Ini bagi mengelakkan pemimpin yang menerajui 37 tahun Umno Bahagian Gua Musang itu menanggung malu akibat digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.
Keputusan itu dicapai dalam perjumpaan antara 16 pemimpin akar umbi Umno Bahagian Gua Musang yang mengadakan mesyuarat tergempar di Bandar Baru, di sini, pagi semalam.
Majlis perjumpaan yang dipengerusikan Ketua Umno Cawangan Bandar Lama, Ab Wahab Yunus itu turut dihadiri tiga Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Gua Musang, enam ketua cawangan, wakil peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Felda.
Kebanyakan mereka menyuarakan sudah sampai masanya bagi pemimpin paling lama berkhidmat di Parlimen Gua Musang itu bersara daripada parti dan memberi laluan pula kepada pemimpin muda sebagai usaha mentransformasikan perjuangan parti berkenaan di peringkat bahagian terbabit.
Perjumpaan diadakan bagi memperbetulkan kenyataan pemimpin itu yang disiarkan dalam kebanyakan media berhubung langkahnya untuk bertanding sebagai calon Bebas jika tidak dicalonkan BN pada PRU13 nanti.
Ab Wahab berkata, Tengku Razaleigh semakin hilang pengaruhnya yang bukan sahaja di peringkat pusat, tetapi di bahagian itu apabila tidak mempunyai pendirian dalam perjuangan parti Umno serta BN.
Beliau berkata, kumpulannya terpaksa memberanikan diri membuat pendirian lebih tegas dengan mendesak Tengku Razaleigh berundur lebih awal kerana zaman sekarang bukan lagi sepadan dengan jiwa pemimpin veteran.
“Beliau dalam Umno pun banyak mengeluarkan berita-berita yang sensitif dengan perjuangan Umno dan seolah-olah lebih mirip kepada pembangkang, oleh itu adalah lebih baik dia berterus terang dengan pendirian sebenar.