Sahabat Ambo

Pengunjung Yang Di Hargai,Untuk Membantu Mohon "KLIK" Iklan Di Atas.Terima Kasih

Dedikasi Buat Tuan Guru Presiden Pas

Penghinaan Mahathir Terhadap Hudud


LAGI VIDEO TINTA HIJAU-DKB KLIK DI SINI

Translate

Khamis, 8 September 2011

Petikan Ringkas Forum Mat Indera — Pejuang Atau Pengkhianat Kemerdekaan

KUALA LUMPUR, 8 Sept — Mohamad Sabu yang berhadapan dengan siri kritikan sejak dua minggu lalu menimbulkan beberapa persoalan baru mengenai fakta kemerdekaan malam tadi, antara lain menekankan bahawa Burhanuddin al-Helmy sudah pasti menjadi pilihan rakyat sebagai pemimpin mereka jika satu referendum telah diadakan sebelum kemerdekaan.
Timbalan Presiden PAS (gambar) berkata Burhanuddin yang dilahirkan di Kota Baru dan merupakan pengasas Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) lebih diterima berbanding Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Datuk Onn Jaafar sendiri.
Onn menubuhkan Umno dan beliau digantikan oleh Tunku Abdul Rahman, yang merupakan Bapa Kemerdekaan dan perdana menteri yang pertama.
“Kalau British telah mengadakan referendum (sebelum memberi kemerdekaan) antara Burhanuddin, Tunku Abdul Rahman dan Burhanuddin, saya fikir rakyat pilih Burhanuddin,” kata beliau pada forum bertajuk Mat Indera — Pejuang atau Pengkhianat Kemerdekaan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor malam tadi.
“. . . beliau telah disumbat (dimasukkan ke dalam penjara . . . Ahmad Boestamam (sekali) . . . kalau diadakan referendum, (rakyat) akan pilih Burhanuddin,” kata beliau sambil menambah, dari awal lagi kesemua pertubuhan dan organisasi telah diharamkan kecuali Umno oleh British semasa mengisytiharkan Darurat.
Darurat diisytiharkan pada 1948 dan berlarutan sehingga 1960.
“Jadi, dia (Umno) sahaja yang tinggal,” katanya yang menimbulkan bahawa tiada persaingan politik ketika itu.
Dua anggota panel forum malam tadi lain ialah Prof Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan penulis blog, Hishammudin Rais.
Adik Mat Indera, Baharom Shah Indera juga hadir sebagai tetamu khas pada forum itu.
Mengikut fakta sejarah, PKMM menuntut kemerdekaan penuh bagi Tanah Melayu dan menentang sebarang bentuk penjajahan Inggeris dan Burhanuddin membawa PKMM ke arah mewujudkan Melayu Raya iaitu satu gagasan “kesatuan politik” Malaya-Indonesia yang merupakan salah satu perjuangan utamanya.
Kepimpinan PAS berpindah tangan kepada Burhanuddin pada 1956.
Beliau digambarkan sebagai seorang “nasionalis radikal dan pemikir Islam” dan pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1965.
Beliau juga pernah ditahan oleh British kerana terlibat dengan Rusuhan Natrah di Singapura dan memenangi kerusi Parlimen Besut pada pilihan raya umum 1959.
Dalam ucapannya, Mohamad yang mesra dikenali sebagai Mat Sabu menimbulkan persoalan sama ada ketua Parti Komunis Malaya Chin Peng, yang mengetuai serangan yang membawa kepada kematian Sir Henry Gurney wajar dianggap sebagai pengkhianat negara.
Gurney, pesuruhjaya tinggi British ditembak mati pada 6 Oktober 1951 di Bukit Frazer dalam perjalanan menghadiri satu mesyuarat.
“Chin Peng (yang mengetuai PKM) yang membunuh Henry Gurney . . . jadi antara Chin Peng dan Henry Gurney, siapa pejuang dan pengkhianat? Saya tak mahu cakap, anda fikir sendirilah... kalau saya cakap kan, nanti mereka kata (saya penyokong komunis) . . . ,” kata beliau yang kini berhadapan dengan siasatan polis berhubung kenyataannya tentang tragedi Bukit Kepong enam dekad lalu.
Semalam, polis Pulau Pinang berkata pihaknya telah menyiapkan kertas siasatan terhadap Mohamad yang didakwa berkata pengganas komunis yang menyerang dan membunuh anggota polis dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero sebenar perjuangan kemerdekaan negara.
Polis turut merekodkan 68 kenyataan daripada pemberita, saksi bebas serta mereka yang membuat laporan polis terhadap beliau bagi melengkapkan siasatan.
Mohamad turut disiasat menurut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menggemparkan masyarakat. Sehingga kelmarin sebanyak 266 laporan polis terhadap Mohamad telah diterima di seluruh negara.

Mohamad yang lebih dikenali “Mat Sabu” mencetuskan kontroversi apabila memberitahu dalam satu ceramah bahawa pejuang kemerdekaan telah melancarkan serangan itu di balai polis Bukit Kepong — membunuh 25 orang — semasa pemberontakan komunis dalam 1950.
Ahli politik itu telah dituduh membela komunis oleh pemimpin Umno dan ia disiarkan dalam Utusan Malaysia walaupun Mohamad menafikan ada menggunakan perkataan komunis dalam ceramahnya.
Mohamad, dalam ceramahnya mengatakan Muhammad Indera — salah seorang individu yang dipujinya ketika ceramah pada 21 Ogos lalu telah dikatakan sebagai seorang pejuang kemerdekaan, sebagaimana disebutkan dalam Berita Harian pada 13 Ogos 2010.
Malah kata beliau ucapannya mengenai Mat Indera atau nama sebenarnya Ahmad Indera itu juga disokong oleh buku dikeluarkan oleh kerajaan negeri Johor dengan judul “Pengukir Nama Johor”.TMI

2 ulasan:

Abangpi berkata...

