Najib dengan diiringi Muhyidin membuat pengumuman secara langsung pembubaran melalui TV1
KUALA LUMPUR, 3 April — Kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) akan
membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak hari ini dan memberi
laluan kepada pilihan raya serentak seluruh negara sebaik sahaja perdana
menteri mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat pagi ini.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menghadap Sultan Selangor
Sharafuddin Idris Shah pada 1.30 petang ini di istananya di Shah Alam,
kata setiausaha politiknya kepada The Malaysian Insider sebentar tadi.
“Hari ini Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mengadap Sultan Selangor pada jam 1.30 petang ini di Istana Alam Shah.
“MB akan bertemu Sultan untuk mendapat perkenan bagi membubarkan DUN,” kata Faekah Hussin.
Beliau berkata menteri besar akan memaklumkan kepada media tentang
pembubaran DUN tersebut hanya selepas bertemu pemerintah negeri
tersebut.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dijangka akan mengumumkan
pembubaran DUN negeri utara tanah air tersebut dalam satu sidang media
pada 12.30 petang ini di George Town.
Lim dan Speaker DUN Datuk Abdul Halim Hussain perlu mendapatkan
kelulusan daripada Yang Di-Pertuan Negeri Tun Abdul Rahman Abbas di
kediaman rasminya Seri Mutiara.
Menteri besar di Kedah, Kelantan yang juga merupakan negeri PR juga
bakal mengikut langkah sama dan dijangka akan mengadap dengan pemerintah
negeri masing-masing untuk mendapatkan kelulusan.