
SEPANG: "Tentera Israel mempunyai senarai nama yang mereka mahu bunuh sebelum naik ke kapal."
Itu pendedahan Ketua Misi Life Line For Gaza (LL4G), Noorazman Mohd Samsuddin berikutan penemuan beberapa bukti daripada tiga anggota komando Israel yang berjaya ditahan semasa insiden serangan tentera rejim Yahudi ke atas Mavi Marmara Isnin lalu.
Katanya, penggunaan peluru getah itu adalah alasan semata-mata kerana terdapat bukti komando rejim memang berniat membunuh pihak tertentu yang ada di atas Mavi Marmara.
"Saya ada bukti yang mereka mempunyai niat untuk membunuh. Menggunakan peluru getah hanya sebagai alasan sahaja.
"Mereka mempunyai senarai nama yang mereka mahu bunuh sebelum naik ke kapal. Kami telah menahan tiga anggota tentera dan apabila kami melakukan pemeriksaan, kami temui senarai nama berserta gambar orang-orang yang mereka mahu bunuh.
"Sesetengah daripada mereka ialah tokoh Turki dan antarabangsa... tokoh-tokoh penting dunia. Kami tidak termasuk dalam senarai sebab itu kami tidak ditembak.




