Sahabat Ambo

Pengunjung Yang Di Hargai,Untuk Membantu Mohon "KLIK" Iklan Di Atas.Terima Kasih

Dedikasi Buat Tuan Guru Presiden Pas

Penghinaan Mahathir Terhadap Hudud


LAGI VIDEO TINTA HIJAU-DKB KLIK DI SINI

Translate

Khamis, 17 September 2009

Zamri lawan Nizar:Bebas tahanan ISA untuk jaga maruah

Himpunan Mansuh ISA Ogos lalu sedikit sebanyak memberi kesan kepada keputusan Kerajaan membebaskan tahanan

Keputusan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussien membebaskan lima tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA)dilihat sebagai taktik untuk membersihkan imej beliau yang dicalar dengan pelbagai kontrovesi bersabit isu hak asasi dan tolerasi agama.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Md Akin, menyambut baik pembebasan lima tahanan itu, namun mempersoalkan motif di sebalik langkah itu.

Beliau berkata Keadilan berpendapat kerajaan telah melakukan penzaliman keatas lima tahanan itu dengan menahan mereka tanpa bukti atau memberi mereka peluang untuk mempertahankan diri di mahkamah.

" Saya percaya bahawa pembebasan lima tahanan ISA ini yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri adalah satu kaedah untuk membersihkan imej beliau kerana dalam kes yang berkaitan dengan isu kepala lembu. Kita lihat Menteri Dalam Negeri mengambil sikap yang biadap dengan menghalalkan tindakan tersebut dan bersetuju pula dengan kelompok yang mencemari dan cuba menimbulkan ketegangan kaum dan juga agama. Ini menimbulkan respon yang negatif kepada rakyat" ujarnya.

Seluruh negara sebelum ini dikejutkan dengan berita sekumpulan orang termasuk beberapa pemimpin Umno mengarak kepala lembu di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bagi membantah pemindahan sebuah kuil hindu dari seksyen 19 ke seksyen 23 di Shah Alam.

Kejadian selepas solat Jumaat itu bersikap perkauman kerana lembu adalah binatang suci dalam agama Hindu.

Lebih mengejutkan ialah tindakan Hishamuddin menyokong penunjuk perasaan berkenaaan. Beliau berkata tindakan penunjuk perasaan berkenaan tidak boleh dilihat sebagai berbau perkauman kerana mereka mempunyai asas kukuh untuk membuat bantahan seumapama itu.

Shamsul percaya tindakan yang diambil oleh Hishamuddin juga bertujuan untuk meraih modal politik bagi pilihanraya kecil pilihan raya kecil Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.

Beliau berkata pembebasan lima tahanan itu hanya menzahirkan keghairahan Umno untuk menggunakan ISA untuk kepentingan politik sempit dan bukan untuk tujuan keselamatan negara.

" Kita konsiten dengan pendirian, Pemuda Pakatan dan Pakatan Rakyat, bahawa undang-undang lapuk dan zalim seperti ISA mesti dihapuskan dengan segera" tambah beliau.

Lima tahanan dibebaskan ialah Mat Shah Mohd Satray, Abdullah Daud, Ahmad Kamil Md Hanafiah, Mohd Nasir Ismail @ Hassan, dan Muhammad Amir Md Hanafiah.TVA

Zamri lawan Nizar:UMNO tolak sokongan pengundi bukan Melayu

Media Pro BN sering memainkan sentimen perkauman

OLEH ZULKIFLI YAHAYA

Semua media talibarut BN dengan ghairahnya melaporkan kekecohan yang berlaku di majlis dialog antara penduduk Seksyen 23 Shah Alam dengan kerajaan negeri Selangor. Ia menggambarkan sekumpulan masyarakat Melayu yang begitu agresif bagaikan orang yang hilang kewarasan 'mengamuk' di majlis tersebut.

Pihak editor media tersebut mungkin merasa satu kepuasan yang tidak terhingga apabila berjaya mendedahkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan Pakatan. Bukan setakat Menteri besar dan wakil rakyat Pakatan di'boo' tetapi seorang wakil kaum India disorak serta di maki hamun. Peristiwa tersebut disaksikan oleh rakyat satu Malaysia dari semua kaum setelah disiarkan berulangkali oleh stesyen tv.


Dari aspek menjaga kepentingan politik BN tindakan media-media talibarut mereka memfokuskan isu tersebut secara besar-besaran sebenarnya melebarkan lubang kubur BN. Pasti ia akan menjarakkan lagi sokongan bukan Melayu terhadap mereka yang semakin hari semakin gawat. Semua orang tahu bahawa BN sedang menghadapi krisis keyakinan majoriti rakyat bukan Melayu di negara ini.

