Politik mula bergolak di negeri Perak berikutan desas-desus pembubaran Dewan Undangan Negeri sejak kebelakangan ini. Pada hakikatnya, khabar angin ini tersebar sejak rampasan kuasa pada 6 Februari 2009. Tetapi, pengalaman lalu yang berakhir dengan "satu lagi pembohongan", telah menghakis harapan orang ramai. Namun, kemungkinan khabar angin ini menjadi kenyataan amat tinggi untuk kali ini.

Mahkamah Persekutuan bakal mengumumkan penghakiman terhadap kes "Menteri Besar Perak yang sah" pada 9 Februari yang akan datang. Ini merupakan saluran terakhir Menteri Besar Pakatan Rakyat (PR) di Perak, Mohd. Nizar Jamaluddin (gambar kiri) untuk merayu melalui sistem kehakiman sejak dilucutkan dari jawatannya.
Seandainya Mahkamah Persekutuan menyetujui penghakiman Mahkamah Rayuan, maka Menteri Besar Barisan Nasional, Zambry Jamaluddin adalah Menteri Besar yang sah. Maka, Nizar Jamaluddin gagal memulihkan jawatannya sebagai Menteri Besar melalui saluran kehakiman yang lain. Sebaliknya, seandainya Mahkamah Persekutuan menolak penghakiman Mahkamah Rayuan, Nizar Jamaluddin akan kembali menjadi Menteri Besar.
Menurut maklumat dari sumber PR, penghakiman oleh lima orang panel ini memihak kepada PR. Oleh itu, PR yakin bahawa mereka akan menang dalam perbicaraan ini, malah berjanji akan menghadap Sultan untuk memohon agar DUN dibubarkan.