Meskipun Malaysia dan Australia memberi jaminan pencarian akan
diteruskan terhadap pesawat Malaysia Airlines MH370, kurangnya petunjuk
membuatkan ramai tertanya-tanya: Bagaimana jika pesawat Boeing 777-200ER
itu tidak ditemui?
Semasa permulaan misi carian antarabangsa itu, persoalan sedemikian
tidak terlintas oleh penyiasat dan orang ramai, namun semakin lama, ia
bakal menjadi kenyataan yang pahit.
CNN melihat apa akan berlaku sekiranya pesawat dengan 239 penumpang dan anak kapal itu hilang tanpa dapat dikesan.
1. Ia akan lenyap dan menjadi misteri dunia.
Kehilangan pesawat mungkin akan setara dengan misteri kehilangan Amelia
Earhart. Juruterbang wanita yang hilang ketika cubaan pertama
mengelilingi dunia menaiki pesawat Equator pada Jun 1937 menimbulkan
pertanyaan.
Misi carian gagal mengesan sebarang jejak, pemandu arah Frederick
Noonan mahupun pesawatnya. Sesetengahnya percaya mereka kehabisan minyak
dan terhempas di laut – teori sama yang berlaku kepada pesawat Malaysia
Airlines, kata CNN.
Kemudian, adanya Segitiga Bermuda.Banyak kapal laut, pesawat dan orang hilang di kawasan pertemuan Lautan
Atlantik, "segitiga" dari Bermuda, Miami dan San Juan, Puerto Rico.
Pegawai AS melaporkan puting beliung, ribut petir secara tiba-tiba,
arus Teluk dan perairan Caribbean yang cetek bukti munasabah kehilangan
kapal.