Saya faham, pada mulanya beberapa orang Melayu seperti Mat Indera dan lain-lain adalah ikhlas mahu berjuang untuk kemerdekaan Tanah Melayu pada masa itu. tetapi landasan perjuangan yang terlalu kiri dan melampau telah menyebabkan mereka dipengaruhi oleh komunis dan sama-sama bersubahat dengan komunis. saya percaya tidak sewajarnya kita mencaci Mat Indera tetapi tidak wajar kita menyanjung tinggi beliau melebihi Sarjan Jamil. kita boleh bayangkan apa yang boleh berlaku jika ada 10 orang lagi Mat Indera dan apa yang akan berlaku jika tiada seorang Sarjan Jamil???

Saya ingin bertanya kepada orang yang condong menyokong Mat Indera, wajarkah perjuangan beliau dikatakan perjuangan yang benar? apa yang akan berlaku kepada negara ini jika ditakdirkan perjuangan Mat Indera berjaya pada tahun 1950?
lihat negara-negara komunis. tuan-tuan mahukah negara kita jadi negara komunis?

beliau mungkin berniat memperjuangkan bangsa tetapi jalan yang beliau pilih adalah salah.

beliau tidak patut dan tidak berhak dilebihkan darjatnya dari Sarjan Jamil dan anak-anak buahnya.

Mat Sabu mengatakan bahawa Mat Indera adalah hero sebenar peristiwa Bukit Kepong. ini bermakna darjat Mat Indera adalah dilebihkan dari darjat Sarjan Jamil.

Abangpi berkata...

Peristiwa Bukit Kepong adalah satu peristiwa yang sangat sensitif kepada rakyat negara ini kerana pihak PKM berjaya menunjukkan mereka adalah satu kumpulan 'armed mob' yang bila menghadapi satu kumpulan yang kurang dari segi persenjataan dan bilangan anggota, terus membunuh dan menganiaya hampir semua mereka yang menentang. Kalau komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 hanya membunuh semua anggota polis yang bertugas, tanpa membunuh beberapa anggota keluarga dan membakar balai polis dan berek polis yang mereka tentu tahu masih ada beberapa orang yang masih hidup termasuk isteri dan anak-anak anggota polis yang mungkin telah cedera dan tidak mampu melarikan diri dari api, tentu Peristiwa Bukit Kepong tidak akan menjadi satu peristiwa yang sensitif. Peristiwa ini membuktikan gerombolan komunis tersebut adalah kejam dan tidak akan teragak-agak untuk membunuh dan menganiaya orang yang lemah terutama apabila mereka marah kerana anggota polis di Bukit Kepong memberikan tentangan yang hebat diatas tujuan mereka hendak menawan balai itu. Pemimpin komunis yang terlibat iaitu Mat Indera samada tidak mahu atau tidak berupaya mengekang perlakuan kejam tersebut. kerana saya seorang Islam dan Mat Indera juga saya percaya masih Islam, saya mahu menganggap bahawa beliau tidak berupaya mengekang kelakuan 'mengamuk' anggota beliau tersebut. tetapi kita boleh perhatikan bahawa Mat Indera tidak mahu bertaubat dan peristiwa tersebut tidak membuka mata beliau bahawa ideologi komunis itu adalah salah. sehingga beliau digantung sampai mati pun beliau tidak menunjukkan penyesalan.

kesan dari peristiwa Bukit Kepong ini, komunis semakin jauh dari hati orang-orang Melayu. bila disebutkan Peristiwa Bukit Kepong, kita akan membayangkan kekejaman komunis yang kebetulan pada masa itu terdiri dari majoriti orang cina. Kita juga mula membayangkan kepahlawanan polis-polis Melayu tersebut yang tidak takut mati mempertahankan apa yang mereka yakin adalah kebenaran.

sejak Peristiwa Bukit Kepong kita tidak lagi mendengar ada peristiwa yang melibatkan pertempuran komunis dengan pihak berkuasa yang sekejam itu. tetapi Alhamdulillah, the damage was done and the communist fate was sealed, mereka kalah secara keseluruhan di Malaya.

saya nak sebut sekali lagi, Peristiwa Bukit Kepong adalah satu peristiwa yang sangat sensitif kepada orang Melayu sehingga digelarkan 'the Malayan Alamo'. jika Mat Sabu berkeras untuk menggunakan ini sebagai modal kempen maka sokongan orang Melayu tidak akan berpihak kepada PAS.

Sudahlah peristiwa DUMC membangkitkan kebencian orang Melayu kepada PAS, ditambah lagi pula kata-kata dari Mat Sabu ini....

PAS mahukan sokongan orang Melayu tetapi mengenepikan sensitiviti orang Melayu dan mengutamakan sensitiviti orang bukan Melayu. saya andaikan pemimpin PAS tidak lagi memerlukan sokongan orang Melayu....

Hudud : Kenyataan Najib VS Kenyataan Tok Guru Nik Aziz

Bermula 31/7/2009

Pengunjung Ambo dari....