gambar hiasan
SURAT TERBUKA KEPADA UMAT ISLAM
“ISU HUDUD YANG DIKELIRUKAN”
Saudara dan saudari yang dihormati,
Dengan rasa rendah diri, surat ini saya tujukan kepada semua umat Islam dengan semangat saling ingat memperingati sesama kita.
Ada dalam kalangan umat Islam yang memberi alasan bagi menolak usul persendirian berkaitan undang-undang jenayah dengan menggunakan beberapa perkataan yang berkaitan hukum Islam. Antaranya menyebut perkataan-perkataan seperti “Siyasah Syari’yyah”, “Maqasid Syari’ah”, “Fiqh Aulawiyyat”, “Maslahah” dan lain-lain.
Ketika membicarakan tajuk yang berat seperti ini, maka tentunya sangatlah tidak manis sekiranya kita menjadi laksana burung kakaktua yang pandai hanya menyebut kalimah yang diajar oleh tuannya, namun tetap berstatus binatang tanpa akal tanpa memahami hakikat atau tasawwur daripada perkataan yang diucap. Maka menjelaskan maknanya dengan ilmu yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah adalah sangat penting.
“Hudud” adalah cabutan daripada salah satu daripada hukum jenayah yang banyak dan menyeluruh. Mungkin sengaja dijadikan hujah yang difikirkan bagi menolak syari’at. Mereka menganggap Hudud paling sesuai dijadikan sasaran kerana pandangan mereka paling ganas, tanpa mengetahui secara detail dan objektif. Tanpa menyedari pula betapa ganasnya undang-undang ciptaan manusia yang masih dibanggakan, seperti hukuman bunuh secara kuno : menjerut tali ke leher secara menggantung, begitu juga hukuman sebat sehingga menyeksa tanpa kesan mendidik masyarakat.
Penjelasan ini khusus bagi penganut Islam yang jahil tanpa dimaafkan, kerana beriman tanpa ilmu dan tidak berbudiman terhadap agama sendiri, serta tanpa peduli terhadap batas-batas iman dan kufur yang wajib diketahui dan dipelihara secara fardu ‘ain.