KUALA LUMPUR, 25 Dis — Ahli Parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan(gambar) “berjanji” tidak akan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) meskipun dilihat mengkritik keras ketuanya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalan presiden Azmin Ali menerusi ‘Twitter’ sejak dua tiga hari lalu.
Mesej mengecam kepimpinan kedua-dua Anwar dan Azmin memuncak sejak petang semalam.
Gobalakrishnan meningkatkan kecaman dan kritikan serta menjawab ulasan pelbagai pihak sejak awal pagi ini.
Ia membawa kepada andaian sesetengah pihak bahawa Gobalakrishnan juga akan keluar PKR mengikut beberapa bekas wakil rakyat parti itu.
Ini bukan kali pertama andaian sedemikian dibuat membabitkan pemimpin itu.
“Mengapa mesti saya keluar parti, ini parti reformasi, kita mesti melakukan reformasi. Saya berada sejak awal penubuhan parti.
“Kami baru mengadakan pemilihan, saya memberi panduan kepada pemimpin-pemimpin yang baru... saya memberikan pandangan ikhlas, itu sahaja,” kata wakil rakyat penggal pertama ini ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.
Pelbagai pihak termasuk kalangan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) dan orang perseorangan mengulas pandangan Gobalakrishnan yang turut dikenali sebagai “Gobi” sejak semalam.
Antara yang mengulas ialah Ketua Pemuda BN dan Umno, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pemuda MIC T Mohan.
Seorang pemegang akaun bernama “RaymondJim” berkata, “Ngobalakrishnan, anda seharusnya membawa (perkara) ini kepada parti anda dan bukannya membazir ruang pencetus berita di sini hanya kerana keluhan peribadi anda.”
Menjawab komen itu, bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR ini berkata, “apa yang saya sampaikan menerusi Twitter, sebenarnya sudah lama saya bangkit dalam parti, Anwar pun tahu, Azmin pun tahu.”
“Malangnya Anwar tidak melakukan apa-apa,” kata beliau yang sekali lagi menolak tanggapan pihak luar PKR bahawa akan meninggalkan komponen Pakatan Rakyat sebagaimana persekitaran disaksikan awal tahun ini.
“Saya sangat pasti, Anwar sebagai penasihat ekonomi Selangor akan bersetuju jika ekuiti ekonomi masyarakat India Malaysia perlu dipertingkatkan,” kata salah satu mesej Gobalakrishnan hari ini.
Katanya, Azmin, salah seorang pemimpin pengasas PKR tidak pernah memihak kepentingan masyarakat India sejak 2002 lagi meskipun “saya menderita, saya bersabar.”
“Ini masanya ahli-ahli politik semasa tampil bersama demi kebaikan masyarakat India Malaysia yang sudah dilupakan,” kata Gobalakrishnan yang juga ketua PKR Padang Serai.