
KUALA LUMPUR, 29 Jan — Ahli Parlimen PKR Padang Serai N Gopalakrishnan( gambar ) sebagaimana telah dijangkakan sejak awal tahun lalu mengumumkan keputusan keluar parti itu berkuat kuasa hari ini.
“Ya, saya melepaskan semua jawatan dan saya sudah keluar PKR... sekarang saya wakil rakyat Bebas,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider tengah hari ini.
Ketika ditanya sama ada akan menyertai mana-mana parti atau Konsensus Bebas, Gobalakrishnan berkata: “Buat masa ini saya akan bertindak sebagai wakil rakyat Bebas, saya bergerak sendiri... saya Bebas.”
Sebelum ini beliau berkata tidak akan keluar parti, biar pucuk kepimpinan memecatnya ekoran kecaman keras terhadap parti.
Beliau menolak akan menyertai parti Kita yang kini diketuai oleh Datuk Zaid Ibrahim, yang November lalu turut keluar PKR.
Gobalakrishnan (gambar) juga menghadiri majlis pelancaran parti itu di ibu negara 19 Januari lalu.
“Saya tidak menyertai (parti Kita),” katanya lagi.
Menjawab soalan sama ada sudah memaklumkan PKR tindakannya, wakil rakyat itu menambah: “Parti sudah tahu, saya sudah membuat pemakluman menerusi blog (dan Twitter) dan juga media, mereka tahu.”
Pagi tadi bekas calon naib presiden PKR itu mengumumkan melepaskan semua jawatannya dalam parti komponen Pakatan Rakyat itu.
Beliau yang juga ketua PKR cabang Padang Serai pada Mei lalu didenda RM3,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Pulau Pinang kerana didapati bersalah terhadap pertuduhan menghalang anggota polis sebagai penjawat awam menjalankan tugas pada tahun 2002.
Dengan itu beliau berhadapan dengan risiko hilang kelayakan sebagai wakil rakyat. Rayuannya masih didengar.









