KUALA LUMPUR 2 Januari: Iklan ‘Sayangi BN’ dalam gerabak KTM Komuter
bukti ketakutan Umno dan Perdana Menteri yang terdesak meraih simpati
rakyat, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Haniza Talha.
Beliau mengulas pemasangan video iklan tiga minit bermula Sabtu lalu memaparkan pertemuan Datuk Seri Najib Razak bersama rakyat.
“Saya dapat maklumat iklan itu dimainkan pada waktu puncak, iaitu ketika orang ramai bersesak-sesak menaiki komuter.
“Kenapa perlu kempen begitu sekali? Ia jelas melanggar etika GLC (badan bukan kerajaan),” katanya ketika dihubungi.
Iklan tersebut dipasang sempena Karnival Sayangi Selangor anjuran BN
negeri pada 29 Disember lalu, yang turut memaparkan logo serta slogan BN
seperti, “Yakini BN-Sayangi Selangor”, “Dikau menjamin harapan” dan
“Sekian lama aman sejahtera”.
“Saluran televisyen, radio, malah agensi-agensi kerajaan semua
dikuasai Umno BN. Kenapa begitu terdesak? Kalau benar BN perintah dengan
baik dan telus, kenapa nak takut? Rakyat pasti boleh nilai sendiri,”
tegas Ketua Wanita KEADILAN Selangor itu.
“Dalam menuju negara maju, rakyat perlu diberi pandangan dan maklumat
secara terbuka. Mereka ada hak untuk memilih, tapi kerajaan tutup semua
medium perdana untuk akses kepada maklumat dan kemudian suruh rakyat
buat pilihan,” tambahnya.
April tahun lalu, 30 bendera BN dipasang di Stesen Komuter Batu Tiga dan 10 lagi di Stesen Komuter Shah Alam.