MPUR, 21 Jun – Tian Chua dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) kekal sebagai Ahli Parlimen Batu sehingga usul menentukan status kelayakan diputuskan oleh Dewan Rakyat, kata Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia(gambar) hari ini.Bagaimanapun menurut Pandikar, usul itu hanya akan dibawa selepas Chua menggunakan kesemua ruang yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.
Ini termasuklah tempoh membuat rayuan dalam 14 hari yang dibolehkan kepada wakil rakyat penggal pertama itu.
Setakat ini, Chua membayangkan tidak akan membuat rayuan atas alasan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ghazali Cha Khamis lalu sangat jelas, yang membolehkannya mengekalkan kerusi tersebut yang terletak di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Pengerusi DAP Karpal Singh terus menegaskan, Chua seharusnya dilucutkan kelayakan sebagai wakil rakyat sambil meminta Speaker agar mengisytiharkan kerusi tersebut sebagai sudah kosong.
“Beliau (Speaker) harus berbuat demikian. Beliau mesti melakukan, ia arahan mahkamah,” kata beliau kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen petang ini.
Menurut peguam veteran ini, niat hakim kes rayuan yang mahu mengelakkan pilihan raya kecil “tidak relevan” buat masa sekarang.



