KUALA LUMPUR, 11 April — Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menasihatkan PAS harus keluar Pakatan Rakyat (PR) jika merasakan keanggotaan dalam ikatan itu merugikan perjuangan parti Islam itu, tetapi sama sekali tidak menghianati persefahaman yang telah dicapai.
Sehubungan itu tegas beliau, PAS juga tidak harus menjadi “gunting dalam lipatan” hanya kerana tidak bersetuju dengan sesetengah tindakan dalam PR memandangkan ikatan itu dibentuk berdasarkan keputusan jemaah.
Dalam pandangan ketika PR bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor, anggota Biro Politik PAS ini menambah, jika PAS merasakan dengan berada dalam PR merugikan, maka “keluar sahajalah dan jangan khianat.”
“Tetapi, apabila dalam Pakatan, bertindak jujur dan ikhlas terhadap Pakatan, jangan menjadi gunting dalam lipatan atau bagaikan biawak hidup. Tercemar imej Islam.
“Bersama PR merupakan keputusan jemaah dan mengukuhkan PR juga keputusan jemaah. Maka laksanakan dengan jujur dengan kefahaman jelas terhadap proses perubahan yang saya nyatakan tadi,” kata Khalid dalam tulisan terbaru blognya.
Dalam menjawab reaksi pengunjung-pengunjung berhubung tulisan sebelum ini yang bertajuk “Bukti Kejujuran dan Keikhlasan Terhadap Pakatan Rakyat”, Khalid berkata “jikalau tidak bersetuju dengan keputusan jemaah, diam atau keluar.”
“Jangan sekali-kali menimbulkan masalah dalam jemaah dengan adanya ‘agenda sendiri’,” katanya lagi.
Artikel itu yang disiarkan 11 Mac lalu menyambut tindakan tegas diambil Parti Keadilan Rakyat ke atas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin. Zulkifli, yang membuat laporan polis terhadap Khalid kemudian telah dipecat dari PKR.