Apakah penganut Hindu, boleh melihat dengan senang hati penentangan terhadap pembinaan rumah ibadat mereka? Sebelum itu mereka telah terluka apabila 'binatang suci' mengikut kepercayaan mereka dipijak-pijak dengan penuh kehinaan?

Tidak dapat dipastikan bahawa pihak yang melakukan bantahan itu terdiri dari orang Umno. Tapi semua maklum bahawa golongan tersebut adalah penentang kerajaan Pakatan. Mereka mengangkat sepanduk yang membawa mesej mengecam pemimpin Pakatan, mengutuk PAS dan mempersenda 'takbir'.

Siapa lagi mereka kalau bukan Umno. Apatah lagi kenyataan menghina lembu turut dituturkan oleh bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo sehingga memaksa Pemuda MIC membuat laporan polis.

Menteri Besar telah mengumumkan bahawa pemindahan kuil ditangguhkan. Mungkin dibatalkan di Seksyen 23. Jika itu berlaku maka kemarahan orang Melayu akan padam setakat itu. Maklumlah Melayu mudah lupa dan pemaaf. Bagaimanapun ia hanya akan mengembirakan penduduk Melayu-Islam hanya di Shah Alam tetapi akan menimbulkan kemarahan masyarakat Hindu seluruh negara, malah di seluruh dunia.

Orang Hindu tidak marahkan kerajaan negeri dan wakil rakyat Pakatan kerana telah berusaha mempertahankan hak mereka. Tetapi mereka akan marah dan bencikan Umno. Kemarahan itu akan berlanjutan hingga ke peti undi.

Nampaknya yang rugi Umno dan yang untungnya Pakatan. Media-media talibarut BN menggambarkan kononnya kerajaan Pakatan tersepit dalam isu ini. Hakikatnya BN yang tersepit.

Situasi yang berlaku menunjukkan bahawa Umno sedang memudahkan kerja PAS.

Sama seperti isu pusat potong babi di Kedah. Mulanya masyarakat Cina sudah marah apabila pusat babi dirobohkan. Namun akhirnya kemarahan masyarakat Cina beralih kepada Umno apabila parti itu pula menyambung isu tersebut dengan melancarkan beberapa siri bantahan terhadap kerajaan negeri.

Selepas lapan pilihan raya kecil dilalui, nampaknya sokongan bukan Melayu terhadap Pakatan Rakyat tidak luntur berbanding pilihan raya umum 2008. Bahkan di beberapa tempat ia menunjukkan peningkatan, sekalipun yang bertanding ialah calon PAS yang dulunya dianggap terasing dari sokongan bukan Melayu.

Hari demi hari, isu demi isu yang bergolak nampaknya lebih menyemarakkan sokongan bukan Melayu terhadap Pakatan.

Sewaktu PAS pertama kali melakukan tahalluf dengan parti pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah, semua kerusi yang mempunyai majoriti bukan Melayu agak tinggi diserahkan kepada Semangat 46. Parti serpihan Umno itu pun bukanlah diterima sangat pun di kawasan bandar, tapi persepsi yang wujud ialah PAS lebih ditolak oleh bukan Melayu.

Persepsi itu berlanjutan sehingga pilihan raya umum 2008. Agihan kerusi untuk PAS lebih tertumpu ke kawasan majoriti Melayu yang tinggi. Tentulah pasca pilihan raya umum 2008, lebih-lebih lagi selepas melalui beberapa siri pilihan raya kecil, maka persepsi bahawa pola sokongan politik adalah berdasarkan segmentasi kaum; tidak boleh lagi dipakai. PAS sudah boleh bertanding dan menang di kawasan bandar juga.

Di tengah-tengah kegawatan isu perkauman yang dicetuskan Umno, tiba-tiba kita dihidangkan pula dengan sebuah pilihan raya kecil di Negeri Sembilan. Menariknya kerana kawasan Dun Bagan Pinang itu mengandungi kira-kira 20 peratus pengundi India, jumlah yang agak besar untuk menjadi undi penentu. Penganalisis politik tentu sudah dapat meramal sokongan bukan Melayu, khususnya kaum India.

Di Bagan Pinang atau di mana-mana kawasan majoriti Melayu di negara ini, tumpuan mesti diberi kepada usaha meningkatkan sokongan pengundi Melayu. Oleh kerana dalam budaya politik kita, lebih mudah mengajak orang membenci musuh daripada meminati diri sendiri, maka biarkanlah Umno melakukan kerja menolak sokongan bukan Melayu terhadap mereka.detikdaily

Zamri lawan Nizar:Perbalahan dua keluarga Diraja





Cucu kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-10, Tuanku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar menunjukkan gambar kecederaan yang dialaminya selepas didakwa diserang oleh Raja Muda Johor, Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar Tunku Ibrahim pada 25 Oktober tahun lalu - foto THE STAR


Raja muda Johor Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar Tunku Ibrahim

KUALA LUMPUR: Cucu kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-10, Tuanku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar tengah hari Rabu menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Raja Muda Johor, Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar Tunku Ibrahim yang didakwa menculik, menyerang dan menahannya tanpa kerelaan pada awal pagi 25 Oktober tahun lalu.

