Penduduk berdemo di hadapan Loji Air Kampung New Zealand
MARAN: Krisis air yang berlarutan tanpa penyelesaian
melibatkan lebih 5,000 penduduk di tujuh kawasan penempatan yang
mendapatkan bekalan air bersih dari Loji Air Kampung New Zealand dekat
sini, menimbulkan kemarahan mereka.
Serentak dengan itu, beberapa orang penduduk semalam tampil membantah
secara aman di hadapan loji air berkenaan sambil mendesak Pengurusan
Air Pahang (Paip) mengambil langkah segera bagi menangani masalah
gangguan bekalan tersebut yang berlarutan sejak 10 tahun lalu.
Seorang wakil penduduk, Sheikh Abdul Halim Sheikh Hassan, 45,
berkata, catuan bekalan air yang dilakukan pada setiap hari untuk tempoh
tertentu sehingga menjejaskan aktiviti harian penduduk.
Menurutnya, keadaan bertambah menyulitkan penduduk apabila bekalan
air terputus untuk beberapa hari pada setiap bulan dengan jadual
penyaluran bekalan air yang tidak menentu.
“Apabila dibuat komplen, kami diberitahu bahawa catuan air terpaksa
dibuat bagi membolehkan semua rumah penduduk dapat air kerana sumber air
mentah terhad dan tidak dapat menampung keperluan penduduk
“Tekanan air yang rendah turut memberi kesan pada rumah di kawasan
tinggi. Perkara ini perlu diatasi segera demi keselesaan penduduk kerana
ia adalah keperluan utama bahkan untu kehidupan.
“Sebelum ini diuar-uarkan telah beberapa kali kerja naik taraf loji
tetapi nampaknya tidak memberi sebarang perubahan positif kerana
gangguan bekalan air tetap berlaku seperti biasa,” keluhnya.
Sheikh Abdul Halim berkata, kekerapan catuan bekalan air yang berlaku
setiap hari sama ada siang atau malam sehingga menjejaskan tahap
kebrsihan apabila pelbagai aktiviti harian tidak dapat dilakukan sengan
sempurna.
Menurutnya, pakaian tidak dapat dicuci menggunakan mesin mengikut
kesesuaian waktu penduduk memandangkan jadual bekalan air tidak menentu.
“Baru-baru ini ramai kanak-kanak kena jangkitan Rotavirus dan apabila
air tiada, pakaian kotor dan berbau kesan cirit-birit serta muntah
tidak dapat dicuci segera.
“Pinggan mangkuk terpaksa dibiarkan di sinki sehingga air ada semula.
Bukan semua rumah ada tangki kerana nak beli tangki air bukannya murah.