Saya pernah dipukul dan diaibkan. Dibiarkan terbujur kaku kesejukan di dalam pusat tahanan Bukit Aman. Tiada rawatan segera, hanya menanti takdir Tuhan, tidak pasti selamat ataupun tidak. Sudah pasti ramai yang tidak menyangka, malah saya sendiri sukar membayangkan, ada di antara pimpinan intitusi keselamatan dan keadilan negara ini, yang diharapkan melindungi rakyat, mampu bertindak melampaui batas. Lebih dari 10 tahun telah berlalu, rakyat Malaysia mahukan yang lebih baik untuk semua. Akan tetapi penguasa semakin lalai dari amanah yang diberikan.
Belum lagi negara kita pulih dari kesedihan dan kemarahan kerana dikejutkan dengan kematian sdr Teoh Beng Hock. Sudah ada mereka yang sanggup merendahkan akal budi serta harga diri dengan terjun menjerumus ke dalam jurang yang paling dalam; jurang kebencian dan perkauman. Kerana ingin mengampu, ada di antara media kongkongan umno-bn sedang mula mencatur serta menuai bibit-bibit perkauman sempit, demi melepaskan beban tanggungjawab beberapa institusi seperti SPRM, Kehakiman dan Polis.
Terhakisnya keyakinan rakyat terhadap institusi Kehakiman, Polis serta SPRM adalah akibat perbuatan sendiri. Rakyat tidak sesekali boleh diperbodohkan. Mereka menuntut penjelasan berhubung skandal pita video V.K Lingam, skandal PKFZ, skandal pembelian Eurocopter komisen kapal selam beratus juta dan tuduhan pembabitan pegawai atasan polis dengan kumpulan kongsi gelap.
Berhadapan dengan kemarahan serta ketidakyakinan rakyat terhadap sistem yang mereput, maka tidak menghairankan lah propaganda murahan dianyam oleh sang picisan, walaupun ianya ternyata gila. Hasrat dan keinginan rakyat diketepikan, yang penting penguasa tidak dituding bersalah dan terpaksa memikul beban. Para pengampu tidak pernah peduli sekiranya apa yang ditulis dan disiarkan meloyakan. Makanya kegilaan dan meloyakan, bukanlah sesuatu yang asing melainkan ianya senantiasa bertaut demi mengolah persetujuan mereka yang diperintah.
Kegilaan dan alasan meloyakan seperti ini mengingatkan saya kepada bait-bait kisah yang terkandung di dalam Illiad dendangan penyair buta Homer. Apabila ditanya kepada Agamemnon, mengapa bertindak merampas kekasih Achilles. Sang penguasa menjawab, bukan salahnya sendiri melainkan ianya kerana mahkluk Erinys merasuki dengan ate(keinginan), lalu menyebabkan dia merampas kekasih kesatria Greek tersebut. Agamemnon, takut dan gusar amarah Achilles serta tentera Greek sekaliannya, sanggup menyajikan alasan seperti itu, biarlah ianya meloyakan dan tidak masuk akal. Persamaan di antara Agamemnon, penguasa rakus Greek dan para pengampu yang wujud sekarang amatlah jelas sungguhpun hidup di zaman berbeza.
Namun saya yakin Rakyat Malaysia sedar isu pokoknya ialah Keadilan. Samada ianya membabitkan mendiang Teoh, Kugan dan Allahyarham Rumie Azzan Mahlie, apa yang dituntut ialah Keadilan. Kezaliman tidak pernah mengenali warna kulit, asal ras dan kepercayaan. Mereka yang menzalimi dan dizalimi, bukannya hak eksklusif mana-mana kaum dan agama. Merenung pesan Al- Quran jelas sekali gesaan agar ditegakkan Keadilan dan menentang kezaliman.
“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan…” (surah al hadiid: 25)
Kebobrokan dan kezaliman berterusan tidak boleh lagi dibiarkan. Oleh kerana itu PAS, DAP dan PKR bersatu di bawah payung Pakatan Rakyat. Kami bertekad menegakkan Keadilan dan membawa perubahan kepada sistem yang sepatutnya berkhidmat kepada rakyat melewati batas ras kebudayaan serta kepercayaan. Tragedi yang menimpa Allahyarham Rumie Azzan Mahlie, Kugan dan Teoh sewajarnya mengingatkan kita, Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban untuk bersatu segera melakukan Perubahan.
