap wujud dan tidak akan hilang sama sekali selagi kita tetap pegang pada prinsip perpaduan, mengamalkan budaya Melayu, beretika ikut cara Melayu dan ikut acuan bangsa Melayu,” katanya.
Selain itu, Salahudin berpendapat, Umno memberi kenyataan sedemikian kerana mereka mengalami “musim kemarau yang panjang.”
Jelasnya, mereka ketandusan idea untuk menjatuhkan PAS sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan begitu sedangkan hakikatnya langsung tiada kena-mengena dengan perpaduan Melayu.
Ditanya mengenai PAS mahu memecahbelahkan Melayu untuk kepentingan mereka, beliau menegaskan, perpecahan Melayu hanya akan terjadi seandainya “kita memutuskan ikatan silaturrahim.”

Hudud : Kenyataan Najib VS Kenyataan Tok Guru Nik Aziz

Bermula 31/7/2009

Pengunjung Ambo dari....