Menurut Tuanku Nadzimuddin, beliau telah diserang oleh Raja Muda Johor dengan sepucuk pistol di bahagian muka dan kepala sehingga beliau mengalami keretakan pada tulang hidung dan kecederaan serius yang lain.

"Selepas 11 bulan, Raja Muda Johor dan pengawal peribadinya belum lagi didakwa di mahkamah untuk menghadapi tuduhan mencederakan saya dengan sepucuk pistol.

"Mereka juga belum didakwa menculik dan menahan tanpa kerelaan saya," katanya dalam satu sidang akhbar yang turut dihadiri bondanya, Tunku Dara Naquiah Tuanku Ja'afar.

Tunku Dara Naquiah adalah puteri kepada Almarhum Tuanku Ja'afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Kedua-dua Almarhum Tuanku Ja'afar dan Tuanku Abdul Rahman juga pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Tuanku Abdul Rahman adalah Yang di-Pertuan Agong yang pertama dan potret baginda menghiasi kesemua mata wang kertas negara.

Insiden tersebut pernah dilaporkan di portal internet dan hangat diperkata di dalam blog.

Menurut Tuanku Nadzimuddin, ekoran insiden tersebut, beliau telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Dang Wangi pada 26 Oktober 2008 dan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, beliau kecewa kerana selepas laporan polis dibuat, tiada apa-apa tindakan diambil sehingga ke hari ini.

"Apa yang boleh saya simpulkan ialah tiadanya tindakan diambil untuk mendakwa pihak yang telah mencedera dan menahan saya tanpa kerelaan. Polis pernah memberi jaminan akan melakukan siasatan secara adil tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"Saya juga dijamin semua orang adalah tertakluk kepada undang-undang dan penyerangnya akan dihadapkan ke mahkamah untuk menghadapi dakwaan. Bagaimanapun, saya telah dan terkejut tiada apa-apa tindakan diambil sehinggalah ke saat ini," katanya.

Mengulas lanjut, Tuanku Nadzimuddin memberitahu, beliau berada di Kelab Heritage Mansion dengan teman wanitanya (kini telah pun menjadi isterinya) untuk menemui kawan-kawan mereka.

Menurutnya, ketika berada di situ, kawan-kawannya telah diserang oleh beberapa orang yang mendakwa diri mereka adalah pengawal peribadi Raja Muda Johor.

"Dua kawan saya cedera. Pengawal kelab menghentikan serangan tersebut. Kami beredar meninggalkan kelab tersebut. Saya dipanggil oleh seseorang yang tidak dikenali mendakwa Raja Muda Johor ingin berjumpa dengan saya di Hotel Crowne Plaza, Jalan Sultan Ismail untuk meminta maaf.

"Saya bersama dengan teman wanita dan kawan-kawan saya termasuk yang cedera pergi ke situ," ujarnya.

Tuanku Nadzimuddin berkata, mereka tunggu di lobi hotel tersebut sebelum beliau diculik di lif hotel Crowne Plaza Mutiara dan diacukan dengan pistol.

"Apabila berada dalam lif, Raja Muda Johor telah memukul saya di muka dan kepala dengan sepucuk pistol. Raja Muda Johor juga menghalakan pistol itu ke kepala saya. Kawan saya yang berada di lif pula dipukul sehingga pengsan.

"Apabila lif itu berhenti di tingkat 25, kami dipaksa memasuki sebuah bilik. Saya melihat kawan saya itu ditarik masuk ke satu bilik dan dibiarkan pengsan di atas lantai," katanya.

Menurut Tuanku Nadzimuddin, mereka ditawan di dalam bilik tersebut oleh pengawal-pengawal pribadi Raja Muda Johor sehinggalah bondanya, Tunku Dara Naquiah Tuanku Jaafar ditemani ayahanda saudaranya, Tunku Panglima Besar Tunku Nadzaruddin Ibni Tunku Jaa'far menyelamatkan mereka bersama empat pegawai polis.

Ketika 'gerakan menyelamat' itu dilakukan, Tuanku Nadzimuddin berkata, Raja Muda Johor telah pun meninggalkan hotel berkenaan.mstar

Zamri Lawan Nizar:Tuduhan Awang Adek jauh tersasar-Husam


Pantun Tok Guru Pada Pak Lah Semasa Pelancaran ECER Tahun Lalu

KOTA BHARU, 17 Sept: Dakwaan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin kononnya Kelantan tidak memberi kerjasama terhadap pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECER) dianggap tersasar jauh.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, kerajaan Kelantan sentiasa memberi kerjasama bagi membangunkan ECER di negeri ini.