ANWAR IBRAHIM
Sahabat Ambo
Dedikasi Buat Tuan Guru Presiden Pas
Penghinaan Mahathir Terhadap Hudud
Translate
Ahad, 19 Julai 2009
Keadilan untuk semua-Anwar Ibrahim
PAKATAN SETUJU GUNA SATU LAMBANG
TELUK INTAN - Pakatan Rakyat (PR) bercadang menggunakan satu lambang pada pilihan raya akan datang dan mendaftarkan pakatan itu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bagi memudahkan segala urusan sama ada melibatkan pilihan raya dan urusan-urusan lain.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat pemimpin tertinggi PR dan sedang dalam penelitian sekretariat PR serta mendapatkan pandangan dari sudut undang-undang untuk perkara itu.
Beliau berkata, perkara itu masih di dalam peringkat cadangan dan belum diputuskan kerana pihak peguam PR sedang membuat penelitian dan kajian dari sudut perundangan sebelum didaftarkan termasuk penggunaan satu lambang bagi mewakili PR dalam pilihan raya akan datang.
“Kita berharap perkara ini dapat dilaksanakan dalam tempoh masa yang terdekat memandangkan beberapa masalah dihadapi sewaktu Pilihan Raya Kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai yang lalu di mana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan kita mengibarkan bendera selain Pas dengan alasan PR tidak didaftarkan.
“Saya fikir ini masa yang sesuai untuk melaksanakannya di mana kita sedang menuju ke arah sistem politik dua parti yang diamalkan di kebanyakan negara-negara maju dan kita harap pada Pilihan Raya Umum ke-13 kita boleh menggunakan konsep ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Memimpin Harapan Rakyat anjuran PKR Negeri Perak di Dewan Utama Hotel Angsoka, di sini, semalam.
Mengenai usaha untuk mendisiplinkan ahli dan pemimpin PR, beliau berkata, PR akan menyediakan mekanisme yang lebih jelas sebagai panduan kepada ahli dan pemimpin untuk menyelesaikan masalah secara bersama di dalam sekretariat PR di peringkat negeri dan pusat tanpa melibatkan media.
Menurutnya, walau bagaimanapun, pihaknya tidak menghalang mana-mana pemimpin untuk membuat kenyataan melalui media mengenai isu-isu tertentu sebaliknya meminta supaya segala masalah dalaman parti dibincangkan bersama tanpa melibatkan media untuk mengelakkan dimanipulasi oleh media yang dikuasai UMNO dan Barisan Nasional.
Beliau berkata, sekretariat itu akan dikembangkan termasuk pembentukan jawatankuasa di peringkat Ahli Parlimen dan di peringkat negeri-negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat (PR) supaya permasalahan ini dapat diselesaikan dengan baik.-/ppmas-proreform.blogspot.com
(SinarHarian)
3 000 hadir di Kelana Jaya
Lebih 3,000 orang membanjiri Stadium Kelana Jaya menuntut keadilan bagi Teoh Beng Hock yang ditemui mati Khamis lalu, selepas disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) berhubung dakwaan salahguna peruntukan untuk DUN di Selangor.
Pemimpin utama Pakatan Rakyat, termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan berucap di perhimpunan tersebut.
Poster dan pemidang besar memenuhi sekitar kawasan stadium tersebut yang memaparkan gambar Teoh, dengan tulisan 'Keadilan untuk Beng Hock"
Dalam ucapannya, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat kematian Teoh - setiausaha politik kepada exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hean Wah.
Beliau juga mahu kabinet membuat keputusan segera mengenainya.
Lim turut menggesa ketua pesuruhjaya SPRM, Datuk Ahmad Said Hamdan supaya meletak jawatan.
- Malaysiakini
Hindraf tubuh parti baru-Parti Hak Asasi Manusia
KLANG: Pertubuhan Hindraf yang diharamkan Oktober lalu, hari ini secara rasmi mengumumkan penubuhan entiti politik baru - Parti Hak Asasi Manusia dengan meletakkan sasaran tanding di 53 kerusi pilihan raya umum ke-13.
Hindraf pula akan terus berperanan sebagai pertubuhan bukan kerajaan dengan diketuai P. Waytha Moorthy.
Ia diumumkan oleh salah seorang pemimpinnya, P. Uthayakumar yang dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Mei lalu, di sini pagi ini.
Uthayakumar merupakan salah seorang daripada lima pemimpin Hindraf ditahan ISA dan dibebaskan dalam dua peringkat sejak awal April lalu.
Katanya, parti itu terbuka kepada semua kaum dengan fokus kepada aspek hak asasi manusia terutamanya membabitkan masyarakat India.
Ia bakal muncul sebagai parti politik yang bertapak di Semenanjung.
"Kami akan muncul sebagai gerakan politik yang ketiga di negara ini, sebagai alternatif kepada Umno dan Pakatan Rakyat untuk membantu orang ramai," kata beliau yang bertindak sebagai Setiausaha Agung Jawatankuasa Penaja Parti Hak Asasi Manusia.
