Kajiselidik oleh Istiqlal Center
Saya diminta membuat analisis terhadap hasil kajiselidik yang dibuat oleh kumpulan pelajar IPT yang menggelar kumpulan mereka sebagai Istiqlal Center. Kajiselidik rambang yang dibuat di seluruh negeri Kedah memberi keputusan bahawa Pakatan Rakyat masih mampu mempertahankan kerajaan di negeri ini dengan kedudukan 23-13. Secara populariti PR masih disokong oleh 48.8 %, BN 39.4% manakala 11.8% tidak membuat keputusan.
Saya menghormati apa saja keputusan kajiselidik yang dibuat oleh mana-mana pihak pun tetapi tidak dapat menerimanya sebagai bayangan keputusan yang bakal dicatatkan dalam pilihanraya nanti. Pertama, trend terkini peratus golongan yang tidak membuat keputusan dari awal semakin bertambah.
Mereka kebanyakannya terdiri dari golongan muda yang tidak taksub kepada mana-mana parti politik. Kedua, perubahan sikap berlaku sangat pantas mutakhir ini. Ia macam pergerakan indeks bursa saham. Dalam masa sebulan, keputusan berbeza boleh diperolehi. Ketiga, kajiselidik rambang tidak akan menggambarkan realiti selepas pemilihan calon dibuat.
Semua masih ingat PRU12 di mana BN hilang majoriti 2/3 di Parlimen dan tumbang di lima negeri. Sewaktu Pak Lah sebagai PM memilih tarikh pembubaran Parlimen, beliau tentu meneliti pelbagai keputusan dan analisis dari kajiselidik yang dijalankan. Semua kumpulan penyelidik tersebut tentulah professional. Mustahil Pak Lah akan membubarkan Parlimen jika kajian yang dibuat menunjukkan BN akan kalah teruk.
Maknanya Pak Lah telah membubarkan Parlimen sewaktu pelbagai pentunjuk yang sampai kepadanya menunjukkan bahawa BN akan menang besar ataupun setidak-tidaknya menang 2/3. Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sebuah badan penyelidikan professional mendedahkan bahawa perubahan sikap rakyat berlaku dengan ketara 3 hari menjelang hari pembuangan undi. (Peningkatan sokongan untuk PR).
Kajiselidik rambang tidak akan menggambarkan realiti selepas pemilihan calon dibuat kerana sikap pengundi mungkin lebih memihak kepada parti yang didokong sewaktu kajiselidik dibuat. Misalnya orang PAS akan sokong PAS dan orang UMNO akan sokong BN. Namun apabila calon dikemukakan, sikap mereka boleh berubah selepas itu. Hal ini berlaku dengan ketara dalam UMNO dan akan terus berlaku dalam PRU13 nanti.
Individu yang tidak terpilih bersama kumpulannya akan melakukan sabotaj terhadap calon yang dipilih. Mereka tidak berniat untuk mengkhianati parti sebenarnya. Apa yang dilakukan ialah mempastikan saingan mereka kalah dan peluang untuk mereka menjadi calon di masa depan masih ada. Jika sekali saingan mereka terpilih jadi YB, maka akan berakar umbilah dia di situ sampai bila-bila.
Dengan mengandaikan keputusan yang diperolehi oleh Istiqlal Center (PR23, BN13) sebagai asas maka saya yakin keputusan berbeza akan diperolehi selepas calon dinamakan nanti.
Pungutan pendapat secara rambang yang dibuat oleh Istiqlal Center BN akan menang di Kuah, Air Hangat, Bukit Kayu Hitam, Jitra, Kota Siputeh, Ayer Hitam, Pedu, Kuala Nerang, Bukit Lada, Sungai Tiang, Belantek, Jeneri dan Bayu. PR akan menang di Bukit Pinang, Derga, Anak Bukit, Pengkalan Kundor, Kubang Rotan, Alor Mengkudu, Kota Darul Aman, Bakar Bata, Tokai, Sungai Limau, Guar Chempedak, Gurun, Tanjung Dawai, Bukit Selambau, Pantai Merdeka, Bakar Arang, Sidam, Kupang, Kuala Ketil, Lunas, Merbau Pulas, Kulim dan Bandar Baharu. Pola sokongan menunjukkan PR selesa di kerusi yang terdapat pengundi campuran. Maka tidak pelik kalau Datuk Ahmad Bashah pun dijangka kalah di Bakar Bata yang mempunyai 30 peratus pengundi bukan Melayu.