Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra hari ini menyerahkan tiga penghakiman Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu dan mahkamah sivil Kuala Lumpur, kepada isterinya Manohara Odelia Pinot melalui Kedutaan Indonesia.
Ia diserahkan oleh para peguamnya kepada pihak kedutaan tersebut untuk disampaikan kepada Manohara dan ibunya, Daisy Farajina yang berada di republik itu.
Peguam Zainul Rijal Abu Bakar berkata penghakiman pertama berkaitan dengan perintah Mahkamah Tinggi Syariah supaya Manohara kembali taat kepada suaminya.
"Kedua, Manohara (diperintahkan) membayar hutang sejumlah lebih RM1 juta, dan yang ketiga penghakiman engkar di mah
kamah sivil di Kuala Lumpur, atas alasan Manohara dan ibunya Daisy Fajarina memfitnah Tengku Temenggong," kata Zainul Rijal dalam satu sidang media.
Sementara itu, seorang peguam, Mohd Haaziq Pillay berkata, pihaknya sebelum ini telahpun menyerahkan penghakiman tersebut kepada Manohara dan ibunya.
"Akan tetapi tidak ada kerjasama daripada Manohara dan sebagainya. Oleh kerana Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan yang rapat, kita memerlukan kerjasama seabagai tanda hormat kepada kedutaan Indonesia.
"Kedua-dua mereka juga adalah warga negara Indonesia," kata Mohd Haaziq
Penghakiman tersebut telah disampaikan oleh Zainul Rijal kepada Konsular Indonesia, Aminuddin Panjaitan di pejabatnya di Kedutaan Indonesia, kira-kira jam 4 petang ini. Seorang lagi peguam yang hadir ialah Abdul Halim Bahari.
Menurut Zainul Rijal lagi, pihaknya juga telah menyampaikan penghakiman yang sama kepada kedutaan Amerika semalam, kerana bapa Manohara juga adalah warganegara tersebut.
Beliau juga mendakwa bahawa Manohara mempunyai kerakyatan negara itu selain Indonesia.
Zainul Rijal berkata, ia juga kerana kedutaan Amerika juga didakwa membantu Manohara keluar dari Singapura.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya tidak menetap tempoh tertentu kepada kedutaan Indonesia untuk menyampaikan kehakiman tersebut kepada Manohara dan ibunya.
Sebaliknya, kata beliau, pihaknya menyerahkan kepada kedutaan tersebut untuk berbuat demikian mengikut proses yang biasa diamalkan.
"Tidak adil bagi kami menetapkan tempoh kepada pihak kedutaan,” katanya.
Sementara itu, kaunselor bahagian informasi, sosial dan kebudayaan kedutaan tersebut, Widyarka Ryananta berkata, pihaknya akan membantu menyerahkan penghakiman mengikut saluran diplomasi.Malaysiakini