KUALA LUMPUR, 26 Jan — Pusat Penyelidikan PAS (PPP)
menyatakan, pemecatan keanggotaaan Datuk Dr Hasan Ali daripada PAS tidak
memberikan kesan negatif kepada parti dan pemecatan tersebut juga tidak
memberikan kesan yang membimbangkan kepada parti Islam terbabit.
Pengarah Operasi PPP, Dr Ahmad Zuhdi Marzuku menjelaskan,
pihaknya telah menjalankan tinjauan untuk menilai kesan pemecatan Datuk
Dr Hasan Ali ke atas pengundi-pengundi Melayu.
Tinjauan tersebut telah menggunakan dua kaedah iaitu:
pertama, dengan menilai komen-komen pembaca terhadap isu pemecatan ini
sebagaimana yang dipaparkan oleh media-media baru seperti Malaysiakini,
Malaysian Insider, Berita Semasa dan Youtube dan keduanya, dengan
melakukan wawancara terhadap responden-responden terpilih yang mewakili
24 kawasan parlimen seluruh Negara.
"Berdasarkan tinjauan berkenaan, kami mendapati 85 peratus
daripada komen-komen pembaca Malaysiakini dan 67 peratus daripada
komen-komen pembaca Malaysian Insider adalah positif terhadap pemecatan.
Manakala bagi pembaca Berita Semasa pula 44 peratus menyokong
pemecatan, manakala 49 peratus tidak menyokong dan selebihnya tidak
pasti.
"Tinjauan juga dibuat terhadap penonton klip Youtube
berkaitan dengan pengumuman Presiden PAS mengenai pemecatan Dr Hasan Ali
seperti yang diterbitkan oleh TVPAS. Daripada 67,796 penonton, 273
penonton memberi maklumbalas sama ada like atau dislike yang boleh
menjadi petunjuk sama ada menyokong atau tidak. 80 peratus daripada 273
penonton yang memberi maklumbalas itu, menyatakan ‘like’ yang boleh
digambarkan sebagai positif terhadap pemecatan.