Malah, katanya Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai anggota jawatankuasanya sentiasa hadir pada mesyuarat yang diadakan di peringkat negeri.

"Kenyataan Awang Adek yang mendakwa Menteri Besar tidak hadir mesyuarat sebenarnya silap, bahkan mungkin dia mendapat gambaran yang salah.

"Mungkin orang berkenaan tidak hadir pada mesyuarat ECER yang diadakan, jadi dia tidak mendapat gambaran yang sepenuhnya," katanya selepas mesyuarat Exco, di Kota Darulnaim hari ini.

Sebelum ini Awang Adek yang juga bekas anggota parlimen Bachok mendakwa Kelantan tidak memberi kerjasama bagi melaksanakan program ECER di negeri ini.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan berkata, di peringkat negeri Tuan Guru Nik Abdul Aziz ialah Pengerusi Perlaksanaan Program ECER.

Menurutnya juga sebagai membuktikan komitmen tersebut, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dilantik sebagai urusetia khusus bagi melancarkan perjalanan ECER.

"Dari segi pengambilan tanah pula kerajaan menyerahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian untuk memudahkan proses pengambilan tanah," ujarnya.

Beliau juga berkata, pegawai ECER menyatakan puas hati terhadap kerjasama yang diberikan kerajaan negeri bagi pelaksanaan program ECER di Kelantan.

"Jadi saya menganggap kenyataan Timbalan Menteri itu hanya bersifat politik sementara menunggu waktu untuk berbuka puasa sahaja," ujarnya._mna_

harakahdaily

Kakitangan Awam negeri PAKATAN dapat bonus raya: Nizar Zambry


SHAH ALAM - Kakitangan awam di tiga negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat (PR) mendapat ‘durian runtuh’ apabila Kerajaan Negeri masing-masing mengumumkan pemberian bonus sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menariknya, habuan sebanyak RM500 kepada setiap kakitangan kumpulan sokongan di Selangor dan Kedah dibayar secara sekaligus, sementara kakitangan di Pulau Pinang menerima pembayaran dua kali secara ansuran.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM4.38 juta bagi bantuan khas kewangan bagi 2009 kepada seluruh kakitangan perkhidmatan awam untuk kumpulan sokongan di negeri ini.

“Kita telah bersetuju untuk memberikan bantuan khas ini kepada semua kakitangan perkhidmatan awam dalam kumpulan sokongan di Selangor.

“Setiap mereka akan diberikan RM500 bagi meringankan beban sempena perayaan hari raya ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, di sini, semalam.

Abdul Khalid berkata, hampir 9,000 kakitangan akan mendapat bantuan berkenaan dan daripada jumlah berkenaan, seramai 7,588 kakitangan tetap, 952 kontrak serta 230 kakitangan sambilan akan menerima bantuan tersebut.

“Bantuan berkenaan akan diberikan sepenuhnya sebelum hari raya ini. Ini berbeza apa yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan yang mana mereka dibayar dua peringkat yang mana RM250 sebelum raya dan selebihnya dibayar selepas raya,” katanya.

Di ALOR SETAR, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.65 juta untuk membayar bonus berkenaan, RM2.47 juta kepada kaki tangan berjawatan tetap dan selebihnya kepada kakitangan kontrak, sementara dan sambilan.

Katanya, ganjaran ini diterima 5,300 pekerja di mana 4,950 adalah kakitangan tetap dan 350 adalah kakitangan kontrak, sementara dan sambilan.

“Semua pekerja kumpulan sokongan sama ada berjawatan tetap, sementara atau kontrak akan menerima bonus ini. Kita harap bayaran bonus ini dapat menceriakan sambutan Aidilfitri ini,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, semalam.

Sementara itu di PULAU PINANG, Kerajaan Negeri bersetuju meluluskan bayaran khas RM500 kepada 3,299 pegawai kumpulan sokongan negeri itu tetapi bayaran khas itu dibuat dengan dua ansuran.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, arahan pembayaran RM500 ini akan dikeluarkan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan semua agensi Kerajaan Negeri.

Katanya, pembayaran pertama RM250 akan dilakukan hari ini bagi membolehkan wang itu digunakan untuk menyambut Aidilfitri manakala bakinya dibayar akhir Disember.

“Bayaran ini akan melibatkan peruntukan Kerajaan Negeri berjumlah RM1,649,500 dan gaji juga akan dibayar lebih awal untuk dua bulan ini untuk menyambut dua perayaan iaitu Hari Raya Puasa dan Deepavali,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Malaysia 2009 di Dewan Tunku, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), semalam. sinarharian

Hudud : Kenyataan Najib VS Kenyataan Tok Guru Nik Aziz

Bermula 31/7/2009

Pengunjung Ambo dari....