Saya diminta Tok Guru membuat catitan sejarah tentang Bazar, Arked dan Pasar Lambak. Atas permintaan itu, saya perturunkan catitan ringkas ini.
Pertalian sejarah menguatkan azam Tok Guru untuk menempatkan para peniaga di tingkat bawah Bazar Tok Guru yang akan dibina.
Dua hari sebelum pilihanraya 2008, Tok Guru berucap di hadapan para peniaga kecil, bahawa menjadi hasrat beliau untuk membina satu bazar mercu tanda yang akan menjadi medan perniagaan baru para peniaga kecil di Kota Bharu. PAS mendapat kemenangan besar 2008 yang lalu.
Ada sebab sejarah Tok Guru berucap begitu pada hari itu.
Tiga tahun menjelang kemenangan besar bersejarah buat pertama kali Angkatan Perpaduan Ummah pada tahun 1990, jentolak-jentolak telah meranapkan gerai-gerai kecil peniaga ini buat selama-lamanya. Waktu itu dikenali sebagai Pasar Lambak. Lokasinya adalah di Medan Hijau di depan Bangunan UMNO Kelantan sekarang.