Sahabat Ambo

Pengunjung Yang Di Hargai,Untuk Membantu Mohon "KLIK" Iklan Di Atas.Terima Kasih

Dedikasi Buat Tuan Guru Presiden Pas

Penghinaan Mahathir Terhadap Hudud


LAGI VIDEO TINTA HIJAU-DKB KLIK DI SINI

Translate

Ahad, 29 Januari 2012

MCA: kapal yang hampir karam

Oleh Amin Iskandar

Malaysian Chinese Association (MCA) takut akan kehadiran pilihan raya umum (PRU) akan datang. MCA sedar, mereka tidak mampu untuk mengekang kemaraan Democratic Action Party (DAP) — yang semakin kuat disokong oleh masyarakat Cina.Silap haribulan, MCA akan kalah teruk sehingga parti tersebut terpaksa tutup kedai. Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek tahu akan realiti dan hakikat ini. 

Sebab itu kita boleh lihat bagaimana mantan Menteri Kesihatan itu bersungguh-sungguh mencari jalan untuk meraih kembali sokongan masyarakat Cina yang menjadi tunjang MCA.Kemerlangan DAP memerintah Pulau Pinang sehingga menjadikan negeri tersebut sebagai diantara model pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) yang terbaik.

Ini menyukarkan misi MCA untuk menyakinkan Umno dan sahabat lain dalam Barisan Nasional (BN) bahawa mereka masih lagi mewakili suara masyarakat Tionghua.

Strategi Chua Soi Lek

Chua Soi Lek tidak berputus asa. Daripada duduk menyerah kalah, lebih baik lakukan sesuatu. Untuk terus menyerang DAP dari segi rasuah dan penyelewengan, sukar untuk dilakukan kerana sehingga kini, DAP mempunyai rekod bersih. 

Dari segi prestasi kerja, Adun dan Ahli Parlimen DAP kebiasaannya terdiri daripada orang yang kuat kerja.Jadi, strategi yang terbaik MCA adalah untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina. Jika kita ingat kembali, tidak berapa lama dulu, Dr. Chua pernah mengeluarkan kenyataan bahawa MCA tidak akan mengambil sebarang jawatan kabinet jika kalah teruk dalam PRU akan datang.

Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina - mereka tidak akan mempunyai wakil dalam kabinet jika mengundi DAP.Ini akan menjadi diantara strategi kempen MCA yang bakal dilakukan secara besar-besaran dalam PRU akan datang. 

Kedua, Chua Soi Lek dan MCA menakut-nakutkan masyarakat Cina dengan slogan “jika undi DAP, PAS akan berkuasa”. Jika PAS berkuasa, hukum Hudud akan dilaksanakan di Malaysia.MCA percaya, masyarakat Cina tidak akan selesa jika undang-undang Islam seperti Hukum Hudud dilaksanakan di Malaysia.

Dua strategi kempen ini akan dijalankan oleh MCA secara habis-habisan di masa ini dan sewaktu kempen PRU akan datang.Persoalannya, apakah begitu mudah masyarakat Cina ditakut-takutkan lagi?

Strategi ala Mahathir

Pada PRU ke 10, strategi menakut-nakutkan masyarakat Cina berkesan. Pilihan raya terakhir bagi Tun Dr. Mahathir itu menyaksikan bagaimana masyarakat Cina menjadi penyelamat kepada nyawa BN.Pada ketika itu, majoriti undi orang-orang Melayu telah beralih arah kepada gabungan Barisan Alternatif. 

Strategi kempen Dr. Mahathir untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina berjaya.Gerakan Reformasi yang dianjurkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim disamakan dengan rusuhan di Indonesia ketika reformasi menjatuhkan Soeharto — di mana masyarakat Tionghua menjadi mangsa kemarahan rakyat.

Peminat-peminat politik pasti tidak akan terlupa bagaimana “billboard-billboard” yang bertemakan undi pembangkang menyebabkan negara huru-hara dinaikkan di kawasan-kawasan yang mempunyai ramai penduduk Cina.

Kesannya DAP menjadi parti yang paling rugi dalam PRU 1999. Jaguh DAP seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh turut tewas dalam PRU tersebut.

PRU 13 keadaan berbeza

Strategi untuk menakut-nakutkan pengundi ini tidak akan berjaya selalu. Setelah berulang-ulang kali dilakukan, orang pasti sudah tahu.Tambahan lagi dengan perkembangan internet yang pesat, maklumat berada dihujung jari semudah dengan telefon bimbit.

DAP pula sudah mempunyai hubungan yang lebih akrab dengan PAS. Di negeri Perak membuktikan bagaimana DAP dan PAS boleh bekerjasama dengan erat. Mereka memerintah dan melawan rampasan kuasa bersama-sama.

Apatah lagi pada ketika PAS sudah diterima oleh masyarakat Cina. PRU 12 lalu membuktikan bagaimana undi kaum Cina membantu menaikkan kerajaan PAS di Kedah.Chua Soi Lek harus sedar, zaman dimana orang Cina diwakili oleh orang Cina telah berlalu. 

Apabila masyarakat Cina menerima DAP, mereka turut menerima Karpal Singh, Sivakumar, Tunku Abdul Aziz dan ramai lagi pemimpin berbilang bangsa sebagai pemimpin mereka.Jika dicalonkan dalam pilihan raya akan datang, Hata Wahari, Aspan Alias dan Datuk Arif Sabri juga tidak mustahil akan dipilih oleh masyarakat Cina.

Jika masih gagal untuk memahami masyarakat Malaysia pada hari ini, Chua Soi Lek dan MCA akan “karam” dalam PRU akan datang. Apabila itu berlaku, MCA akan digugurkan oleh Umno.Umno akan mencari sahabat “baru” yang boleh dijadikan sebagai wakil kepada masyarakat Cina. Di dalam politik, tidak ada yang mustahil.

* Segala pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis

Tiada ulasan:

Hudud : Kenyataan Najib VS Kenyataan Tok Guru Nik Aziz

Terdapat ralat dalam alat ini
Bermula 31/7/2009

Pengunjung Ambo dari....