
Seperti
tahun-tahun sebelumnya, 2011 yang bakal ditinggalkan esok turut
memperlihatkan pelbagai sisi terang dan juga di sebalik sisi gelap
dengan pelbagai variasi, pelbagai warna ceria dan suram sepanjang tahun.
Dalam 2011 ini juga terkandung pelbagai isu yang menjadi bahan
paparan utama di dada media samada konvensional mahupun alternatif.
Antara beberapa isu utama yang sering diperkatakan sepanjang tahun
ini baik di media-media massa mahupun di kedai kopi semestinya ramalan
tarikh Pilihan Raya Umum ke-13.
Bagaimanapun, pelbagai tarikh yang diramalkan oleh para penganalisis
politik mahupun pemainnya sendiri sebelum ini didapati telah berlalu
begitu sahaja.
PRU-13 yang sebelum ini diramalkan akan diadakan pada bulan Julai,
Oktober dan November, terkini bulan Mac 2012 pula semakin menjadi
sebutan tarikh sebenar pilihan raya itu bakal diadakan.
Himpunan Bersih 2.0
Masih berkaitan pilihan raya, perhimpunan Bersih 2.0 juga mendapat
tempat di muka hadapan media-media tempatan ketika 2011 berada di
pertengahan.
Liputan besar-besaran terhadap perhimpunan tersebut termasuk yang
bersifat negatif dari kalangan media kawalan kerajaan telah memberi
publisiti terhadap demonstrasi raksasa yang membawa lapan tuntutan
pilihan raya di negara ini.

Pada Ogos lalu, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) untuk
penambahbaikan pilihan raya telah ditubuhkan dan jawatankuasa tersebut
telah bersetuju penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya akan datang
sepertimana yang dituntut dalam demonstrasi Bersih 2.0.
Ketika sesetengah masyarakat menyokong demonstrasi ini, bagi
masyarakat pro-Barisan Nasional (BN) pula menganggap tindakan
mengadakan demonstrasi di negara ini merupakan satu tindakan tidak
bertanggungjawab dalam memelihara ketenteraman negara.
Bagaimanapun, apa yang menariknya, bagi menyuarakan protes mereka
terhadap tindakan Bersih 2.0 ini, mereka turut mengadakan demonstrasi di
seluruh negara sebelum Himpunan Bersih 2.0 yang diadakan di ibu negara
Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.
Dianggarkan hampir 200 ‘anak demonstran’ dari sekecil lima tahun
pembawa sepanduk telah diadakan yang rata-ratanya dianjurkan oleh
parti-parti politik dan NGO pro BN.
Selain itu, fakta menarik lain sehingga 3 Julai lalu, sebanyak 2,842 laporan polis dibuat oleh pihak pro-BN terhadap Bersih 2.0.
Jumlah tersebut terus meningkat dan dipercayai jumlah keseluruhan
laporan polis terhadap penganjuran Himpunan Bersih 2.0 tidak kurang
3,000 laporan kesemuanya.
Akhirnya, meskipun berhadapan dengan pelbagai kekangan pihak
berkuasa, perhimpunan tersebut tetap diteruskan pada tarikh yang
tetapkan dan berjaya menghimpunkan kira-kira lima puluh ribu para
demonstran.
Sekurang-kurangnya tidak kurang 1,500 penyokong Bersih 2.0 ditahan
sepanjang protes berlangsung termasuk di hari perhimpunan itu diadakan.
Dalam isu Bersih 2.0 ini, Dato’ Ambiga Sreenevasan yang paling
menjadi sebutan apabila beliau mengetuai perhimpunan yang bersejarah
itu.