Barisan lengkap jawatankuasa penaja akan diumumkan kelak, katanya.
Uthayakumar berkata, permohonan mendaftarkan parti itu telah dikemukakan kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan Wilayah Persekutuan pada 18 Jun lalu.
Belum ada respons sehingga sekarang, katanya.
"Berdasarkan kelulusan yang diberikan dalam tempoh dua minggu kepada sebuah parti Mei lalu, permohonan kami seharusnya sudah terima kelulusan sekarang," kata beliau pada sidang media selepas menerangkan pelan tindakan masa depannya di hadapan kira-kira 3,000 penyokongnya di sini.
Beliau tidak menyatakan nama parti yang memperoleh kelulusan dalam dua minggu itu.
Bagaimanapun ia jelas merujuk kepada Parti Makkal Sakthi Malaysia yang ditubuhkan oleh salah seorang penyelaras pusat Hindraf yang telah digugurkan.
Beliau juga mengumumkan parti itu sama ada menerima kelulusan atau tidak, akan tetap bertanding di 15 kerusi Parlimen dan 38 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Menurut beliau, ia adalah "kerusi majoriti pengundinya" masyarakat India yang bakal diwujudkan dengan mengadakan kempen satu orang satu undi.
Ia sebahagian daripada strategi masa depan yang diumumkan oleh beliau, yang turut dikeluarkan dalam bentuk buku 114 halaman bertajuk "Malaysian Indian Political Empowerment Strategy: The Way Forward".
"Buat masa sekarang kami bergerak sebagai jawatankuasa penaja. Jika tiada kelulusan menjelang pilihan raya umum akan datang, kami tetap bergerak aktif dalam pilihan raya umum akan datang.
"Kami ada strategi, kami akan mengumumkan kemudian. Kami akan beroperasi seperti Parti Sosialis Malaysia (yang bergerak aktif sebelum permohonan diluluskan) hampir 10 tahun," katanya.
Uthayakumar berkata, pihaknya akan memfailkan kes jika tidak mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan sebagaimana dilakukan oleh Parti Sosialis Malaysia.
Menurut beliau, buku itu dihasilkan berdasarkan penelitian dan kajiannya sepanjang tahanan ISA selama 514 hari di Kamunting.
SIASAT ADUN PR GIMIK POLITIK BN- Teresa Kok
Chua sertai PKR tanpa syarat-Anwar
"Ini penting untuk saya sahkan. Kita bincang isu-isu dan kita minta penjelasan daripada beliau. Beliau meminta rekod daripada kita.
Oleh itu, katanya, tidak berbangkit soal Chua akan diberikan kerusi tertentu sebagai satu syarat menyertai PKR.
Ditanya sama ada bekas menteri kesihatan itu akan diberi jawatan tertentu dalam PKR, Anwar Ibrahim berkata ia akan dibincangkan dalam mesyuarat biro politik dan majlis tertinggi parti sebelum mendapat persetujuan presiden parti, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Sebelum itu, mengumumkan keluar dari MCA dan menyertai PKR ketika berucap di majlis forum anjuran PKR di Sunway.
Kelmarin, Chua mengumumkan melepaskan jawatan ketua MCA bahagian Bakri, di Johor.
Chua hadir bersama bekas senator MCA, David Yeoh dan bekas ahli Parlimen Lumut. Kedua-duanya turut mengumumkan menyertai PKR.
Hadiri perkebumian Teoh
Sementara itu, Anwar berkata beliau akan menghadiri upacara pengkebumian bagi memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Teoh Beng Hock dan akan menziarahi keluarga mendiang Isnin ini.
"Kita mesti berani kata, tidak kira sama ada Melayu, Cina, India, Iban... anak Melayu, anak saya, anak Cina anak saya, baru kita berani kata, itu satu Malaysia," katanya.
Mengulas lanjut berhubung kematian Beng Hock, Anwar menegaskan Islam memuliakan nyawa dan harta benda sesorang kerana ia merupakan antara prinsip utama dalam Islam.
Ini kerana, pencerobohan terhadap nyawa dan harta benda tersebut tidak boleh dimain-main dan dipandang ringan dalam Islam.
Dalam majlis tersebut juga, beliau mempersoalkan mengapa tidak ada siasatan terhadap pemimpin Malaysia berhubung pembelian kapal selam dan helikopter.
"Beratus juta, beli kapal selam, tutup fail. Ratus juta beli helikopter, tak tengok.
"Sebab apa? Sebab ada komisen tinggi, ada siasatan? Tidak... sebab untuk membela kementerian dan orang besar, pemimpin Umno dan Barisan Nasional," katanya.
Sumber:Malaysiakini